2010–2019
Mahukah Kamu Sembuh?
Oktober 2013


Mahukah Kamu Sembuh?

Apabila kita bertaubat dan bertukar hati kepada Tuhan, kita menjadi suci dan kesalahan kita disapu bersih.

Dalam masa kenduri yang menggembirakan di Yerusalem, Juruselamat meninggalkan orang ramai untuk mencari mereka yang memerlukan bantuan besar. Dia menemukan mereka di Betesda, di kolam berserambi lima dekat pasar domba yang terkenal menarik minat orang-orang yang sakit.

Injil Yohanes memberitahu kita bahawa dekat kolam itu “berbaring sejumlah besar orang sakit, orang-orang buta, orang-orang tempang dan orang-orang lumpuh, yang menantikan goncangan air kolam itu.

“Kerana ada kalanya malaikat Tuhan turun ke dalam kolam itu, dan menggoncangkan airnya: sesiapa yang pertama masuk ke dalam kolam itu semasa air berkocak akan sembuh daripada penyakit apapun yang dihidapinya” (Yohanes 5:3–4).

Lawatan Juruselamat digambarkan dalam sebuah lukisan yang indah oleh Carl Bloch bertajuk Kristus Menyembuhkan Orang Sakit di Betesda. Bloch melukiskan Yesus dengan lembut mengangkat tenda sementara mendedahkan “orang sakit itu” (Yohanes 5:7) yang berbaring dekat kolam, menunggu. Di sini, perkataan sakit merujuk kepada seseorang yang tak berdaya dan menegaskan belas kasihan serta rahmat Juruselamat, yang datang dengan senyap melayani mereka yang tidak dapat menolong diri mereka sendiri.

Dalam lukisan, orang sakit itu menghimpit di lantai dalam kemuraman, letih dan lemah semangat sesudah menghidap penyakitnya selama 38 tahun.

Apabila Juruselamat mengangkat tepi kain dengan satu tangan, Dia mengisyaratkan dengan tangan yang lain dan bertanya pertanyaan yang arif: “Mahukah kamu sembuh?”

Orang itu menjawab, “Tuan, tiada sesiapa pun di sini yang dapat memasukkan saya ke dalam kolam apabila air berkocak; sementara saya menuju ke kolam itu, orang lain telah turun mendahului saya” (Yohanes 5:6–7).

Kepada cabaran orang itu yang nampaknya mustahil, Yesus menyediakan satu jawapan yang bijaksana dan tidak dijangka:

“Bangunlah, angkatlah tikarmu, dan berjalanlah.”

“Dan pada saat itu juga orang itu sembuh, dan mengangkat tikarnya, dan berjalan” (Yohanes 5:8–9).

Dalam satu lagi adegan lembut, Lukas memberitahu kita bahawa Juruselamat, sewaktu mengembara ke Yerusalem, menemui 10 pesakit kusta. Kerana penyakit mereka, mereka “berdiri jauh” (Lukas 17:12). Mereka adalah orang terbuang—kotor and tidak diingini.

“Yesus, Tuan, kasihanilah kami,” mereka berseru (Lukas 17:13)—dalam kata lain, memohon, “Tidak adakah sesuatu yang Engkau boleh lakukan untuk kami?”

Doktor Yang Agung itu, yang penuh dengan belas kasihan, masih tahu bahawa iman mesti mendahului mukjizat dan oleh itu mengatakan kepada mereka, “Pergilah, perlihatkanlah dirimu kepada imam-imam” (Lukas 17:14).

Semasa mereka pergi dengan iman, mukjizat terjadi. Dapatkah kamu bayangkan kegembiraan yang sangat besar dengan setiap langkah apabila mereka menyaksikan dalam waktu sebenar yang tubuh mereka dibersihkan, disembuhkan, dan dipulihkan di hadapan mata mereka?

“Seorang daripada mereka, ketika dia melihat bahawa dia sudah sembuh, berpatah balik, dan dengan suara yang kuat memuji Tuhan,

“Dan dia bersujud di hadapan Yesus, dan mengucapkan terima kasih kepada-Nya. …

“Dan [Yesus] berkata kepadanya, Bangunlah dan pergilah; imanmu telah menyembuhkan kamu” (Lukas 17:15–16, 19).

Dalam amalan saya sebagai seorang bekas doktor dan pakar bedah, saya berfokus pada membaiki dan membetulkan tubuh fizikal. Yesus Kristus menyembuhkan tubuh, minda, dan roh dan penyembuhan-Nya bermula dengan iman.

Adakah kamu ingat apabila iman dan kegembiraanmu penuh melimpah ruah? Ingatkah saat kamu menemukan kesaksianmu atau ketika Tuhan mengesahkan kepadamu bahawa kamu adalah putera-Nya atau puteri-Nya dan bahawa Dia sangat mengasihimu—dan kamu berasa sempurna? Kalau masa itu nampaknya hilang, ia boleh ditemukan lagi.

Juruselamat menasihati kita bagaimana kita menjadi suci—sempurna atau menjadi sembuh:

“Marilah kepada-Ku, kamu semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu.

“Pikullah kuk yang Kupasang dan belajarlah pada-Ku; kerana Aku lemah lembut dan rendah hati: dan jiwamu akan mendapat ketenangan.

“Sebab kuk yang Kupasang itu enak dan beban-Ku pun ringan.” (Matius 11:28–30).

“Mari, ikutlah Aku” (Lukas 18:22) menjemput kita untuk meninggalkan kehidupan lama dan hasrat duniawi; dan menjadi makhluk baru di mana “yang lama telah berlalu [dan] semua hal menjadi baru” (2 Korintus 5:17), bahkan dengan sebuah hati baru yang setia. Dan kita menjadi suci semula.

“Mendekatlah kepada-Ku dan Aku akan mendekat kepadamu; carilah Aku dengan tekun dan kamu akan menemukan Aku; mintalah, dan kamu akan menerima, ketuklah, dan hal itu akan dibukakan kepadamu” (A&P 88:63).

Apabila kita mendekat kepada-Nya, kita menyedari bahawa kefanaan itu sukar dan bahawa ada “pertentangan dalam segala hal” (2 Nefi 2:11) bukanlah satu kesilapan dalam rancangan keselamatan. Pertentangan, agaknya, ialah unsur yang perlu bagi kefanaan dan ia menguatkan azam dan memperbaiki pilihan kita. Jatuh bangun dalam kehidupan membantu kita membentuk sebuah hubungan abadi dengan Tuhan—dan mengukir rupa-Nya pada wajah kita semasa kita menyerahkan hati kita kepada-Nya (lihat Alma 5:19).

“Berbuatlah demikian untuk mengenang Aku” (Lukas 22:19) adalah apa yang diminta Juruselamat kita ketika Dia memulakan apa yang kita panggil sakramen. Tatacara ini dengan roti dan air memperbaharui perjanjian kudus yang kita telah buat dengan Tuhan dan menjemput kuasa Korban Tebusan ke dalam hidup kita. Kita disembuhkan dengan meninggalkan tabiat dan cara hidup yang mengeraskan hati dan degil. Apabila kita meletakkan “senjata pemberontakan [kita]” (Alma 23:7), kita menjadi “juru kuasa bagi [diri kita sendiri]” (A&P 58:28), tidak lagi dibutakan oleh kelicikan Iblis atau dipekakkan oleh bunyi yang bertentangan dari dunia sekular.

Apabila kita bertaubat dan berpaling kepada Tuhan, kita menjadi suci, dan kesalahan kita disapu bersih. Kita mungkin tertanya-tanya, seperti yang Enos lakukan, “Bagaimana itu terjadi?” Tuhan menjawab: “Kerana imanmu kepada Kristus. … Oleh kerana itu, pergilah, imanmu telah menjadikan engkau suci” (Enos 1:7, 8).

Corrie ten Boom, seorang wanita Kristian Belanda yang salih, menemukan penyembuhan yang demikian walaupun telah dikurung dalam kem pemusatan selama Perang Dunia II. Dia sungguh menderita, tetapi tidak seperti adiknya yang terkasih Betsie, yang binasa dalam salah satu kem itu, tetapi Corrie terselamat.

Selepas perang dia sering bercakap secara terbuka tentang pengalamannya dan tentang penyembuhan dan pengampunan. Pada satu ketika seorang bekas pengawal Nazi yang telah menjadi bahagian daripada pengurungan Corrie sendiri yang menyedihkan di Ravensbrück, Jerman, mendekati dia, bersukacita pada pesanannya berkenaan pengampunan dan kasih Kristus.

“‘Betapa bersyukurnya saya kepada pesananmu, Fraulein, ’ dia berkata. ‘Berfikir bahawa, seperti yang kamu katakan, Dia telah menghapuskan dosa-dosa saya!’

“Tangannya dihulurkan untuk menjabat tanganku,” Corrie mengingat kembali. “Dan saya, yang telah begitu sering berkutbah tentang keperluan untuk mengampuni, menahan tangan saya pada sisi saya.

“Bahkan kemarahan, pemikiran berdendam meningkat dalam diri saya, saya melihat dosa mereka. …Tuhan Yesus, saya berdoa, ampunilah saya dan tolonglah saya untuk mengampuninya.

”Saya cuba tersenyum, [dan] saya bergelut untuk mengangkat tangan saya. Saya tidak dapat. Saya tidak berasa apa-apa, tiada sedikit pun percikan kehangatan ataupun kasih amal. Dan sekali lagi saya menarik nafas berdoa secara senyap. Yesus, saya tidak dapat mengampuni dia. Berilah saya pengampunan-Mu,

Semasa saya menjabat tangannya hal yang luar biasa terjadi. Dari bahu di sepanjang lengan dan melalui tangan saya sebuah arus seolah-olah lewat dari saya ke dia, sementara dalam hati saya timbul kasih kepada orang asing ini yang hampir menyelubungi saya.

“Oleh itu saya mendapati bahawa bukanlah pada pengampunan kita apa lagi daripada kebaikan kita bahawa bergantungnya penyembuhan di dunia, tetapi pada-Nya. Apabila Dia memberitahu kita untuk mengasihi musuh-musuh kita, Dia memberi, bersama-sama dengan arahan, iatu kasih itu sendiri.”1

Corrie ten Boom disembuhkan.

Presiden Thomas S. Monson telah berkata, “Ada satu hayat yang menyokong mereka yang risau atau yang dilanda duka dan kesedihan—bahkan Tuhan Yesus Kristus.”2

Jika kamu berasa kotor, tidak disayangi, tidak gembira, tidak layak, atau tidak suci, ingatlah “semua yang tidak adil berkenaan hidup boleh dijadikan benar melalui Korban Tebusan Yesus Kristus.”3 Berimanlah dan bersabarlah di dalam masa dan tujuan Juruselamat bagi kamu. “Janganlah takut, percayalah sahaja” (Markus 5:36).

Yakinlah Juruselamat masih berupaya membaiki jiwa kita dan menyembuhkan hati kita. Dia menunggu di pintu dan mengetuk. Marilah kita menjawab dengan mula berdoa lagi, bertaubat, mengampuni, dan melupakan. Marilah kita mengasihi Tuhan dan melayani jiran kita dan berdiri di tempat kudus dengan hidup yang dijadikan bersih. Orang sakit pada kolam Betesda, pesakit kusta di sepanjang perjalanan ke Yesusalem, dan Corrie ten Boom telah disembuhkan. “Mahukah kamu sembuh?” Bangunlah dan berjalanlah. “Rahmat-Nya cukup” (2 Korintus 12:9), dan kamu tidak akan berjalan sendirian.

Saya telah tahu bahawa Tuhan hidup. Saya tahu bahawa kita semua adalah anak-anak-Nya dan bahawa Dia mengasihi kita tanpa mengira siapa kita dan apa yang kita boleh menjadi. Saya tahu Dia telah mengutus putera-Nya ke dunia sebagai korban tebusan bagi semua manusia dan bahawa mereka yang dengan rela menerima injil-Nya dan mengikuti-Nya akan menjadi suci dan sempurna—“dalam waktu-Nya sendiri, dan dalam cara-Nya sendiri, dan sesuai dengan kehendak-Nya sendiri” (A&P 88:68), melalui belas kasih-Nya yang lembut. Inilah kesaksian saya kepada kamu dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Corrie ten Boom, The Hiding Place (1971), 215.

  2. Thomas S. Monson, “Meeting Life’s Challenges,” Ensign, Nov. 1993, 71.