Perpustakaan
Keinginan Untuk Kembali Rumah


Keinginan Untuk Kembali Rumah

Maka palinglah jiwa anda terhadap cahaya. Mulailah perjalanan menakjubkan anda untuk pulang ke rumah. Apabila anda melaksanakannya, kehidupan anda akan menjadi lebih baik, gembira, dan lebih bermakna.

Baru-baru ini, ketika kami bertemu dengan Presiden Thomas S. Monson, dia mengungkapkan, dengan penuh takzim dan wajah yang gembira, betapa dia mengasihi Tuhan dan bahawa dia tahu Tuhan mengasihi dia. Saudara dan saudari yang terkasih, saya tahu bahawa Presiden Monson sangat berterima kasih atas kasih, doa, dan kesalihan anda kepada Tuhan dan injil hebat-Nya.

Bobbie, Anjing yang Menakjubkan

Hampir satu abad lalu, satu keluarga dari Oregon pergi bercuti di Indiana— 2,000 lebih batu (3,200 km) jauhnya—apabila anjing kesayangan mereka, Bobbie, hilang. Keluarga itu kalut mencari anjing itu tetapi tidak berjaya. Bobbie tidak dapat dijumpai.

Kecewa, mereka pulang ke rumah, setiap batu menjauhkan mereka daripada haiwan kesayangan mereka.

Enam bulan kemudian, keluarga itu terkejut untuk mendapati Bobbie di hadapan pintu mereka di Oregon. “Kotor, kurus, kaki bagai lemah—[ia] tampaknya telah berjalan seluruh perjalanan itu … sendiri.”1 Kisah Bobbie menarik perhatian ramai orang di seluruh Amerika Syarikat, dan dia mula dikenali sebagai Bobbie, Anjing yang Menakjubkan.

Bobbie bukanlah satu-satunya haiwan yang memegunkan ahli-ahli saintis dengan kebolehan untuk pulang ke rumah. Populasi rama-rama raja berhijrah 3,000 batu (4,800 km) setiap tahun ke iklim yang sesuai untuk hidup. Penyu-penyu Belimbing merentasi Lautan Pasifik dari Indonesia ke persisiran pantai California. Ikan paus kelasa berenang dari air sejuk Kutub Utara dan Selatan ke garisan khatulistiwa dan kembali lagi. Mungkin lebih menakjubkan, burung artik tern terbang dari Lingkaran Kutub Utara ke Antartika dan ulanginya lagi setiap tahun, lebih kurang 60,000 batu (97,000 km).

Apabila ahli saintis mengkaji tingkah laku yang menakjubkan ini, mereka bertanya “Bagaimanakah mereka tahu untuk pergi ke mana?” dan “Bagaimanakah setiap generasi seterusnya belajar kelakuan ini?”

Apabila saya membaca mengenai naluri kuat binatang, saya terfikir, “Adakah manusia mempunyai keinginan yang serupa—sistem petunjuk dalaman—yang menarik mereka ke rumah syurgawi?”

Saya percaya bahawa setiap lelaki, perempuan, dan kanak pernah merasai keinginan untuk kembali ke rumah syurgawi pada satu ketika dalam hidup. Tersirat dalam kita ialah keinginan untuk merentasi tirai dan memeluk Ibu Bapa Syurgawi yang kita kenali dan kasihi.

Ada yang mungkin menahan keinginan ini daripada diri. Mereka yang tidak menghentikan keinginan ini dapat memulakan satu perjalanan yang menakjubkan—satu penghijrahan ke arah iklim syurgawi.

Tuhan Memanggil Anda

Pesanan luhur Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir adalah bahawa Tuhan Bapa kita, dan Dia mengasihi kita, dan terdapatnya jalan untuk kembali kepada-Nya.

Tuhan memanggil anda.

Tuhan ketahui setiap fikiran, kedukacitaan, dan harapan terbesar anda. Tuhan ketahui setiap masa anda memohon-Nya. Setiap masa anda merasai kebahagiaan yang tidak terbatas. Setiap masa anda menangis sendirian. Setiap masa anda terasa tidak terdaya, keliru, atau marah.

Namun, tidak kira apapun sejarah anda—jika anda pernah terhuyung, gagal, patah hati, berasa pahit, dikhianati, atau ditewaskan—ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan. Tuhan masih memanggil anda.

Juruselamat menghulurkan tangan-Nya kepada anda. Dan, sepertimana bersama nelayan-nelayan yang berdiri di pinggiran pantai Laut Galilea dahulu, dengan penuh kasih Dia berkata kepada anda: “Ikutlah Aku.”2

Jika anda mendengari Dia, Dia akan bercakap dengan anda kini.

Apabila anda mengikut jalan penganutan—apabila anda maju terhadap Bapa Syurgawi—terdapat sesuatu dalam diri anda yang akan mengesahkan bahawa anda telah mendengar panggilan Juruselamat dan menetapkan hasrat anda untuk maju ke cahaya-Nya. Ia akan memberitahu bahawa anda berada di jalan yang betul dan bahawa anda sedang kembali ke rumah.

Sejak dari permulaan lagi, nabi-nabi Tuhan telah menyeru kepada orang masa tersebut untuk “taat kepada Tuhan, … mematuhi segala hukum-Nya … , [dan] kembali kepada [Dia] dengan sepenuh hati.”3

Kitab suci mengajar kita beribu kali mengapa kita harus melakukannya.

Hari ini, biarlah saya memberi dua sebab mengapa kita harus kembali kepada Tuhan.

Pertama, kehidupan anda akan bertambah baik.

Kedua, Tuhan akan menggunakan anda untuk menambah baikkan kehidupan orang lain.

Kehidupan Anda akan Bertambah Baik

Saya bersaksi bahawa apabila kita memulakan atau menyambungkan perjalanan hebat ke arah Tuhan, kehidupan kita akan bertambah baik.

Ini tidak bermakna kehidupan kita akan menjadi bebas daripada kedukacitaan. Kita semua kenali pengikut-pengikut beriman Kristus yang telah melalui trajedi dan ketidakadilan—Yesus Kristus sendiri menderita lebih. Sepertimana Tuhan “menerbitkan matahari yang dijadikan-Nya untuk orang yang baik dan yang jahat,” Dia juga membenarkan musuh menguji mereka yang baik dan yang jahat.4 Ternyatanya, kadangkala kehidupan kita lebih susah kerana kita sedang cuba hidup dengan beriman.

Tidak, mengikut Juruselamat tidak akan menghapuskan segala percubaan anda. Sebaliknya, ia akan menghapuskan halangan di antara anda dan bantuan yang Bapa Syurgawi ingin berikan kepada anda. Tuhan akan bersama anda. Dia akan mengarah langkah-langkah anda. Dia akan berjalan di sisi anda dan juga memikul anda ketika anda amat memerlukan-Nya.

Anda akan mengalami buah hasil luhur Roh: “mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, [dan] setia.”5

Buah hasil rohani bukanlah hasil kesejahteraan, kejayaan, atau nasib baik duniawi. Ia datang dengan mengikut Juruselamat, dan akan membantu kita ketika dalam percubaan yang hebat.

Api dan gelora kehidupan fana mungkin mengancam dan menakutkan, tetapi mereka yang setia kepada Tuhan akan dilingkari kedamaian Dia. Kegembiraan mereka tidak akan berkurangan. Mereka tidak akan ditinggalkan atau dilupakan.

“Percayalah kepada Tuhan dengan sepenuh hatimu,” kitab suci telah mengajar, “dan jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan Tuhan dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu.”6

Mereka yang mematuhi panggilan dalaman dan mencari Tuhan, mereka yang berdoa, percaya, dan mengikut jalan yang Juruselamat telah sediakan—walaupun jika mereka tersandung dalam perjalanan—menerima jaminan tenang bahawa “segala sesuatu akan bekerja demi kebaikan [mereka].”7

Kerana Tuhan “menguatkan orang yang lemah, dan memberikan kekuatan kepada orang yang tidak berdaya.”8

“Walaupun orang jujur jatuh berkali-kali, mereka akan bangun semula.”9

Dan Tuhan dengan baiknya bertanya:

Adakah anda ingin mengalami kegembiraan yang berkekalan?

Adakah anda ingin merasai dalam hati anda kedamaian yang tidak mungkin difahami oleh manusia?10

Maka palinglah jiwa anda terhadap cahaya.

Mulailah perjalanan menakjubkan anda untuk pulang ke rumah.

Apabila anda melaksanakannya, kehidupan anda akan menjadi lebih baik, gembira, dan lebih bermakna.

Tuhan Akan Menggunakan Anda

Dalam perjalanan anda untuk kembali ke Bapa Syurgawi anda akan sedar bahawa perjalanan ini bukanlah tertumpu kepada kehidupan anda sahaja. Tidak, jalan ini membimbing anda untuk menjadi berkat dalam kehidupan anak-anak Tuhan yang lain—saudara dan saudari anda. Dan yang pentingnya berkenaan perjalanan ini adalah apabila anda melayan Tuhan, dan apabila anda menjaga dan membantu orang, anda akan nampak perkembangan dalam kehidupan sendiri, yang tidak dapat dibayangkan langsung.

Mungkin anda tidak merasai diri amat berguna; mungkin anda tidak menganggapkan diri sebagai satu berkat dalam kehidupan orang lain. Seringkali, apabila kita melihat diri, kita hanya nampak batas dan kekurangan diri. Kita mungkin fikir kita harus menjadi “lebih” untuk Tuhan menggunakan kita—lebih pandai, lebih kaya, lebih berkarisma, lebih berbakat, lebih berohani. Berkat-berkat akan datang bukanlah disebabkan kebolehan anda tetapi kerana pilihan-pilihan anda. Dan Tuhan Maha Esa akan bekerja dalam dan melalui anda, mengembangkan usaha sederhana anda untuk tujuan-tujuan-Nya.

Pekerjaan-Nya sentiasa maju berdasarkan asas penting ini: “Dari hal-hal yang kecil mulailah apa yang besar.”11

Ketika berutusan dengan Orang Suci Korintus, Rasul Paulus perhati bahawa tidak ramai di antara mereka di sana boleh dianggap bijak dari segi ukuran duniawi. Tetapi ia tidak penting, kerana “Tuhan juga memilih orang yang dianggap lemah oleh dunia ini untuk mempermalukan orang yang berkuasa.”12

Sejarah usaha Tuhan dipenuhi dengan orang yang menganggap diri mereka serba kekurangan. Namun mereka melayan dengan rendah hati, bergantung kepada rahmat Tuhan, dan janji-Nya: “Dan lengan mereka akan menjadi lengan-Ku, dan Aku akan menjadi perisai mereka … , dan mereka akan berperang secara jantan bagi-Ku; dan … Aku [akan] lindungi mereka.”13

Musim panas baru-baru ini keluarga saya berpeluang untuk melawat tempat-tempat bersejarah Gereja di Amerika Syarikat Timur. Secara istimewanya, kami mengalami sendiri kejadian sejarah masa itu. Mereka yang telah banyak dibacakan—seperti Martin Harris, Oliver Cowdery, dan Thomas B. Marsh—menjadi lebih nyata kepada saya apabila kami berjalan di mana mereka telah berjalan dan merenungkan pengorbanan mereka untuk membina kerajaan Tuhan.

Mereka punyai banyak sifat yang membolehkan mereka menyumbang secara besar kepada Pemulihan Gereja Yesus Kristus. Tetapi mereka masihlah manusia, lemah, dan tidak sempurna—seperti saya dan anda. Ada yang mendapati diri berselisihan dengan Nabi Joseph Smith lalu meninggalkan Gereja. Kemudian, ramai orang yang sama bertukar hati, merendahkan hati, dan memohon persahabatan Orang Suci semula.

Kita mungkin berkecenderungan untuk menghakimi saudara-saudara dan ahli lain yang seperti mereka. Kita mungkin berkata, “Saya tidak akan sekali-kali meninggalkan Nabi Joseph.”

Walaupun ia mungkin benar, kita tidak tahu bagaimana kehidupan pada ketika itu, dalam keadaan tersebut. Tidak, mereka tidaklah sempurna, tetapi betapa menggalakkan untuk mengetahui bahawa Tuhan masih dapat menggunakan mereka. Dia ketahui kebolehan dan kekurangan mereka, dan Dia telah memberi mereka peluang istimewa untuk menyumbang satu ayat atau melodi ke dalam lagu kebangsaan hebat Pemulihan.

Betapa menggalakkan untuk ketahui, walaupun kita tidak sempurna, jika hati kita diarah kepada Tuhan, Dia akan bermurah hati dan baik hati dan menggunakan kita untuk tujuan Dia.

Mereka yang mengasihi dan melayan Tuhan dan orang sesama dan dengan rendah hati dan aktifnya terlibat dalam usaha-Nya akan melihat kejadian yang menakjubkan dalam kehidupan diri dan kehidupan mereka yang dikasihi.

Pintu yang bagai tertutup akan buka.

Malaikat-malaikat akan pergi sebelum mereka dan menyediakan jalan.

Tidak kira apapun posisi anda dalam komuniti atau di dalam Gereja, Tuhan akan menggunakan anda jika anda sudi. Dia akan mengembangkan keinginan soleh anda dan mengubah usaha belas kasihan anda untuk menjadi satu hasil kebaikan yang berlimpahan.

Kita Tidak Boleh Sampai Sana Secara Autopilot

Setiap kita, “orang asing dan pengembara”14 di bumi ini. Kita berada jauh dari rumah Tetapi ia tidak bermaksud kita harus berasa sesat atau keseorangan.

Bapa Syurgawi kita yang dikasihi telah memberi kita Cahaya Kristus. Dan di dalam setiap kita, suatu dorongan syurgawi menggesa kita untuk memaling mata dan hati kita kepada Dia apabila kita membuat perjalanan untuk kembali ke rumah selestial kita.

Ini memerlukan usaha. Anda tidak boleh sampai tanpa usaha untuk belajar mengenai Dia, memahami arahan Dia, mengaplikasikannya dengan bersungguh-sungguh, dan melangkahkan kaki.

Tidak, kehidupan bukanlah satu kereta yang boleh memandu dengan sendiri. Ia bukanlah sebuah kapal terbang yang terbang secara autopilot.

Anda tidak boleh terapung dalam air kehidupan dan percaya bahawa arus akan membawa anda ke mana anda berharap pergi pada satu hari nanti. Penganutan memerlukan kesanggupan untuk berenang melawan arus jika perlu.

Tiada yang bertanggungjawab dalam perjalanan peribadi anda. Juruselamat akan membantu dan menyediakan jalan untuk anda, tetapi komitmen untuk mengikut Dia dan mematuhi perintah-perintah Dia haruslah datang daripada anda. Itulah beban tunggal anda, hak keistimewaan tunggal anda.

Inilah pengembaraan hebat anda.

Sila peka terhadap panggilan Juruselamat anda.

Ikutlah Dia.

Tuhan menubuhkan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir untuk membantu dalam komitmen anda untuk melayan Tuhan dan orang sesama. Matlamatnya adalah untuk menggalak, mengajar, mengangkat, dan mengilham. Gereja mengagumkan ini memberi anda peluang untuk berasa kasihan, membantu orang lain, dan memperbaharui dan memegang kepada perjanjian. Ia direka untuk memberkati kehidupan anda dan membaiki rumah, komuniti, dan bangsa anda.

Mari, sertailah kami dan percaya Tuhan. Sumbangkanlah bakat-bakat anda untuk pekerjaan menakjubkan-Nya. Capailah, galakkan, pulihkan, dan sokonglah semua yang ingin merasa dan mengikut keinginan untuk kembali ke rumah syurgawi kita. Marilah kita sertai bersama dalam penghijrahan gemilang ini ke iklim syurgawi.

Injil merupakan satu pesanan harapan, kegembiraan yang kebahagiaan. Ia merupakan jalan yang membawa kita pulang.

Apabila kita memeluk injil dengan iman dan berani, setiap hari dan setiap jam, kita akan menjadi lebih rapat kepada Tuhan kita. Kehidupan kita akan bertambah baik, dan Tuhan akan menggunakan kita untuk memberkati mereka yang di sekitar kita dan mencapai matlamat abadi-Nya. Saya bersaksi semua ini dan meninggalkan kamu berkat saya dalam nama kudus Yesus Kristus, amen.