2010–2019
Salap Penyembuhan Pengampunan
April 2016


Salap Penyembuhan Pengampunan

Pengampunan merupakan prinsip penyembuhan yang gemilang. Kita tidak perlu menjadi mangsa dua kali. Kita boleh mengampuni.

Segalanya yang Tuhan termasuklah kasih, cahaya, dan kebenaran. Namun kita manusia hidup dalam dunia yang terjatuh, yang kadang kalanya dipenuhi kegelapan dan kekeliruan. Tidak hairanlah kesilapan berlaku, ketidakadilan terjadi, dan dosa dilakukan. Oleh demikian, tiada seorang pun yang tidak akan, pada satu masa, menjadi mangsa tindakan cuai orang lain, kelakuan yang melukakan, atau tingkah laku yang berdosa. Itulah satu-satunya perkara yang kita semua kongsi.

Syukurnya, Tuhan, kerana kasih-Nya dan rahmat untuk anak-anak-Nya, telah menyediakan jalan untuk membantu mengemudi kita dalam pengalaman hidup yang kadang kalanya susah. Dia telah menyediakan jalan keluar untuk semua yang menjadi mangsa perbuatan jahat orang lain. Dia telah mengajar kita untuk mengampuni! Walaupun kita mungkin pernah menjadi mangsa sekali, kita tidak perlu menjadi mangsa kedua kali dengan memikul beban benci, kepahitan, kesakitan, kemarahan, atau juga dendam. Kita boleh mengampuni, dan menjadi bebas!

Bertahun lalu, ketika sedang membaiki sebuah pagar, satu serpihan kayu kecil memasuki jari saya. Saya dengan ala kadarnya cuba mengeluarkan serpihan itu dan terfikir ianya telah pun keluar, tetapi sebenarnya tidak. Masa pun berlalu, dan kulit baru tumbuh menutupi serpihan itu, menghasilkan satu benjolan pada jari saya. Ia sangat menjengkelkan dan kadangkala menyakitkan.

Bertahun kemudian saya akhirnya membuat keputusan untuk bertindak. Saya hanya mengaplikasikan salap pada benjolan itu dan menutupkannya dengan sebuah pembalut. Saya mengulangi proses ini dengan kerap. Pada satu hari saya terkejut, ketika membuka balutan, serpihan kayu itu telah timbul dari jari saya.

Salap itu telah melembutkan kulit dan membentuk jalan keluar untuk perkara yang telah menyebabkan kesakitan selama beberapa tahun. Setelah serpihan itu dikeluarkan, jari itu sembuh dengan cepat, dan kini, tiada bukti kecederaan apa pun.

Secara yang sama, hati yang tidak mengampuni mengandungi banyak kesakitan yang tiada gunanya. Apabila kita mengaplikasikan salap penyembuhan Korban Tebusan Juruselamat, Dia akan melembutkan hati kita dan membantu kita untuk berubah. Dia boleh menyembuhkan jiwa yang terluka (lihatYakub 2:8).

Saya yakin bahawa kita semua ingin mengampuni, tetapi ia mungkin susah untuk dilakukan. Apabila kita mengalami ketidakadilan, kita mungkin dengan cepat berkata, “Orang itu yang salah. Mereka berhak dihukum. Di manakah keadilan?” Kita tersalah anggap bahawa jika kita mengampuni, maka keadilan tidak akan berlaku dan pendendaan akan dielakkan.

Ini tidak benar. Tuhan akan memberi hukuman yang adil, kerana belas kasihan tidak boleh merampas keadilan (lihat Alma 42:25). Tuhan dengan kasih sayang menjaminkan anda dan saya: “Tinggalkanlah penghakiman hanya pada-Ku, kerana itu adalah milik-Ku dan Aku akan membayar kembali. [Tetapi biarlah] kedamaian bersertamu” (A&P 82:23). Yakub, nabi Kitab Mormon juga telah berjanji bahawa Tuhan “akan melipurmu dalam kesengsaraanmu, dan Dia akan membela hal kamu, dan menurunkan keadilan ke atas mereka yang mengupayakan kehancuranmu” (Yakub 3:1).

Apabila menjadi mangsa, jika kita beriman, kita dapat peroleh keselesaan dalam pengetahuan bahawa Tuhan akan memberi pampasan bagi setiap ketidakadilan yang kita alami. Elder Joseph B. Wirthlin telah menyatakan: “Tuhan akan memberi pampasan kepada semua yang beriman. … Setiap tangisan hari ini akan dipulangkan seratus kali dengan air mata kegembiraan dan kesyukuran.”1

Apabila kita berusaha untuk mengampunkan orang lain, marilah kita juga ingati bahawa semua sedang membesar secara rohani, tetapi kita semua berada di tahap-tahap yang berlainan. Amatlah senang untuk melihat perubahan dan pertumbuhan dalam badan jasmani, tetapi amat susah untuk melihat pertumbuhan rohani.

Satu cara penting untuk mengampunkan orang ialah untuk melihat mereka sepertimana Tuhan melihat mereka. Ada kalanya, Tuhan akan membantu kita untuk memahami hati, jiwa, dan roh seseorang yang telah menyinggung kita. Pemahaman ini mungkin akan menyebabkan kita merasai kasih yang memberangsangkan terhadap orang tersebut.

Kitab suci mengajar kita bahawa kasih Tuhan terhadap anak-anak-Nya adalah sempurna. Dia ketahui potensi mereka untuk berlaku baik, tanpa menghiraukan masa silam mereka. Mengikut segala laporan, tidak terdapatnya musuh pengikut Yesus Kristus yang lebih agresif dan kesat seperti Saul dari Tarsus. Namun apabila Tuhan menunjukkan cahaya dan kebenaran kepada Saul, dialah pengikut yang paling tertumpu, bersemangat, dan berani. Saul menjadi Rasul Paulus. Kehidupannya mempersembahkan teladan yang menakjubkan bagaimana Tuhan melihat orang bukan secara kini tetapi juga apa yang mereka boleh capai. Kita semua punyai, dalam kehidupan kita, individu-individu seperti Saul yang berpotensi Paulus. Bolehkah kamu bayangkan bagaimana keluarga kita, komuniti kita, dan dunia keseluruhan dapat berubah jika kita cuba melihat semua sepertimana Tuhan melihat kita?

Seringkali kita memandang terhadap penyinggung sepertimana kita melihat gunung ais yang terapung. Kita tidak tahu apa yang sedang berlaku dalam kehidupan seseorang. Kita tidak tahu kisah lampau mereka; kita tidak tahu pergelutan mereka; kita tidak tahu kesakitan yang dipikul. Saudara dan saudari, sila jangan salah faham. Untuk memaafkan bukannya bermaksud mengizinkan. Kita tidak merasionalisasikan kelakuan jahat atau membenarkan orang lain menganiaya kita kerana pergelutan, kesakitan atau kelemahan mereka. Sebaliknya kita boleh memperoleh pemahaman lebih dan kedamaian apabila kita melihat dengan sudut pandangan yang lebih luas.

Sudah tentu mereka yang kurang matang secara rohani mungkin akan melakukan kesalahan yang serius—namun tiada di antara kita yang patut didefinisikan hanya dengan perkara paling teruk yang pernah dilakukan. Tuhan merupakan hakim yang sempurna. Dia melihat di bawah permukaan. Dia mengetahui segala hal (lihat 2 Nefi 2:24). Dia telah berfirman, “Aku, Tuhan, akan mengampuni yang akan Aku ampuni, tetapi darimu dituntut untuk mengampuni semua orang” (A&P 64:10).

Kristus, apabila Dia dituduh dengan zalim, kemudiannya diserang dengan kejam, dipukul, dan di biarkan untuk menderita di atas salib, pada ketika itu telah berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka, sebab mereka tidak tahu apa yang mereka perbuat” (Luke 23:34).

Dalam pandangan cetek kita, kita kadangkala mudah berasa marah terhadap mereka yang tidak berkelakuan atau berfikiran seperti kita. Kita mungkin tidak bertoleransi terhadap hal sedemikian contohnya menyokong pasukan sukan yang berlainan, menegakkan pandangan politik yang berlainan, atau mempunyai kepercayaan agama yang berlainan.

Presiden Russell M. Nelson telah memberi nasihat yang arif apabila dia berkata, “Kesempatan untuk mendengar agama atau bujukan pandangan politik yang berbeza boleh menggalakkan toleransi dan pembelajaran.”2

Kitab Mormon menyebutkan satu ketika di mana “umat gereja mula terangkat-angkat dalam keangkuhan pada mata mereka sendiri, dan … mula mencemuh, satu terhadap yang lain, dan … mula menganiaya mereka yang tidak percaya menurut kehendak dan kesenangan mereka sendiri” (Alma 4:8). Marilah kita ingati bahawa Tuhan tidak melihat warna pasukan atau pihak politik. Sebaliknya, seperti diisytiharkan Ammon, “[Tuhan] memandang ke bawah ke atas semua anak manusia; dan Dia mengetahui segala fikiran dan maksud hati” (Alma 18:32). Saudara dan saudari, dalam pertandingan kehidupan, jika kita menang, marilah kita menang dengan rahmat. Jika kita kalah, marilah kita kalah dengan rahmat. Jika kita hidup dengan rahmat terhadap satu sama lain, rahmat akan menjadi ganjaran kita pada hari kiamat.

Sepertimana kita mangsa salah laku orang lain pada satu ketika, kita juga kadangkala yang menyinggung. Kita semua membuat kesalahan dan memerlukan rahmat, belas kasihan, dan pengampunan. Kita perlu ingati bahawa pengampunan dosa dan kesalahan diri tertakluk kepada pengampunan orang lain. Juruselamat telah berfirman:

“Kerana jikalau kamu mengampuni kesalahan orang, Bapamu yang di syurga akan mengampuni kamu juga:

“Tetapi jikalau kamu tidak mengampuni orang, Bapamu juga tidak akan mengampuni kesalahanmu” (Matius 6:14–15).

Dia antara semua perkara yang dinyatakan oleh Juruselamat dalam Doa Tuhan yang pendek itu, ia amat menarik bahawa Dia memilih untuk memasukkan “Dan ampunilah dosa-dosa kami, seperti kami mengampuni yang berdosa kepada kami” (Matius 6:12; 3 Nefi 13:11).

Keampunan adalah sebab utama Tuhan menghantar Anak-Nya, jadi marilah kita bergembira dengan tawaran-Nya untuk memulihkan kita semua. Korban Tebusan Juruselamat bukanlah sahaja untuk mereka yang perlu bertaubat; ia juga adalah untuk mereka yang perlu mengampuni. Jika anda menghadapi kesusahan untuk mengampuni orang lain atau diri sendiri, mintalah Tuhan untuk membantu anda. Pengampunan merupakan prinsip penyembuhan yang gemilang. Kita tidak perlu menjadi mangsa dua kali. Kita boleh mengampuni.

Saya bersaksikan kasih abadi dan kesabaran Tuhan terhadap kesemua anak-anak-Nya dan keinginan-Nya agar kita saling mengasihi seperti Dia mengasihi kita (lihat Yohanes 15:9, 12). Apabila kita berbuat demikian, kita akan menghapuskan kegelapan dunia ini ke arah kemuliaan dan keagungan kerajaan-Nya di syurga. Kita akan menjadi bebas. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Joseph B. Wirthlin, “Come What May, and Love It,” Liahona, Nov. 2008, 28.

  2. Russell M. Nelson, “Listen to Learn,” Ensign, Mei 1991, 23.