2010–2019
Persidangan Umum: Menguatkan Iman dan Kesaksian
Oktober 2013


Persidangan Umum: Menguatkan Iman dan Kesaksian

Oh, betapa kita memerlukan persidangan umum! Melalui persidangan, iman kita diperkuatkan dan kesaksian kita diperdalamkan.

Terima Kasih, Presiden Monson, atas pengajaran anda dan teladan pelayanan seperti Kristus dan amanah yang anda berikan kepada kami semua untuk menjadi mubaligh. Kami selalu berdoa bagi anda.

Dalam zaman keagamaan kita, Juruselamat Yesus Kirstus merujuk kepada sebuah perkumpulan Orang Suci sebagai “persidangan umum Ku .” 1

Di mana pun kita berada di dunia ini, dan dengan cara apa pun kita menerima siaran ini, saya bersaksi bahawa kita dikumpulkan dalam persidangan-Nya. Saya juga bersaksi bahawa kita akan mendengar firman-Nya, kerana Dia sudah mengatakan, “apakah melalui suara-Ku sendiri atau melalui suara para hamba-Ku, itu adalah sama.” 2

Persidangan-persidangan telah lama menjadi sebahagian Gereja Yesus Kristus yang benar. Adam mengumpulkan anak cucunya dan bernubuat tentang hal yang akan datang. Musa mengumpulkan anak-anak Israel dan mengajar mereka perintah-perintah yang telah dia terima. Juruselamat juga mengajar orang ramai yang berkumpul di Tanah Kudus dan di benua Amerika. Petrus mengumpulkan orang-orang yang percaya di Yerusalem. Persidangan umum yang pertama pada zaman akhir ini telah diadakan cuma dua bulan selepas Gereja diorganisasikan, dan persidangan-persidangan telah diteruskan sampailah ke hari ini.

Persidangan ini adalah selalu di bawah arahan Tuhan, dibimbing oleh Roh-Nya.3 Kami tidak diberikan topik yang tertentu. Berminggu-minggu dan berbulan-bulan, kerap kali sepanjang malam tanpa tidur, kami menunggu-nunggukan Tuhan. Dengan berpuasa, berdoa, mengkaji, dan merenungkan, kami mempelajari pesanan yang Dia mahu kami berikan.

Sebahagian orang mungkin bertanya, “Mengapakah ilham tidak datang dengan lebih senang dan cepat?” Tuhan mengajar Oliver Cowdery, “kamu mesti menelaahnya dalam pikiranmu; kemudian kamu mesti bertanya kepada-Ku apakah itu benar.”4 Pesanan-pesanan persidangan datang kepada kita selepas kita bersedia dengan berdoa, melalui Roh Kudus.

Asas ini adalah benar bagi semua ahli Gereja semasa kita bersedia untuk menyertai persidangan bahagian, pancang, dan umum. Kita menelaah dalam fikiran kita apa yang kita perlu dan inginkan dari Bapa Syurgawi, dan kita berdoa untuk memahami dan menerapkan apa yang diajarkan kepada kita. Apabila tiba masanya untuk persidangan umum, kita mengorbankan aktiviti-aktiviti lain, dengan “mengesampingkan apa yang dari dunia ini, dan mencari apa yang lebih baik.”5 Kemudian kita mengumpulkan keluarga kita untuk mendengarkan firman Tuhan, sebagaimana rakyat Raja Benyamin.6

Kanak-kanak dan orang muda sangat suka turut serta dalam persidangan kita. Kita membuat kesilapan yang besar kalau kita mengira bahawa persidangan adalah di atas kemampuan mereka secara rohani atau daya fikiran mereka. Kepada para ahli yang muda dalam Gereja, saya berjanji bahawa kalau kamu akan mendengar, kamu akan merasa Roh mengangkat dalam dirimu. Tuhan akan memberitahu kamu apa yang Dia mahu kamu lakukan dengan kehidupanmu.

Dalam persidangan kita boleh menerima firman Tuhan yang dimaksudkan bagi kita secara khusus. Seorang anggota bersaksi: “Semasa saya mendengar ucapan anda, saya berasa takjub… Ucapan anda adalah wahyu peribadi daripada Tuhan kepada keluarga saya secara langsung. Saya tidak pernah mengalami pernyataan Roh yang begitu kuat dalam kehidupan saya seperti waktu itu apabila Roh Kudus berbicara kepada saya secara langsung.”

Seorang lagi mengatakan, “Saya tidak pernah merasa dengan begitu mendalam bahawa sebuah ucapan telah diberikan kepada saya.”

Ini adalah mungkin kerana Roh Kudus membawa firman Tuhan ke dalam hati kita dengan cara yang kita boleh fahami.7 Apabila saya membuat nota semasa persidangan, saya tidak selalu menulis apa yang diucapkan oleh pembicara secara tepat; Saya mencatat arahan peribadi yang diberikan Roh kepada saya.

Apa yang dikatakan tidak sepenting apa yang kita dengar dan apa yang kita rasa.8 Itu sebabnya kita berusaha untuk mengalami persidangan dalam suasana di mana suara Roh yang halus dan kecil boleh didengari, dirasai, dan difahami dengan jelas.

Oh, betapa kita memerlukan persidangan umum! Melalui persidangan iman kita diperkuatkan dan kesaksian kita diperdalamkan. Dan apabila kita sudah bertukar hati, kita menguatkan satu sama lain untuk berdiri teguh di antara anak panah berapi pada zaman akhir ini.9

Dalam dekad-dekad kebelakangan ini Gereja secara umum tidak mengalami salahfaham dan penganiayaan yang teruk seperti yang dialami oleh para Orang Suci yang awal. Tidak akan selalu begitu. Dunia berpindah jauh daripada Tuhan dengan lebih cepat dan lebih jauh daripada sebelumnya. Si Musuh telah dilepaskan di atas bumi. Kita menonton, mendengar, membaca, mengkaji, dan berkongsi perkataan para nabi untuk menerima amaran dan dilindungi. Sebagai contoh, “Keluarga: Sebuah Perisytiharan kepada Dunia” telah diberikan lama sebelum kita mengalami cabaran-cabaran yang sekarang dihadapi oleh keluarga. “Kristus yang Hidup: Kesaksian Para Rasul” disediakan dahulu jauh sebelum kita paling memerlukannya.

Kita mungkin tidak tahu semua sebabnya mengapa para nabi dan pembicara persidangan berucap kepada kita dengan topik-topik yang tertentu dalam persidangan, tetapi Tuhan tahu. Presiden Harold B. Lee mengajar: “Satu-satunya keselamatan yang kita punyai sebagai ahli gereja adalah… untuk mengendahkan firman dan perintah yang Tuhan akan berikan melalui nabi-Nya. Akan ada beberapa hal yang memerlukan kesabaran dan iman. Kamu mungkin tidak suka apa yang datang dari penguasa Gereja. Ia mungkin akan bercanggah dengan pendapat [peribadi] kamu. Ia mungkin akan bercanggah dengan pendapat sosial kamu. Ia mungkin akan masuk campur dalam kehidupan sosial kamu. Tetapi kalau kamu mengendahkan hal-hal ini, seperti hal itu adalah dari mulut Tuhan Sendiri, dengan sabar dan iman, janjinya adalah bahawa ‘gerbang-gerbang neraka tidak akan berjaya melawanmu; ya, Tuhan Raja akan menyerakkan kuasa kegelapan dari hadapanmu, dan menyebabkan langit berguncang demi kebaikanmu, dan kemuliaan nama-Nya’ (A&P 21:6).”10

Bagaimana Presiden Lee mengetahui tentang apa yang kita akan hadapi dalam zaman kita? Dia tahu kerana dia adalah nabi, pelihat, dan pewahyu. Dan kalau kita mendengar dan mematuhi para nabi sekarang, termasuk mereka yang akan berbicara dalam persidangan ini, kita akan dikuatkan dan dilindungi.

Berkat yang paling besar dari persidangan umum datang kepada kita selepas persidangan berakhir. Ingatlah pola itu yang dicatat kerap kali dalam tulisan suci: kita berkumpul untuk mendengar firman Tuhan, dan kita balik ke rumah kita untuk menjalankannya.

Selepas Raja Benyamin mengajar rakyatnya, “dia membubarkan khalayak ramai, dan mereka kembali, setiap orang, menurut keluarga mereka, ke rumah mereka sendiri.”11 Dalam zamannya, Raja Limhi melakukan hal yang sama.12 Selepas dia mengajar dan melayani rakyat di bait suci di Kelimpahan, Juruselamat meminta orangnya, “kembalilah kamu ke rumah-rumahmu, dan renungkanlah hal-hal yang telah Aku firmankan, dan mintalah kepada Bapa, dalam nama-Ku, agar kamu boleh memahami, sediakanlah minda-mindamu untuk keesokan hari, dan Aku datang kepadamu lagi.”13

Kita menerima jemputan Juruselamat apabila kita merenungkan dan berdoa untuk memahami apa yang telah diajarkan kepada kita dan selepas itu pergi dan melakukan kehendak-Nya. Ingatlah perkataan Presiden Spencer W. Kimball: “Saya sudah membuat keputusan bahawa apabila saya balik dari persidangan [umum] ini… ada banyak, banyak hal dalam kehidupan saya yang boleh saya sempurnakan. Saya sudah membuat senarai hal-hal itu dalam minda saya, dan saya berharap untuk pergi mula bekerja sebaik sahaja kita selesai.”14 Presiden Monson baru-baru ini mengatakan: “Saya mendorong kamu untuk membaca ucapan-ucapan ini… dan merenungkan pesanan-pesanan yang terkandung di dalamnya. Saya sudah belajar dalam kehidupan saya sendiri bahawa saya belajar lebih banyak dari khutbah-khutbah yang diilhami ini apabila saya mengkajinya dengan lebih mendalam.”15

Sebagai tambahan untuk pengajian tulisan suci secara keluarga dan secara peribadi, Bapa Syurgawi mahu kita secara tetap mengkaji dan menerapkan apa yang kita telah belajar di persidangan. Saya bersaksi bahawa mereka yang percaya kepada Tuhan dan mengendahkan nasihat ini dalam iman akan mendapat kekuatan besar untuk memberkati mereka sendiri dan keluarga mereka selama generasi yang akan datang.

Bapa Syurgawi sudah menyediakan jalannya. Di persidangan ini, 97 peratus ahli Gereja boleh mendengar pesanan ini dalam bahasa mereka sendiri. Berjuta-juta anggota dalam 197 negara akan menonton persidangan ini dalam 95 bahasa. Dalam dua atau tiga hari sahaja pesanan ini boleh dilihat di LDS.org dalam bahasa Inggeris, dan dalam seminggu mereka akan mula disediakan dalam 52 bahasa. Sekarang kita menerima cetakan majalah Gereja dalam tiga minggu selepas persidangan umum. Kita tidak perlu menunggu berbulan-bulan untuk ucapan-ucapan ini tiba melalui pos. Dalam komputer, telefon bimbit, atau alat elektronik yang lain, kita dapat membaca, mendengarkan, menonton, dan berkongsi ajaran-ajaran para nabi. Bila-bila masa, di mana saja, kita dapat memperluaskan pengetahuan kita, memperkuat iman dan kesaksian kita, melindungi keluarga kita, dan menuntun mereka kembali dengan selamat.

Pesanan persidangan ini akan juga termasuk dalam kurikulum remaja yang ada di internet. Ibu bapa, kamu boleh mengakses pelajaran remaja ini untuk diri kamu di LDS.org. Ketahui apa yang dipelajari oleh anak kamu, dan menggunakan hal-hal itu sebagai topik untuk pembelajaran kamu sendiri, perbincangan keluarga, malam keluarga, majlis keluarga, dan temuduga peribadi dengan setiap anak kamu mengenai apa yang mereka perlu diajarkan secara individu.

Saya mendorong semua ahli gereja untuk menggunakan sumber-sumber yang berada di laman web Gereja dan pada aplikasi telefon bimbit. Mereka secara berterusan disempurnakan supaya lebih senang untuk digunakan dan lebih berkaitan dalam kehidupan kita. Di LDS.org kamu akan menemui sumber-sumber untuk membantu kamu mempelajari injil, memperkuat keluarga dan rumah anda, dan melayan dalam pemanggilan anda. Anda juga dapat mencari datuk nenek anda yang memerlukan tatacara-tatacara bait suci dan sumber-sumber untuk menyokong kamu dalam pekerjaan keselamatan, termasuklah berkongsi injil. Ibu bapa boleh memimpin dalam menyediakan anak mereka untuk pembaptisan, imamat, misi penuh waktu, dan bait suci. Mereka boleh membantu kita mengikut jalan yang lurus dan sempit yang diajar dalam tatacara-tatacara dan perjanjian-perjanjian di bait suci dan dalam memenuhi syarat bagi berkat kehidupan abadi.

Dalam persidangan April yang lalu, dalam pertemuan umum imamat, saya bercakap tentang bapa saya melukiskan sebuah gambar seorang satria yang berperisai untuk mengajar saya tentang mengenakan seluruh perisai Tuhan dan perlindungan rohaninya.

Selepas sesi itu selesai, seorang bapa melaporkan kepada keluarganya apa yang telah dia pelajari. Diilhami, anak lelaki mereka yang kecil Jason mencari LDS.org untuk mendengar pesanan itu sendiri. Beberapa hari kemudian dia berkongsi pelajaran itu dalam malam keluarga dengan adik-beradiknya. Inilah dia.

Imej
Here he is.

Sebuah pesanan persidangan yang mudah difahami, diilhamkan oleh Tuhan, diterima oleh seorang anak kecil, telah diajarkan kepada sebuah keluarga dalam cara yang peribadi dan berkuasa. Saya sangat suka perisai dada kesolehannya. Saya suka perisai imannya untuk menangkis anak panah berapi si musuh. Ini adalah berkat persidangan.

Saudara dan Saudari, saya memberikan kesaksian khusus saya bahawa Tuhan Yesus Kristus hidup dan berdiri di hadapan Gereja ini. Ini adalah persidangan umum-Nya. Saya berjanji kepada kamu dalam nama-Nya bahawa jika kamu berdoa dengan suatu keinginan ikhlas untuk mendengar suara Bapa Syurgawi anda dalam pesanan-pesanan persidangan ini, kamu akan mendapat tahu bahawa dia sudah berfirman kepada kamu untuk membantu kamu, menguatkan kamu, dan memimpin kamu kembali ke dalam hadirat-Nya. Dalam nama Yesus Kristus, amin.