2010–2019
Bunyikan Trompet dengan Nyaring
Oktober 2015


Bunyikan Trompet dengan Nyaring

Dunia memerlukan pengikut-pengikut Kristus yang boleh menyampaikan pesanan Injil dengan jelas dan ikhlas.

Musim panas baru-baru ini, dua cucu lelaki muda datang untuk tinggal bersama saya dan isteri, sementara ibu bapa mereka menyertai aktiviti trek perintis pancang. Anak perempuan kami ingin memastikan mereka melatih piano semasa di rumah kami. Dia tahu dalam beberapa hari berada di rumah datuk nenek senang untuk lupa berlatih. Satu petang saya membuat keputusan untuk duduk bersama cucu lelaki berumur 13 tahun, Andrew, dan mendengar dia bermain piano.

Cucu ini sangat bertenaga dan suka berada di luar. Dia boleh menghabiskan kesemua masanya memburu dan memancing ikan dengan mudah. Ketika dia melatih bermain piano, saya dapat merasai bahawa dia lebih ingin pergi memancing di sungai yang berdekatan. Saya mendengar setiap rentasan sebuah lagu terkenal dimain secara terpaksa. Setiap nada dimain dengan penekanan dan ukuran yang sama, susah untuk mengenali melodinya. Saya duduk bersamanya di bangku itu dan menerangkan kepentingan untuk mengaplikasikan tekanan pada kunci melodi dan mengurangkan tekanan pada nada yang mengiring melodi. Kami berbincang berkenaan piano yang bukan hanya alat mesin yang mengkagumkan. Ia boleh menjadi lanjutan suara dan perasaan tersendiri dan boleh menjadi satu alat komunikasi yang hebat. Sepertimana seseorang bertutur dan menggerakkan kata-kata dengan lancar, begitu juga melodi apabila kita menggerakkan satu nada ke nada seterusnya.

Kami ketawa bersama sambil dia mencuba berkali-kali. Senyumannya yang berlesung pipit itu membesar apabila melodi yang dikenali timbul dari sekumpulan bunyi liar sebelumnya. Pesanan menjadi jelas: “Saya anak Tuhan, ‘ku diciptakan-Nya.”1 Saya tanya Andrew jika dia dapat merasai perbezaan dalam pesanan itu. Dia menjawab, “Ya, Datuk, saya merasainya!”

Rasul Paulus telah mengajar kita tentang perbandingan komunikasi dengan alat muzik apabila dia menulis kepada jemaah Korintus:

“Marilah kita ambil contoh alat-alat muzik yang tidak bernyawa, seperti seruling dan kecapi. Jika not-notnya tidak dimainkan dengan jelas, bagaimanakah orang dapat mengetahui lagu yang dimainkan?

“Jika trompet ditiup dengan tidak menentu, siapakah yang akan bersiap untuk berperang?”2

Sekaranglah masanya dunia memerlukan pengikut-pengikut Kristus yang boleh menyampaikan pesanan Injil dengan jelas dan ikhlas. Kita memerlukan panggilan nyaring trompet.

Kristuslah teladan terbaik kita. Dia sentiasa menunjukkan keberanian untuk mempertahankan kebenaran. Firman-firman-Nya bergema menerusi abad, mengundang kita untuk mengingati kasih sayang terhadap Tuhan dan rakan, mematuhi perintah-perintah Tuhan dan menjadi contoh yang baik kepada dunia. Dia tidak takut untuk melawan kuasa dunia atau pemimpin semasa-Nya, walaupun mereka menentang misi-Nya yang diberi oleh Bapa Syurgawi-Nya. Firman-firman-Nya tidak direka untuk mengelirukan tetapi untuk menggerakkan hati manusia. Dia faham kehendak Bapa-Nya dengan jelas terbukti dalam semua yang difirman dan dilakukan-Nya.

Saya juga sangat suka teladan Petrus, yang menghadapi manusia duniawi dengan berani dan murni pada hari Pentakosta. Pada hari itu ramai orang dari pelbagai negara berhimpun dan mencela Orang Suci awal kerana mereka didengari bertutur dalam bahasa-bahasa lain dan dianggapi mabuk. Petrus, dengan kuasa Roh dalam dirinya, berdiri untuk mempertahankan Gereja dan ahli-ahlinya. Dia bersaksi dengan kata-kata berikut: “Saudara-saudara orang Yahudi dan semua yang tinggal di Yerusalem! Dengarlah baik-baik dan benarkan saya menjelaskan hal ini.”3

Kemudian dia memetik dari ayat-ayat suci berkenaan nubuat-nubuat Kristus dan memberi kesaksian terang: “Oleh itu semua orang Israel harus tahu bahawa Yesus yang saudara-saudara salibkan itu, ialah Dia yang sudah diangkat oleh Tuhan Bapa menjadi Tuhan dan Penyelamat.”4

Ramai mendengari kata-katanya dan merasai Roh, dan 3,000 orang menjadi ahli gereja. Ini bukti yang berkuasa bahawa seorang lelaki atau perempuan yang bersedia untuk bersaksi apabila dunia sedang menuju ke arah berlawanan boleh membuat perbezaan.

Apabila kita sebagai ahli membuat keputusan untuk mempertahankan dan memberi saksi hebat berkenaan ajaran dan gereja Tuhan, sesuatu dalam diri kita berubah. Kita mengambil air muka-Nya. Kita merapati Roh-Nya. Dia pula akan pergi ke hadapan muka kita dan berada pada “sisi kanan [kita] dan sisi kiri [kita], dan Roh [-Nya] akan berada dalam hati [kita], dan para malaikat [-Nya] di sekitar [kita], untuk menopang [kita].”5

Pengikut Kristus yang ikhlas tidak akan cuba memberi alasan bagi ajaran apabila ia tidak secocok dengan konsep terkini dunia. Paulus seorang lagi pengikut gagah yang mengisytiharkan dengan berani bahawa dia “yakin dengan sepenuhnya bahawa Berita Baik itu kuasa Tuhan yang menyelamatkan semua orang yang percaya kepada Yesus.”6 Pengikut-pengikut yang benar mewakili Tuhan walaupun ia tidak mudah. Pengikut-pengikut yang benar ingin mengilhami hati manusia, bukan sahaja untuk menarik hati mereka.

Sering kali tidak mudah atau selesa untuk mempertahankan Kristus. Saya pasti ia sedemikian untuk Paulus apabila dia dipanggil untuk menghadap Raja Agripa dan disuruh untuk menjustifikasikan diri dan memberitahu ceritanya. Paulus, tanpa beragu-ragu, mengisytiharkan kepercayaannya dengan hebat sehinggalah raja yang ditakuti ini mengakui bahawa dia “hampir” diyakinkan untuk menjadi seorang Kristian.

Balasan Paulus memberi saksi akan keinginannya untuk orang ramai memahami sepenuhnya apa yang dia hendak kata. Dia memberitahu Raja Agripa keinginannya untuk semua yang mendengarnya bukan hanya “hampir” menjadi orang Kristian, tetapi “kesemua” menjadi pengikut-pengikut Kristus.7 Mereka yang berkata dengan jelas boleh mencapai ini.

Bertahun-tahun saya mengkaji cerita mimpi Lehi dalam Kitab Mormon.8 Saya sentiasa fikirkan bangunan besar dan lapang itu sebagai tempat untuk mereka yang suka memberontak. Bangunan itu dipenuhi dengan orang, mengejek dan menundingkan jari kepada orang beriman yang telah memegang kepada batang besi, yang melambangkan firman Tuhan, dan sedang berjalan ke arah pohon kehidupan, iaitu penggambaran kasih Tuhan. Ada yang tidak dapat melawan tekanan dari mereka yang mengejek lalu jatuh sesat. Yang lain membuat keputusan untuk menyertai mereka yang mengejek dalam bangunan itu. Adakah mereka mempunyai keberanian untuk menggagahi kritikan dan pesanan dunia?

Saya perhati dunia kini semakin menjauhi Tuhan, sudah tentu bangunan ini semakin besar. Hari ini ramai mendapati diri merayau balai bangunan besar dan lapang itu tanpa menyedari bahawa mereka telah menjadi sebahagian daripada budayanya. Mereka sering mengalah kepada godaan dan pesanan-pesanannya. Akhirnya mereka akan mengkritik atau menyetujui mereka yang mengkritik atau mengejek.

Bertahun-tahun saya sangka mereka mencemuh cara kehidupan orang yang beriman, tetapi suara-suara dari bangunan hari ini telah mengubahkan nada dan pendekatan mereka. Mereka yang kerap mengejek ingin melemaskan pesanan mudah Injil dengan menyerang aspek sejarah Gereja atau mengkritik nabi atau pemimpin lain. Mereka juga menyerang pusat ajaran dan hukum Tuhan, yang telah diberikan sejak Penciptaan bumi. Kita, sebagai pengikut Yesus Kristus dan ahli-ahli Gereja-Nya, jangan sekali-kali melepaskan batang besi itu. Kita mesti membunyikan trompet yang jelas dari jiwa kita.

Pesanan tunggalnya ialah Tuhan ialah Bapa Syurgawi kita dan Yesus Kristus Putera-Nya. Injil telah dipulihkan untuk zaman ini melalui nabi-nabi hidup dan ia terbukti dengan adanya Kitab Mormon. Perjalanan untuk mencapai kegembiraan adalah melalui unit keluarga asas sepertimana diorganisasi dan diwahyukan oleh Bapa Syurgawi kita. Inilah melodi pesanan yang dikenali ramai kerana semua telah mendengarnya semasa di prafana.

Sekaranglah masa bagi kita, Orang Suci Zaman Akhir, untuk mempertahan dan bersaksi. Inilah masa nada melodi Injil bangkit dari kebisingan dunia. Saya menyambung kesaksian saya kepada pesanan Juruselamat dan Penebus dunia ini. Dia hidup! Injil-Nya telah dipulihkan dan berkat kegembiraan dan keamanan boleh dijamin dalam hidup ini melalui kepatuhan kepada perintah-perintah dan pengikutan teladan-Nya. Ini kesaksian saya dalam nama Yesus Kristus, amin.