2010–2019
Menunggu yang Sesat
April 2015


Menunggu yang Sesat

Semoga kamu dan saya menerima wahyu untuk mengetahui cara terbaik untuk mendekati mereka yang sesat dalam hidup kita.

Pelayanan awal Juruselamat Yesus Kristus telah digunakan untuk mengajar tentang kuasa penyembuhan dan penebusan-Nya. Terdapat satu peristiwa dalam Lukas bab 15 Perjanjian Baru, di mana Dia dikritik bermakan dan meluangkan masa dengan mereka yang berdosa (lihat Lukas 15:2). Juruselamat mengunakan kritikan ini sebagai satu peluang untuk mengajar kita semua bagaimana menjawab mereka yang sudah sesat.

Dia membalas pengkritik-Nya dengan menanya mereka dua soalan penting:

“Andaikata seorang daripada kamu mempunyai seratus ekor domba, lalu kehilangan seekor, apakah yang akan dilakukannya? Tentu dia akan meninggalkan domba yang sembilan puluh sembilan ekor di padang rumput, lalu pergi mencari yang hilang itu sehingga dapat.” (Lukas 15:4).

“Atau andaikata seorang wanita mempunyai sepuluh keping wang perak, lalu kehilangan sekeping, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan memasang pelita, menyapu rumah lalu mencari wang itu dengan teliti sehingga dapat.” (Lukas 15:8).

Juruselamat kemudian mengajar perumpamaan tentang anak yang sesat. Perumpamaan ini bukanlah tentang 100 domba atau 10 keping perak; ia adalah tentang seorang anak lelaki tersayang yang sesat. Melalui perumpamaan itu, apakah yang telah diajar oleh Juruselamat berkenaan cara untuk bertindak dengan ahli keluarga yang telah kehilangan jalan?

Anak yang sesat memaklumkan kepada bapanya bahawa dia menginginkan harta warisannya sekarang. Dia mahu meninggalkan keselamatan rumah dan keluarga untuk mencari dan mengejar benda duniawi (lihat Lukas 15:12–13). Dalam perumpamaan Juruselamat, perhatikan bapa ini menjawab dengan kasih dan memberi harta warisan kepada anaknya. Sudah pasti bapa ini telah melakukan semua yang mungkin untuk meyakinkan anak lelakinya supaya dia tidak pergi. Tetapi, apabila anak lelaki dewasanya telah membuat pilihan, bapa yang arif itu membiarkan dia pergi. Kemudiannya, bapa ini menunjukkan kasih sayang ikhlas, iaitu dengan memerhati dan menunggu (lihat Lukas 15:20).

Keluarga saya juga mempunyai pengalaman yang hampir sama. Abang dan adik yang setia, kakak yang menakjubkan dan saya telah dibesarkan oleh ibu bapa yang berteladan. Kami telah diajar Injil di rumah, dan apabila dewasa, keempat-keempat kami dimeteraikan di Bait Suci kepada pasangan masing-masing. Namun, pada tahun 1994, kakak kami, Susan, menjadi kecewa terhadap Gereja dan beberapa ajaranya. Dia telah dipengaruhi mereka yang memaki dan mengkritik pemimpin-pemimpin Gereja yang awal. Dia membenarkan imannya terhadap nabi dan rasul hidup berkurangan. Lambat-laun, keraguan mengatasi kepercayaanya, dan dia membuat keputusan untuk meninggalkan Gereja. Susan telah memberi kebenaran untuk mengongsikan ceritanya dengan harapan ia boleh menolong orang lain.

Abang-abang, saya dan ibu balu kami teramatlah sedih. Kami bagai tidak percaya dia akan meninggalkan imannya. Keputusan kakak saya telah mengecewakan hati ibu kami.

Abang-abang dan saya sudah pernah melayan sebagai Uskup dan Presiden Kuorum, dan kami mempunyai pengalaman tentang kegembiraan yang dirasai setelah meninggalkan yang sembilan puluh sembilan untuk mencari yang satu dengan jayanya. Namun, dengan kakak, usaha berterusan kami untuk menyelamat dan menjemputnya kembali hanya menolaknya semakin jauh.

Sambil kami cuba mendapatkan bimbingan syurgawi untuk membantunya, ia menjadi jelas bahawa kami harus mengikuti contoh bapa ini dalam perumpamaan anak yang sesat. Susan telah membuat pilihan, dan kami harus melepaskannya—tetapi dengan memastikan dia tahu dan merasai kasih sayang kami terhadapnya. Jadi, dengan kasih sayang dan kebaikan yang diperbaharui, kami memerhati dan menunggu.

Ibu saya tidak pernah berhenti untuk menyayangi dan mengkhuatiri Susan. Setiap kali ibu saya menghadiri bait suci, dia akan memasukkan nama Susan dalam gulungan doa dan ibu tidak pernah hilang harapan. Abang saya dan isterinya, tinggal paling dekat dengan Susan di California, selalu menjemput dia ke acara keluarga. Setiap tahun untuk hari jadi Susan, mereka menyediakan makan malam dirumah mereka untuknya. Mereka memastikan perhubungan yang sentiasa dengan Susan dan agar dia tahu kasih saying tulen mereka untuknya.

Adik lelaki saya dan isterinya memastikan anak-anak Susan di Utah dijaga dan disayangi. Mereka juga memastikan anak-anaknya sentiasa dijemput ke acara-acara keluarga dan apabila tiba untuk cucu perempuan Susan dibaptiskan, adik saya berada di situ untuk melaksanakan tatacara Injil itu. Susan juga mempunyai pengajar keluarga dan pengajar berkunjung yang tidak pernah putus asa.

Apabila anak kami pergi melayani misi dan berkahwin. Susan dijemput untuk menghadiri sambutan-sambutan keluarga tersebut. Kami berusaha untuk sentiasa mengadakan acara keluarga supaya Susan dan anak-anaknya boleh bersama kami agar mereka ketahui kami menyayangi mereka dan mereka adalah sebahagian keluarga kami. Apabila Susan mendapat ijazah lanjutan dari sebuah universiti di California, kami semua hadir untuk memberi sokongan pada hari graduasinya. Walaupun kami tidak menyetujui semua pilihan dia, kami tetap boleh menyayanginya. Kami mengasihi, kami memerhati, dan kami menunggu.

Pada tahun 2006, 12 tahun sejak Susan meninggalkan Gereja, anak perempuan kami Katy bersama suaminya berpindah ke California untuk menghadiri sekolah undang-undang. Mereka tinggal sebandar dengan Susan. Pasangan muda ini bergantung kepada mak cik Susan untuk pertolongan dan sokongan, dan mereka menyayangi dia. Susan bantu menjaga cucu perempuan kami yang berumur dua tahun, Lucy, dan Susan mendapati dirinya menolong Lucy dengan doa setiap malamnya. Pada suatu hari Katy menelefon saya dan menanya sama ada saya rasa Susan akan kembali ke Gereja. Saya memberi jaminan bahawa dia akan kembali dan kita harus sentiasa bersabar. Tiga tahun lagi berlalu, dengan kasih-sayang yang berterusan, kami memerhati dan kami menunggu.

Enam tahun yang lepas pada minggu ini, isteri saya, Marcia dan saya sedang duduk di barisan pertama dalam Pusat Persidangan. Saya akan disokong sebagai Penguasa Umum baru pada hari itu. Marcia yang selalunya peka kepada dorongan Roh Kudus, telah menuliskan satu nota kepada saya yang berbaca, “Saya rasa sudah tiba masa untuk Susan kembali ke gereja.” Anak saya Katy mencadangkan saya keluar dan menelefon Susan untuk menjemputnya menonton persidangan umum pada hari itu.

Dengan dorongan dua wanita yang hebat ini, saya berjalan ke ruang legar dan menelefon Susan. Saya mendapat mel suaranya dan menjemput dia untuk menonton sesi persidangan umum itu. Dia mendapat pesanan itu. Dengan gembiranya, kami mendapat tahu bahawa dia menonton kesemua sesi-sesi persidangan. Dia mendengar dari nabi dan rasul yang pernah disayangi pada satu ketika dahulu. Dia menemui nama-nama baru yang tidak pernah didengari, seperti Presiden Uchtdorf dan Elder Bednar, Cook, Christofferson dan Andersen. Ketika ini dan pengalaman unik lain dari syurga, kakak saya—seperti anak lelaki yang sesat—akhirnya sedar (lihat Lukas 15:17). Kata-kata para nabi dan rasul dan kasih-sayang keluarga telah mengerakkannya untuk berpaling dan memulakan perjalanan untuk pulang ke rumah. Selepas 15 tahun anak perempuan dan kakak kami yang sesat telah ditemui. Masa untuk memerhati dan menunggu telahpun berakhir.

Susan menggambarkan pengalaman ini sepertimana Lehi mengambarkan dalam Kitab Mormon. Dia telah melepaskan batang besi dan mendapati dirinya di dalam kabut kegelapan (lihat 1 Nephi 8:23). Dia berkata bahawa dia tidak tahu yang dia sesat sehinggalah imannya dibangunkan kembali oleh Cahaya Kristus, yang dengan terang telah memperbesarkan perbezaan jelas diantara apa yang dia alami dan apa yang Tuhan dan keluarganya ingin berikan.

Satu mukjizat telah berlaku dalam 6 tahun ini. Susan memperoleh pembaharuan kesaksian terhadap Kitab Mormon. Dia sudahpun menerima rekomen bait sucinya. Dia telah melayani sebagai pekerja tatacara dalam bait suci, dan sekarang dia mengajar kelas Ajaran Injil dalam bahagiannya. Tingkap syurga telah di buka untuk anak-anak dan cucu-cucunya, dan walaupun terdapat akibat berikutan pilihan sebelumnya yang susah, ia bagaikan dia tidak pernah pergi.

Ada diantara kamu, seperti keluarga Nielson, mempunyai ahli keluarga yang telah hilang perjalanan mereka buat sementara. Juruselamat mengarah semua yang mempunyai 100 domba untuk meninggalkan sembilan puluh sembilan domba dan pergi menyelamatkan satu yang hilang. Dia mengarah mereka yang mempunyai 10 keping perak dan kehilangan sekeping untuk mencari sehingga ianya dijumpai. Apabila yang sesat itu anak lelaki atau anak perempuan, abang atau kakak dan dia telah memilih untuk pergi, kami telah pelajari dalam keluarga kami bahawa, selepas berusaha sebaik mungkin, mengasihi dengan sepenuh hati dan memerhati, kita berdoa, dan kita menunggu untuk bantuan Tuhan.

Mungkin ajaran Tuhan yang paling penting dalam proses ini berlaku semasa pengajian ayat suci sekeluarga kami selepas kakak saya meninggalkan Gereja. Anak lelaki kami David sedang membaca sambil kami mengaji bersama Lukas 15. Sambil dia membaca perumpamaan anak lelaki yang sesat, saya mendengarinya dengan berlainan pada hari itu. Atas sebab tertentu, saya selalu dapat mengaitkan diri dengan anak lelaki yang tinggal di rumah. Semasa David membaca pada pagi itu, saya sedar bahawa dalam beberapa cara saya adalah anak lelaki yang sesat itu. Kita semua berdosa dan jauh dari Tuhan (lihat Roma 3:23). Kita semua memerlukan penebusan Juruselamat untuk dipulihkan. Kita semua sesat dan perlu diselamatkan. Wahyu ini pada hari itu telah menolong saya untuk mengetahui bahawa kakak saya dan saya memerlukan kasih sayang Juruselamat dan Penebusan-Nya. Susan dan saya sebenarnya berada dalam perjalanan yang sama untuk pulang ke rumah syurgawi.

Kata-kata Juruselamat dalam perumpamaan apabila bapa itu menyapa anak lelakinya yang sesat amatlah berkuasa, dan saya percaya ia mungkin penghuraian pengalaman yang akan dihadapi kamu dan saya dengan Bapa apabila kembali ke rumah syurgawi kita. Ia mengajar kita tentang seorang bapa yang mengasihi, menunggu dan memerhati. Inilah kata-kata Juruselamat: “Dia masih jauh dari rumah apabila bapanya nampak dia. Dengan penuh kasihan, bapanya lari menemui dia, lalu memeluk, dan menciumnya” (Lukas 15:20).

Semoga kamu dan saya menerima wahyu untuk mengetahui cara yang terbaik untuk mendekati mereka yang sesat, dan apabila perlu, untuk bersabar dan mempunyai kasih sayang Bapa di Syurga dan Putera-Nya, Yesus Kristus, sambil kita menyayangi, memerhati dan mununggu untuk yang sesat. Dalam nama Yesus Kristus, amin.