2010–2019
Kasih Sempurna Meyingkirkan Ketakutan
April 2017


Kasih Sempurna Menyingkirkan Ketakutan

Marilah kita mengetepikan perasaan takut dan hidup dengan gembira, rendah hati, berharapan, dan berkeyakinan kuat bahawa Tuhan berada bersama kita.

Saudara dan saudari, rakan-rakan yang dikasihi, betapa istimewa dan gembiranya untuk bertemu sebagai gereja sedunia yang bersatu dalam kepercayaan dan kasih kita untuk Tuhan dan anak-anak-Nya.

Saya bersyukur terutamanya untuk kehadiran nabi kesayangan kita, Thomas S. Monson. Presiden, kami akan sentiasa menghayati kata-kata panduan, nasihat, dan kearifanmu. Kami mengasihimu, Presiden Monson, dan kami sentiasa berdoa untukmu.

Bertahun dahulu, ketika saya melayan sebagai presiden pancang di Frankfurt, Jerman, seorang saudari terkasih yang sedih menemui saya di akhir satu pertemuan pancang kami.

“Terukkan?” dia berkata. “Mungkin seramai empat atau lima orang tidur lena ketika kamu berucap!”

Saya berfikir segenap dan menjawab, “Saya pasti kelenaan gereja merupakan jenis tidur yang paling baik.”

Isteri saya yang menakjubkan, Harriet, kebetulan terdengar perbualan sambil lalu ini dan kemudian menyatakan bahawa ia merupakan jawapan yang paling baik saya pernah beri.

Pembangunan Hebat

Beberapa ratus tahun dahulu di Amerika Utara, suatu pergerakan yang dipanggil “Pembangunan Hebat” tersebar di kawasan desa. Salah satu objektif utamanya adalah untuk membangunkan mereka yang bagai tidur berkenaan hal-hal rohani.

Joseph Smith muda telah dipengaruhi oleh apa yang didengari dari pengkhutbah-pengkhutbah yang terlibat dalam pembangunan agama ketika itu. Ia merupakan salah satu sebab mengapa dia memutus untuk mencari kehendak Tuhan dengan bersungguh-sungguh melalui doa peribadi.

Para pengkhutbah tersebut mempunyai cara pengkhutbahan yang dramatik, penuh emosi, bersama khutbahan yang terkenal dengan penekanan kuat berkenaan kengerian api neraka yang menunggu kedatangan pendosa.1 Ucapan mereka tidak menyebabkan orang tidur—tetapi mungkin menyebabkan mimpi buruk. Tujuan dan corak mereka adalah untuk menakutkan orang supaya mereka pergi ke gereja.

Ketakutan Sebagai Manipulasi

Sejarahnya, ketakutan sering digunakan untuk mendorong orang bertindak. Ibu bapa menggunakannya terhadap anak-anak mereka, majikan terhadap pekerja, dan ahli politik terhadap pengundi.

Pakar pemasaran memahami kuasa perasaan takut dan sering menggunakannya. Inilah sebab mengapa iklan-iklan menyampaikan pesanan tersirat bahawa jika kita gagal membeli jenama sarapan bijirin mereka atau terlepas beli mainan video atau telefon bimbit terbaru, kita akan menghadapi risiko kehidupan yang sengsara, akan mati keseorangan dan sedih.

Kita senyum dan fikir kita tidak akan terpengaruh oleh manipulasi sedemikian, tetapi kadangkala kita lakukannya. Paling teruknya, kita kadangkala menggunakan kaedah yang serupa untuk membuat orang lain melakukan perkara yang kita hendak.

Pesanan saya mempunyai dua tujuan hari ini: Pertamanya adalah untuk menggalakkan kita renungkan dan pertimbangkan sejauh mana kita menggunakan ketakutan untuk memotivasikan orang—termasuklah kita. Keduanya adalah untuk mencadangkan cara yang lebih baik.

Masalahnya dengan Ketakutan

Pertama, marilah kita menyahuti masalah berkaitan dengan ketakutan. Sememangnya, siapa di antara kita yang tidak pernah didesak oleh ketakutan untuk makan makanan sihat, menggunakan tali keledar, bersenam lebih, menyimpan duit, atau bertaubat akan dosa?

Memang benar perasaan takut mempunyai kuasa untuk mempengaruhi tindakan dan tingkah laku kita. Namun pengaruh itu seringkali hanyalah sementara dan cetek. Perasaan takut jarang sekali mempunyai kuasa untuk menukar hati kita, dan ia tidak akan mengubah kita untuk menjadi orang yang mengasihi kebenaran dan ingin mematuhi Bapa Syurgawi.

Orang yang ketakutan mungkin kata dan melakukan perkara yang baik, tetapi mereka tidak merasai perkara yang betul. Mereka sering berasa tidak berdaya dan berdendam, dan juga marah. Akhirnya perasaan-perasaan ini menyebabkan curiga, penentangan, dan juga pemberontakan.

Malangnya, pendekatan terpesong kehidupan dan kepimpinan ini tidak terhad kepada alam duniawi sahaja. Saya berdukacita apabila mendengar ahli-ahli Gereja yang menggunakan kuasa yang tidak soleh—tidak kira di rumah, dalam panggilan Gereja, di tempat kerja, atau dalam interaksi dengan orang lain.

Seringkali, mereka mungkin mengutuk pembulian lain, namun mereka tidak kenalinya dalam diri mereka sendiri. Mereka menuntut kepatuhan yang datang dengan peraturan wenang, tetapi apabila peraturan rawak ini tidak dipatuhi, mereka akan menghukum secara lisan, emosi, dan kadangkala secara fizikal.

Tuhan telah berfirman bahawa “tetapi ketika kita … menjalankan kendali atau kekuasaan atau tekanan ke atas jiwa anak-anak manusia, dalam tingkat ketidaksolehan apa pun, … syurga menarik dirinya [dan] Roh Tuhan dipilukan.”2

Ada kala kita digoda untuk mewajarkan tindakan kita dengan mempercayai kesimpulannya berbaloi. Kita juga mungkin berfikir bahawa mengongkong, bersifat manipulatif, dan kasar akan membawa kebaikan kepada orang lain. Sememangnya tidak, kerana Tuhan telah menjelaskan bahawa “hasilnya Roh Tuhan ialah kasih, sukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia, rendah hati, [dan] dapat mengawal diri.”3

Cara yang Lebih Baik

Semakin saya kenali Bapa Syurgawi, semakin saya dapat lihat bagaimana Dia mengilhami dan membimbing anak-anak-Nya. Dia bukan seorang pemarah, pendendam, atau pemberontak.4 Tujuan utamanya—pekerjaan-Nya dan kemuliaan-Nya—adalah untuk menasihati kita, memuliakan kita, dan membimbing kita untuk mencapai keseluruhan-Nya.5

Tuhan menggambarkan diri-Nya kepada Musa sebagai “penuh dengan rahmat dan belas kasihan, dan penuh dengan kebaikan dan kebenaran.”6

Kasih Bapa Syurgawi terhadap kita, anak-anak-Nya, tidak dapat difahami kita sepenuhnya.7

Adakah ini bermaksud bahawa Tuhan membenarkan atau melepas pandang tingkah laku yang melawan perintah-Nya? Tidak, sememangnya tidak!

Tetapi Dia ingin lebih daripada mengubahkan tingkah laku kita. Dia ingin mengubah sifat dasar kita. Dia ingin mengubah hati kita.

Dia inginkan kita untuk mencapai dan memegang teguh kepada rod besi, hadapi ketakutan kita, dan dengan berani melangkah hadapan di lorong yang sempit dan kecil itu. Dia inginkan ini untuk kita kerana Dia mengasihi kita dan kerana inilah jalan ke kegembiraan.

Jadi, bagaimana Tuhan memotivasikan anak-anak-Nya untuk mengikut Dia hari ini?

Dia telah menghantar Putera-Nya!

Tuhan telah menghantar Putera Tunggal-Nya, Yesus Kristus, untuk menunjukkan kita jalan yang betul.

Tuhan memotivasikan dengan bujukan, dengan kepanjangsabaran, dengan kelemahlembutan dan kelembutan hati, dan kasih yang tidak dibuat-buat.8 Tuhan disisi kita. Dia menyayangi kita, dan apabila kita tersandung, Dia ingin kita bangun, cuba lagi, dan menjadi lebih kuat.

Dia penasihat kita.

Dia harapan kita yang hebat dan yang dihargai.

Dia berhasrat untuk menggalakkan kita dengan iman.

Dia percaya kita akan belajar dari kesalahan dan membuat pilihan yang betul.

Inilah cara yang lebih baik!9

Apakah Kejahatan-kejahatan Dunia?

Salah satu cara Setan inginkan kita untuk memanipulasikan orang adalah dengan memfokus dan melebih-lebihkan kejahatan duniawi.

Sudah pasti dunia kita telah pun, dan akan seterusnya menjadi, tidak sempurna. Terlalu ramai orang yang tidak bersalah menderita kerana keadaan alam dan juga dari kekejaman manusia. Amalan rasuah dan kejahatan hari ini unik dan menggelisahkan.

Namun demikian, saya tidak ingin menukar kehidupan kini dengan mana-mana waktu sejarah dunia. Kita sangat diberkati untuk hidup di zaman kemewahan, keterangan, dan kelebihan yang tiada tandingannya. Terutamanya, kita diberkati dengan kegenapan Injil Yesus Kristus, yang memberi kita perspektif yang unik terhadap bahaya dunia dan menunjukkan kita bagaimana untuk mengelak atau mengatasi bahaya-bahaya tersebut.

Apabila saya fikirkan tentang berkat-berkat ini, saya ingin jatuh melutut dan berdoa dengan penuh pujian kepada Bapa Syurgawi akan kasih-Nya yang tidak terhingga untuk anak-anak-Nya.

Saya tidak percaya Tuhan inginkan anak-anak-Nya takut dan fokus terhadap kejahatan dunia. “Roh yang diberikan oleh Tuhan kepada kita tidak menjadikan kita penakut, sebaliknya Roh Tuhan melengkapi kita dengan kuasa, kasih dan kekuatan untuk mengawal diri.”10

Dia telah memberi kita banyak sebab untuk bergembira. Kita hanya perlu mencari dan mengenalinya. Tuhan sering mengingatkan kita untuk “janganlah takut,” dan untuk “jadilah riang,”11 untuk “janganlah takut, hai kamu yang kecil bilangan.”12

Tuhan akan Berjuang untuk Kita

Saudara dan saudari, kita “kumpulan kecil” Tuhan. Kita Orang Suci zaman akhir. Wujudnya dalam nama kita ialah komitmen untuk memandang ke hadapan terhadap kedatangan Juruselamat dan menyediakan diri kita dan dunia untuk menerima-Nya. Oleh itu, marilah kita melayan Tuhan dan mengasihi orang sesama. Marilah kita lakukannya dengan keyakinan asli, dengan kerendahan hati, tidak sekali memandang rendah terhadap agama atau kumpulan orang yang lain. Saudara dan saudari, kita bertanggungjawab untuk mengkaji firman Tuhan dan memberi perhatian terhadap suara Roh, agar kita “mengetahui tanda-tanda zaman, dan tanda-tanda kedatangan Putera Manusia.”13

Oleh itu, kita, tidaklah jahil terhadap cabaran dunia, dan juga sedari kesukaran zaman kita. Tetapi ini tidak bermaksud bahawa kita harus membebani diri dan orang lain dengan ketakutan yang sentiasa. Sebalik tertumpu terhadap keluasan cabaran kita, bukankah ia lebih baik untuk memfokus terhadap kehebatan, kebaikan, dan kuasa mutlak yang tidak terhingga Tuhan, mempercayai Dia, dan bersedia dengan hati yang riang untuk kembali kepada Yesus Kristus?

Sebagai umat perjanjian-Nya, kita tidak perlulah takut kerana perkara buruk yang mungkin terjadi. Sebaliknya, kita boleh maju ke depan dengan iman, keberanian, ketekunan, dan kepercayaan terhadap Tuhan apabila kita menghadapi cabaran dan peluang yang akan datang.14

Kita tidak berjalan dalam lorong penganutan seorang diri. “Tuhan, Tuhan kamu … akan menyertai kamu; dia tidak akan mengecewakan kamu, ataupun meninggalkan kamu.”15

“Tuhan akan berjuang untuk kamu. Kamu tidak perlu buat apa-apa.”16

Apabila menghadapi ketakutan, marilah kita memperoleh keberanian, kumpulkan iman kita, dan yakin dengan janji bahawa “tiada senjata yang dicipta terhadap anda akan makmur.”17

Adakah kita kini hidup dalam zaman yang bahaya dan gawat? Sememangnya.

Tuhan sendiri telah berfirman, “Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia.”18

Bolehkah kita menggunakan iman untuk percaya dan bertindak sewajarnya? Bolehkah kita memenuhi komitmen dan perjanjian-perjanjian kudus? Bolehkah kita mentaati perintah-perintah Tuhan walaupun dalam situasi yang mencabar? Pastinya kita boleh!

Kita boleh kerana Tuhan telah berjanji, “Segala sesuatu akan bekerja bersama demi kebaikanmu, jika [anda] berjalan tegak.”19 Oleh itu, marilah kita mengetepikan perasaan takut dan hidup dengan gembira, berharapan, dan berkeyakinan kuat bahawa Tuhan berada bersama kita.

Kasih Sempurna Meyingkirkan Ketakutan

Rakan-rakan yang dikasihi, saudara dan saudari terkasih dalam Kristus, jika kita mendapati diri hidup dalam ketakutan atau kerisauan, atau jika kita mendapati kata-kata, tingkah laku, atau tindakan kita menyebabkan ketakutan kepada orang, saya doa dengan segala kekuatan jiwa agar kita dibebaskan daripada ini dengan penawar ilahi terlantik untuk ketakutan: kasih sempurna Kristus, kerana “kasih yang sempurna menyingkirkan segala ketakutan.”20

Kasih sempurna Kristus mengatasi godaan untuk mencedera, memaksa, membuli, atau menindas.

Kasih sempurna Kristus membolehkan kita menjadi rendah hati, bermaruah, dan berkeyakinan berani sebagai pengikut Juruselamat terkasih kita. Kasih sempurna Kristus memberi kita keyakinan untuk menghadapi ketakutan kita dan percaya dengan sepenuhnya dalam kuasa dan kebaikan Bapa Syurgawi dan Putera-Nya, Yesus Kristus.

Di dalam rumah, tempat urusan, panggilan Gereja, dalam hati kita, marilah kita gantikan perasaan takut dengan kasih sempurna Kristus. Kasih Kristus akan menggantikan takut dengan iman!

Kasih-Nya membolehkan kita mengenal, mempercaya, dan percaya dalam kebaikan Bapa Syurgawi, rancangan ilahi-Nya, Injil-Nya, dan perintah-perintah-Nya.21 Mengasihi Tuhan dan orang sesama akan mengubahkan kepatuhan kita kepada perintah-perintah Tuhan menjadi berkat dan bukannya suatu beban. Kasih Kristus akan membantu kita untuk menjadi lebih baik hati, lebih mengampuni, lebih prihatin, dan lebih berdedikasi terhadap kerja-Nya.

Apabila kita memenuhi hati kita dengan kasih Kristus, kita akan bangun dengan roh baru dan akan berjalan dengan gembira, yakin, sedar dan bermaya dalam cahaya dan kemuliaan Juruselamat terkasih kita, Yesus Kristus.

Saya bersaksi, bersama Rasul Yohanes, “Tiada perasaan takut dalam kasih [Kristus].”22 Saudara dan saudari, rakan-rakan yang dikasihi, Tuhan mengenali anda dengan sempurna. Dia mengasihi anda dengan sempurna. Dia tahu akan masa hadapan anda. Dia inginkan anda “jangan takut, hanya percayalah”23 dan “kekal dalam kasih [sempurna]-Nya.”24 Inilah doa dan berkat saya dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. George Whitefield dan Jonathan Edwards merupakan dua contoh pengkhutbah demikian.

  2. Ajaran dan Perjanjian 121:37.

  3. Galatia 5:22–23.

  4. Terdapat satu peristiwa, Juruselamat ingin memasuki kampung orang Samaria, tetapi mereka menolak Yesus dan tidak ingin menerima-Nya ke dalam kampung mereka. Dua pengikut-Nya amat tersinggung oleh ini lalu bertanya, “Tuhan, adakah Tuhan mahu kami meminta api turun dari syurga untuk membinasakan mereka?” Yesus menjawab dengan amaran ini: “Kamu tidak tahu apa roh yang di dalam mu. Kerana Putera Manusia bukannya datang untuk memusnahkan manusia tetapi untuk menyelamatkan mereka” (lihat Lukas 9:51–56, Penterjemahan Baru Raja James[1982])

  5. Lihat Musa 1:39; lihat juga Efesus 3:19.

  6. Keluaran 34:6.

  7. Lihat Efesus 3:19.

  8. Lihat Ajaran dan Perjanjian 121:41. Sudah pasti jika Tuhan mengharapkan kita, anak-anak fana-Nya—seorang manusia sempurna yang mempunyai setiap hemah—akan menjadi teladan tingkah laku demikian.

  9. Majlis Syurga pra-fana merupakan kajian kes terbaik untuk menunjukkan sifat Tuhan . Di sana Bapa Syurgawi membentangkan rancangan-Nya untuk perkembangan abadi kita. Unsur asas rancangan itu termasuklah hak pilihan, kepatuhan, dan penyelamatan melalui Korban tebusan Kristus. Lusifer, sebaliknya, mencadangkan pendekatan yang berbeza. Dia menjamin bahawa semua akan patuh—tiada yang akan hilang. Cara ini hanya boleh dicapai dengan menggunakan kezaliman dan kepaksaan. Tetapi Bapa Syurgawi yang mengasihi tidak akan membenarkan rancangan itu. Hak pilihan anak-anak-Nya bernilai bagi-Nya. Dia tahu bahawa kita perlu melakukan kesalahan dalam hidup supaya kita boleh belajar. Dan itulah sebab mengapa Dia menyediakan seorang Juruselamat, yang pengorbanan abadi-Nya akan membersih kita dari dosa dan membenarkan kita masuk kembali ke dalam kerajaan Tuhan.

    Apabila Bapa di Syurga melihat ramai di antara anak-anak-Nya dipengaruhi Lusifer, adakah dia memaksa mereka untuk mengikut rancangan-Nya? Adakah Dia menakutkan dan mengugut mereka yang membuat pilihan yang buruk? Tidak. Tuhan maha kuasa kita sudah pasti dapat menghentikan pemberontakan ini. Dia boleh memaksa kehendak-Nya kepada mereka yang ingkar dan memaksa mereka untuk patuh. Sebaliknya, Dia membenarkan anak-anak-Nya pilih untuk diri mereka sendiri.

  10. 2 Timotius 1:7.

  11. Lihat, contohnya, Yosua 1:9; Yesaya 41:13; Lukas 12:32; Yohanes 16:33; 1 Petrus 3:14; Ajaran dan Perjanjian 6:36; 50:41; 61:36; 78:18.

  12. Lukas 12:32.

  13. Ajaran dan Perjanjian 68:11.

  14. Nasihat Musa kepada orang zaman dia masih berkenan: “Jangan takut. … Perhatilah penyelamatan Tuhan, yang Dia lakukan untuk kamu hari ini” (Keluaran 14:13, Penterjemahan Baru Raja James).

  15. Ulangan 31:6.

  16. Keluaran 14:14, Penterjemahan Baru Raja James.

  17. Yesaya 54:17.

  18. Yohanes 16:33.

  19. Ajaran dan Perjanjian 90:24; lihat juga 2 Korintus 2:14; Ajaran dan Perjanjian 105:14.

  20. 1 Yohanes 4:18.

  21. Marilah kita ingati bahawa Juruselamat datang bukannya “untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya.” (Yohanes 3:17). Malah, “dia tidak melaksanakan apa-apapun kecuali bagi manfaat dunia; kerana Dia mengasihi dunia, bahkan sehingga Dia menyerahkan nyawa-Nya agar Dia dapat menarik semua manusia kepada Dia” (2 Nefi 26:24).

  22. 1 Yohanes 4:18; lihat juga 1 Yohanes 4:16.

  23. Markus 5:36.

  24. Yohanes 15:10.