2010–2019
Roh Kudus sebagai Peneman
Oktober 2015


Roh Kudus sebagai Peneman

Kita boleh, jika kita berkelayakan, mendapat berkat Roh untuk bersama kita, bukan sahaja kadangkala tetapi sentiasa.

Saudara dan saudari yang dikasihi, saya bersyukur dapat bersama anda pada hari Sabat ini di persidangan Gereja Tuhan. Saya telah merasai, seperti anda rasai, Roh Kudus yang bersaksi akan kebenaran kata-kata dan nyanyian yang telah kita dengari.

Matlamat saya hari ini adalah untuk meningkatkan keinginan dan ketekunan anda untuk menuntut berkat yang dijanjikan kepada kita semua selepas pembaptisan. Ketika kita ditetapkan kita mendengari kata-kata ini: “Terimalah Roh Kudus.”1 Semenjak itu, kehidupan kita berubah untuk selama-lamanya.

Kita boleh, jika kita berkelayakan, mendapat berkat Roh untuk bersama kita, bukan sahaja kadangkala, seperti pengalaman hebat yang dilalui hari ini, tetapi sentiasa. Anda tahu dari kata-kata doa sakramen bagaimana janji itu dipenuhi: “Ya Tuhan, Bapa yang Kekal, kami mohon kepada-Mu dalam nama Putera-Mu, Yesus Kristus, untuk memberkati dan menguduskan roti ini bagi jiwa mereka semua yang mengambilnya, agar mereka boleh makan sebagai ingatan akan tubuh Putera-Mu, dan bersaksi kepada-Mu, ya Tuhan, Bapa yang Kekal, bahawa mereka bersedia mengambil ke atas diri mereka nama Putera-Mu, dan selalu mengingat-Nya dan menaati perintah-perintah-Nya yang telah Dia berikan kepada mereka.”

Dan kemudian datangnya janji murni ini: “agar mereka boleh selalu memiliki Roh-Nya bersama mereka.” (A&P 20:77; penekanan ditambahkan).

Memperoleh Roh sentiasa bermaksud mendapat bimbingan dan arahan Roh Kudus dalam kehidupan kita sehari-hari. Contohnya, Roh memberi amaran kepada kita untuk menentang godaan untuk berbuat jahat.

Kerana sebab itu sahaja, sangat senang untuk kita fahami mengapa hamba-hamba Tuhan cuba meningkatkan keinginan kita untuk menyembah Tuhan dalam pertemuan sakramen. Jika kita mengambil sakramen dengan beriman, Roh Kudus boleh melindungi kita dan orang tersayang kita dari godaan yang kuat dan kerap.

Penemanan Roh Kudus membuatkan yang baik menjadi lebih menarik dan mengurangkan tekanan godaan. Itu sahaja sudah cukup untuk memberi azam bagi kita supaya Roh sentiasa bersama kita.

Selain dari menguatkan kita daripada tentangan jahat, Roh juga memberi kita kuasa untuk mentafsir di antara kebenaran dan kepalsuan. Kebenaran yang paling penting disahkan hanya melalui wahyu dari Tuhan. Kewajaran manusia dan penggunaan deria jasmani kita tidak mencukupi. Mereka yang paling bijak juga akan menghadapi kesusahan dalam membuat perbezaan di antara kebenaran dan penipuan hebat.

Tuhan mengajar Rasul-Nya Thomas, yang telah menginginkan bukti Pembangkitan Juruselamat dengan menyentuh luka-luka-Nya, bahawa wahyu itu bukti yang lebih nyata: “Yesus berkata kepadanya, Thomas, kamu percaya kerana kamu telah melihat Ku: berbahagialah orang yang percaya meskipun tidak melihat Ku” (Yohanes 20:29).

Kebenaran yang menandakan jalan untuk kembali ke Tuhan ditentusahkan oleh Roh Kudus. Kita tidak dapat pergi ke Sacred Grove untuk melihat Bapa dan Putera bercakap dengan Joseph Smith. Tiada bukti jasmani atau pemboleh ubah bebas logik yang dapat mengesahkan bahawa Elia datang seperti yang dijanjikan untuk menganugerahkan kunci-kunci imamat yang sekarangnya dipegang dan dijalankan oleh nabi hidup, Thomas S. Monson.

Pengesahan kebenaran akan datang ke putera atau puteri Tuhan yang telah menuntut hak untuk menerima Roh Kudus. Oleh kerana kepalsuan dan penipuan muncul bila-bila masa, kita memerlukan pengaruh Roh Kebenaran untuk mengelak detik-detik keraguan.

Ketika sebagai ahli Kuorum Dua Belas Rasul, George Q. Cannon menekankan kita untuk berusaha memperoleh Roh bersama sentiasa. Dia telah berjanji, dan saya juga berjanji, bahawa jika kita mengejar arah itu, kita “tidak akan kekurangan pengetahuan” mengenai kebenaran, “tidak ragu atau dalam kegelapan,” dan “iman akan menjadi kuat, kegembiraan [kita] … sempurna.”2

Kita memerlukan bantuan yang diperoleh dari penemanan sentiasa Roh Kudus untuk satu lagi sebab. Kematian orang yang tersayang akan datang secara tiba-tiba. Kesaksian dari Roh Kudus berkenaan realiti Bapa Syurgawi yang penyayang dan Juruselamat yang telah dibangkitkan memberi kita harapan dan ketenangan apabila kehilangan orang yang tersayang. Kesaksian itu perlulah segar apabila kematian berlaku.

Oleh itu, kerana pelbagai sebab, kita memerlukan penemanan Roh Kudus sentiasa. Kita menginginkannya, tetapi kita tahu dari pengalaman ia tidak mudah untuk mengekalkannya. Kita semua fikir, berkata, atau melakukan pekara setiap hari yang boleh menyinggung Roh. Tuhan telah mengajar bahawa Roh Kudus akan menjadi teman kita sentiasa apabila hati kita dipenuhi ihsan dan apabila kebajikan mengisi fikiran [kita] dengan tidak ada hentinya. (lihat A&P 121:45).

Kepada mereka yang bergelutan dengan piawai tinggi yang diperlukan untuk melayaki penemanan Roh, saya memberi galakkan ini. Terdapat masanya apabila anda merasai dorongan Roh Kudus. Ia mungkin telah berlaku kepada anda hari ini.

Detik inspirasi tersebut boleh dibagaikan benih keimanan yang digambarkan Alma. (lihat Alma 32:28 Tanamkan setiap satu. Anda boleh melakukannya dengan bertindak atas dorongan yang dirasai. Inspirasi yang paling berharga adalah untuk ketahui yang Tuhan inginkan anda lakukan. Jika ia berkenaan pembayaran persepuluhan atau melawat seorang kawan yang bersedihan, lakukanlah. Apa jua pun, lakukanlah. Apabila anda menunjuk kesanggupan untuk patuh, Roh akan memberi banyak lagi tanggapan berkenaan apa yang Tuhan ingin anda lakukan untuk-Nya.

Apabila anda patuh, tanggapan dari Roh akan datang dengan lebih kerap, merapati penemanan yang sentiasa. Kuasa untuk memilih kebaikan akan meningkat.

Anda boleh kenali tanggapan-tanggapan tersebut untuk bertindak bagi pihak-Nya datang dari Roh atau hasrat diri. Apabila tanggapan itu berpadu dengan firman-firman Juruselamat dan nabi-nabi hidup dan rasul-rasul-Nya, anda boleh patuh dengan yakin. Kemudian Tuhan akan menghantar Roh-Nya untuk membantu anda.

Contohnya, jika anda menerima tanggapan rohani untuk menghormati hari Sabat, lebih-lebih lagi jika ia susah, Tuhan akan menghantar Roh-Nya untuk membantu.

Bantuan tersebut datang ke bapa saya bertahun lalu ketika dia perlu bekerja di Australia. Dia berseorangan pada satu hari Ahad, dan dia ingin mengambil sakramen. Dia tidak dapat mencari tempat pertemuan gereja kita. Jadi dia mulalah berjalan. Di setiap persimpangan dia berdoa untuk mengetahui ke arah mana untuk pergi. Selepas berjalan dan mengalih selama sejam, dia berhenti dan berdoa sekali lagi. Dia memperoleh tanggapan untuk berjalan ke arah satu lorong tertentu. Tidak lama kemudian dia mendengari nyanyian yang datang dari tingkat bawah bangunan pangsa yang berdekatan. Dia melihat ke dalam tingkap dan ternampak beberapa orang yang duduk berdekatan meja yang ditutupi dengan satu kain putih dan talam sakramen.

Itu mungkin tidak bermakna bagi anda, tetapi ia sangat hebat baginya. Dia ketahui janjian doa sakramen telahpun dipenuhi: “Selalu mengingati-Nya dan menaati perintah-perintah-Nya yang telah Dia berikan kepada mereka; agar mereka boleh selalu memiliki Roh-Nya bersama mereka.” (A&P 20:77).

Itu hanya satu contoh di mana dia berdoa dan bertindak atas apa yang Tuhan inginkan melalui Roh. Bertahun-tahun dia gigih berdoa dan bertindak apabila diarah oleh Roh, seperti anda dan saya akan lakukan. Dia tidak pernah bercakap mengenai kerohaniannya. Dia hanya meneruskan perlaksanaan semua perkara-perkara kecil untuk Tuhan.

Apabila sekumpulan Orang Suci Zaman Akhir memintanya untuk mengucap, dia melakukannya. Tidak kira hanya 10 atau 50 orang atau betapa letihnya dia. Dia memberi saksi akan Bapa, Putera, dan Roh Kudus dan nabi-nabi apabila Roh mendorong.

Panggilan Gereja tertingginya adalah dalam Majlis Tinggi Pancang Bonneville Utah, di mana dia mencabut rumput ladang pancang, dan mengajar Sekolah Hari Ahad. Selama itu, Roh Kudus menjadi peneman apabila diperlukan.

Saya berdiri bersebelahan ayah di bilik hospital. Ibu saya, isterinya selama 41 tahun, terlantar di atas katil. Kami telah menjaganya selama beberapa jam. Kami mulai melihat garisan-garisan kesakitan hilang dari mukanya. Jari jemarinya, yang pada mulanya tergenggam berbuka. Lengannya berehat di sisi badannya.

Kesakitan barah yang berdekad telahpun berakhir. Saya dapat melihat ketenangan pada mukanya. Dia mengambil beberapa nafas pendek, kemudian menahan, dan selepas itu sunyi. Kami berdiri menunggu untuk melihat jika satu lagi tarikan nafas akan berlaku.

Akhirnya, Ayah berkata dengan lembut, “Anak perempuan Tuhan telah pun pulang ke rumah.”

Dia tidak menangis. Ini kerana Roh Kudus telahpun memberinya gambaran jelas berkenaan siapa ibu, dari mana ibu datang, apa yang ibu telah menjadi, dan ke mana ibu akan pergi. Roh telah bersaksi kepadanya banyak kali mengenai Bapa Syurgawi yang penyayang, Juruselamat yang telah mengatasi kematian, dan kebenaran pemeteraian bait suci yang dikongsi bersama isteri dan keluarganya.

Roh telahpun sekian lama menyakinkannya bahawa kebaikkan dan keimanan isterinya telah memenuhi syarat bagi dia untuk kembali ke rumah syurgawi di mana dia akan diingati sebagai anak perjanjian yang bagus dan dialukan kembali dengan hormat.

Untuk ayah saya, ianya lebih daripada hanya sebuah harapan. Roh Kudus telah membuat ia kenyataan baginya.

Namun, ada yang mungkin berkata bahawa kata-katanya dan gambaran dalam mindanya berkenaan rumah syurgawi hanyalah perasaan yang manis, penilaian keruh seorang suami yang kehilangan isteri. Tetapi dia tahu akan kebenaran abadi dengan cara yang hanya boleh untuk mengetahuinya.

Dia seorang ahli saintis yang menyelidik kebenaran mengenai dunia jasmani sepanjang kehidupan dewasanya. Dia telah menggunakan alat radas sains dengan pandai dan dihomati oleh rakan setaraf di seluruh dunia. Kebanyakkan apa yang dilakukan dalam makmal kimia datang dari penglihatan minda berkenaan pergerakkan molekul-molekul yang kemudiannya disahkan melalui experimen dalam makmal.

Namun dia mengikut arah yang lain untuk menemui kebenaran yang sangat bermakna kepadanya dan setiap orang. Hanya melalui Roh Kuduslah kita boleh melihat orang dan kejadian sepertimana Tuhan melihat.

Kurniaan itu berterusan di hospital selepas isterinya meninggal dunia. Kami mengumpul semua barang ibu untuk dibawa balik ke rumah. Ayah mengucapkan terima kasih kepada setiap jururawat dan doktor yang dijumpai sepanjang perjalanan ke kereta. Saya teringat lagi pada masa itu saya terasa, dengan sedikit marah, bahawa kita patut pergi untuk berdukacita sendirian.

Sekarang saya sedar bahawa dia melihat hanya apa yang Roh Kudus telah tunjuk kepadanya. Dia melihat mereka sebagai malaikat yang telah dihantar oleh Tuhan untuk menjaga isteri kesayangannya. Mereka mungkin hanya melihat diri sebagai pekerja kesihatan, tetapi Ayah berterima kasih atas layanan mereka bagi pihak Juruselamat.

Pengaruh Roh Kudus berlanjutan bersamanya apabila kami tiba di rumah ibu bapa saya. Kami bersembang seketika di ruang tamu. Ayah mengundur diri untuk ke bilik tidur yang berdekatan.

Selepas beberapa minit, dia kembali ke ruang tamu. Dia tersenyum ramah. Dia berjalan ke arah kami dan berkata dengan lembut, “Saya terasa risau Mildred akan sampai ke dunia roh berseorangan. Saya fikir dia akan berasa sesat dalam kalangan orang ramai.”

Kemudian dia berkata dengan cerianya, “Saya berdoa tadi. Saya tahu Mildred selamat. Ibu saya berada di sana untuk menerimanya.”

Saya mengingati diri tersenyum selepas dia berkata demikian, membayangkan nenek saya, kaki pendeknya berlari, bergegas di kalangan orang ramai untuk memastikan dia dapat bertemu dan memeluk menantunya sebaik tiba.

Salah satu sebab mengapa ayah saya telah meminta dan menerima ketenangan tersebut adalah kerana dia sentiasa berdoa dengan beriman sejak kecil lagi. Dia sudah biasa menerima jawapan yang datang ke dalam hatinya untuk mendapat ketenangan dan arahan. Selain daripada tabiat berdoa, dia tahu ayat suci dan kata-kata nabi hidup. Jadi dia telahpun jinak dengan bisikan Roh, sepertimana anda telah rasai hari ini.

Penemanan Roh bukan sahaja telah menenang dan mengarahnya. Ia telah menukarkannya melalui Korban Tebusan Yesus Kristus. Apabila kita menerima janjian bahawa Roh akan sentiasa bersama, Juruselamat dapat memberi kita penyucian yang diperlukan untuk kehidupan abadi, yang kurnia itu terbesar daripada segala kurnia Tuhan (lihat A&P 14:7).

Anda ingati firman Juruselamat: “Sekarang inilah perintah itu: Bertaubatlah, kamu segenap hujung bumi, dan datanglah kepada-Ku dan dibaptiskanlah dalam nama-Ku, agar kamu boleh dikuduskan melalui penerimaan Roh Kudus, agar kamu boleh berdiri tanpa noda di harapan-Ku, pada hari terakhir” (3 Nefi 27:20).

Perintah-perintah tersebut datang bersama janji ini dari Tuhan:

“Dan sekarang, sesungguhnya, sesungguhnya, Aku berfirman kepadamu, taruhlah kepercayaanmu kepada Roh itu yang menuntun untuk melakukan yang baik—ya, untuk melakukan dengan adil, untuk berjalan dengan rendah hati, untuk menghakimi dengan benar; dan inilah Roh-Ku.

“Sesungguhnya, sesungguhnya, Aku berfirman kepadamu, Aku akan memberi kepadamu dari Roh-Ku, yang akan menerangi fikiranmu, yang akan mengisi jiwamu dengan sukacita” (A&P 11:12–13).

Saya bersaksi bahawa Tuhan Bapa hidup, Yesus Kristus yang telah dibangkitkan mengetuai Gereja-Nya, bahawa Presiden Thomas S. Monson memegang kesemua kunci-kunci imamat, dan wahyu yang diperoleh melalui Roh Kudus memimpin dan menyokong Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir dan ahli-ahlinya.

Saya juga bersaksi kepada anda bahawa kesemua saudara-saudara yang telah berucap kepada kita hari ini sebagai saksi-saksi Tuhan Yesus Kristus, sebagai ahli-ahli Kuorum Dua Belas Rasul, adalah dari panggilan Tuhan. Saya tahu bahawa Roh telah memimpin Presiden Monson untuk memanggil mereka. Dan apabila anda mendengari dari mereka dan kesaksian masing-masing, Roh Kudus akan mengesahkan kepada anda apa yang saya katakan kepada anda sekarang. Mereka dipanggil oleh Tuhan. Saya menyokong dan mengasihi mereka dan ketahui bahawa Tuhan mengasihi mereka dan akan menyokong dalam perlayanan mereka. Saya melakukannya dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Handbook 2: Administering the Church (2010), 20.3.10.

  2. Lihat George Q. Cannon, in “Minutes of a Conference,” Millennial Star, May 2, 1863, 275–76.