2010–2019
Berkat Bait Suci
April 2015


Berkat Bait Suci

Apabila kita menghadiri bait suci, kita akan merasai satu dimensi kerohanian dan perasaan keamanan.

Saudara dan saudariku yang tersayang, saya bersyukur dapat bersama kamu pada pagi Paska yang indah ini apabila fikiran kita berpaling kepada Juruselamat dunia. Saya menghulur kasih dan salam kepada semua dan berdoa agar Bapa di Syurga akan mengilhami kata-kata saya.

Persidangan ini menandakan tujuh tahun sejak saya disokong menjadi Presiden Gereja. Tahun-tahun tersebut teramatlah sibuk, dipenuhi bukan sahaja dengan beberapa cabaran tetapi juga dengan berkat yang banyak. Di antara berkat-berkat tersebut, yang paling suci dan menyeronokkan adalah kepeluangan untuk membakti dan pembaktian semula bait suci.

Baru-baru ini, pada bulan November lepas saya berpeluang untuk membaktikan bait suci baru yang indah iaitu Bait Suci Phoenix Arizona. Saya disertai Presiden Dieter F. Uchtdorf, Elder Dallin H. Oaks, Elder Richard J. Maynes, Elder Lynn G. Robbins dan Elder Kent F. Richards. Pada petang sebelum pembaktian, satu sambutan kebudayaan yang hebat diadakan dimana 4,000 lebih remaja dari daerah bait suci memberi pertunjukkan yang cantik. Keesokkan harinya, bait suci didedikasikan dalam tiga sesi yang suci dan mengilhamkan.

Pembinaan bait suci adalah petunjuk jelas perkembangan Gereja. Kita sekarang mempunyai 144 bait suci yang beroperasi diseluruh dunia, 5 sedang diubah suai dan 13 lagi dalam pembinaan. Tambahan pula, 13 bait suci yang telah diumumkan dahulu berada dalam pelbagai peringkat penyediaan sebelum pembinaan dimulakan. Tahun ini kami berharap untuk membakti semula dua bait suci dan membaktikan lima bait suci baru yang dijadualkan siap bina tahun ini.

Selama dua tahun yang lepas, kami telah menumpukan usaha untuk menyempurnakan bait suci-bait suci yang diumumkan sebelum ini, oleh itu menundakan sebarang rancangan untuk pembinaan bait suci baru. Namun, pagi ini, saya dengan sukacita ingin mengumumkan tiga bait suci yang akan di bina di lokasi-lokasi berikut: Abidjan, Ivory Coast; Port-au-Prince, Haiti; dan Bangkok, Thailand. Betapa hebat berkat yang akan diperoleh bagi ahli-ahli beriman di kawasan tersebut, dan jugalah bait suci-bait suci lain di seluruh dunia.

Proses untuk menentukan keperluan dan mencari lokasi untuk pembinaan bait suci yang lebih masih diteruskan, kerana kami menginginkan ahli-ahli berpeluang menghadiri bait suci tanpa pengorbanan masa dan sumber yang tinggi. Sepertimana kita telah lakukan dahulu, kami akan sentiasa memaklumkan keputusan-keputusan berkenaan perkara ini.

Apabila saya mengenangkan bait suci, saya terfikir akan banyak berkat yang diterima darinya. Apabila kita masuk melalui pintu bait suci, kita meninggalkan gangguan dan kekeliruan dunia. Di dalam kawasan perlindungan yang suci ini, kita menemui kecantikan dan aturan. Terdapat tempat rehat bagi jiwa dan penangguhan daripada kisah hidup kita.

Apabila kita menghadiri bait suci, kita akan merasai satu dimensi kerohanian dan perasaan keamanan yang melangkaui perasaan-perasaan lain yang boleh datang ke hati manusia. Kita akan dapat memahami erti sebenar kata-kata Juruselamat apabila Dia berkata: “Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu; kesejahteraan-Ku sendiri yang Aku berikan kepada kamu. …Janganlah kamu risau dan janganlah takut.”1

Keamanan sebegitu boleh meresap ke dalam apa jua hati—hati yang dalam kesusahan, hati yang dibeban kesedihan, yang keliru, hati yang merayu untuk ditolong.

Baru-baru ini saya mendapat tahu mengenai seorang lelaki muda yang menghadiri bait suci dengan hati yang merayu untuk dibantu. Beberapa bulan sebelumnya dia telah menerima panggilan untuk melayan misi di Amerika Selatan. Namun demikian, visanya telah ditangguhkan beberapa kali jadi dia di beri panggilan baru untuk melayan suatu misi di Amerika Syarikat. Walaupun dia kecewa kerana tidak dapat melayani misi asalnya, dia tetap bekerja kuat di kawasan barunya, berazam untuk berusaha dengan sepenuh hati. Kemudiannya, dia patah semangat kerana pengalaman negatif yang dialami dengan mubaligh-mubaligh yang lebih menginginkan keseronokkan daripada mengkongsikan Injil.

Beberapa bulan kemudian, lelaki muda ini menghadapi satu cabaran kesihatan serius yang menyebabkan dia separa lumpuh, dan perlu dihantar pulang untuk pulih.

Selepas beberapa bulan, lelaki muda ini sembuh sepenuhnya, kelumpuhannya hilang. Dia diberitahu bahawa dia boleh melayan semula sebagai mubaligh, satu berkat yang dia telah doakan setiap hari. Tetapi berita yang mengecewakan adalah dia harus pulang ke misi sama yang telah tinggalkan, di mana dia rasa tingkah laku dan sikap beberapa orang mubaligh adalah kurang daripada yang sepatutnya.

Dia telah datang ke bait suci untuk mencari ketenangan dan pengesahan bahawa dia dapat memperoleh pengalaman yang baik sebagai mubaligh. Ibu bapanya juga telah berdoa agar kehadiran bait sucinya akan memberi anaknya pertolongan yang diperlukan.

Apabila lelaki muda itu memasuki bilik selestial selepas sesi, dia duduk di kerusi dan mula berdoa untuk mendapat panduan dari Bapa di Syurga.

Tidak lama kemudian, seorang lagi lelaki muda memasuki bilik selestial bernama Landon. Apabila dia memasuki bilik itu, pandanganya dengan serta-merta tertarik kepada lelaki muda yang duduk diatas kerusi, mata tertutup dan sememangnya sedang berdoa. Landon memperoleh dorongan jelas bahawa dia harus bercakap dengan lelaki muda itu. Kerana tidak ingin menganggu, dia menunggu. Beberapa minit berlalu dan lelaki muda itu masih berdoa, Landon tahu dia tidak dapat menangguh dorongan itu lagi. Dia menghampiri lelaki muda itu dan dengan lembut menyentuh bahunya. Lelaki muda itu membuka matanya, terkejut kerana diganggu. Landon berkata dengan perlahan, “Saya terdorong untul bercakap dengan kamu, tetapi saya tidak tahu kenapa.”

Apabila mereka mula bercakap, lelaki muda itu meluahkan isi hatinya kepada Landon, menerangkan keadaannya dan mengakhiri dengan keinginannya untuk mendapat ketenangan dan galakan berkenaan misinya. Landon, yang baru pulang daripada misi dengan jayanya tahun lepas, berkongsi pengalaman misinya, cabaran dan kerisauan yang dihadapi, bagaimana dia meminta pertolongan dari Tuhan dan berkat-berkat yang diterima. Kata-katanya menenangkan dan meyakinkan, dan semangat terhadap misinya amatlah berpengaruh. Lambat laun, ketakutan yang dirasai reda, perasaan aman dirasai. Dia sangat bersyukur apabila dia sedar doanya sudah terjawab.

Mereka berdua berdoa bersama, dan Landon membuat persediaan untuk pulang, gembira dia telah mengikuti dorongan yang datang kepadanya. Apabila dia berdiri untuk pergi, lelaki muda itu bertanya Landon, “Di manakah kamu melayani misi?” Sehingga sekarang, mereka berdua belum menyebut kawasan misi mereka. Apabila Landon menjawab dengan memberi nama misinya, mata lelaki muda itu dipenuhi air mata. Landon telah melayani misi yang sama dengan yang akan dilayani lelaki muda itu!

Dalam suratnya baru-baru ini, Landon mengongsikan kata perpisahan lelaki muda itu kepada dia: “Saya mempunyai iman bahawa Bapa di Syurga akan memberkati saya, tetapi saya tidak pernah bayangkan bahawa Dia akan menghantar seseorang yang telah melayani dalam misi saya untuk membantu. Sekarang saya tahu bahawa semua akan menjadi baik.”2 Doa seseorang yang berhati ikhlas telah didengari dan dijawab.

Saudara dan saudariku, dalam hidup kita akan menghadapi godaan; kita akan menghadapi ujian dan cabaran. Apabila kita pergi ke bait suci, apabila kita mengingati perjanjian yang dibuat, kita akan dapat mengatasi godaan dan menanggung ujian dengan lebih. Dalam bait suci, kita akan memperoleh keamanan.

Berkat-berkat bait suci adalah tidak ternilai. Satu-satunya berkat yang amat disyukuri setiap hari dalam hidup ialah apabila saya dan isteri tersayang saya, Frances berlutut di mezbah suci dan membuat perjanjian yang mengikatkan kami untuk selamanya. Tiada berkat lain yang lebih berharga bagi saya daripada keamanan dan ketenangan yang diperoleh daripada pengetahuan bahawa dia dan saya akan bersama semula nanti.

Semoga Bapa di Syurga memberkati kita agar kita punyai roh untuk menyembah di bait suci, agar kita taat kepada perintah-perintah-Nya, dan agar kita mengikut jejak langkah Tuhan dan Juruselamat kita, Yesus Kristus. Saya bersaksi bahawa Dia ialah Penebus kita. Dia ialah Anak Tuhan. Dia yang keluar dari kubur pagi Paska pertama itu, membawa bersama-Nya kurniaan kehidupan abadi untuk semua anak Tuhan. Pada hari yang indah ini, sambil kita meraikan peristiwa bersejarah ini, semoga kita berikan doa syukur untuk kurniaan-Nya yang hebat dan menakjubkan. Semoga ia menjadi sedemikian, dengan rendah hati saya berdoa dalam nama suci-Nya, amin.