Perpustakaan
Tiga Saudari


Tiga Saudari

Kita bertanggungjawab untuk penganutan kita sendiri, dan ia mempunyai sedikit—jika ada—kaitan dengan cara orang lain melayan kita.

Saudari yang dikasihi, kawan yang dikasihi, untuk memulakan persidangan umum dengan sesi saudari di seluruh dunia adalah penting dan menakjubkan. Bayangkanlah: saudari dari segala usia, latar belakang, kewarganegaraan, dan bahasa bersatu dalam iman dan kasih kepada Tuhan Yesus Kristus.

Seperti pertemuan kita kebelakangan dengan nabi tercinta kita, Presiden Thomas S. Monson, dia menyatakan kepada kita betapa dia mengasihi Tuhan. Dan saya tahu bahawa Presiden Monson sangat berterima kasih atas kasih, doa, dan kesalihan anda kepada Tuhan.

Terdapat tiga saudari yang tinggal di tempat yang jauh pada masa dahulu.

Saudari yang pertama berasa sedih. Segalanya tentang bentuk fizikal badannya kelihatan tidak cukup baik baginya. Apabila dia bercakap, kata-katanya kadang-kadang keluar dengan janggal, dan orang-orang ketawa. Apabila seseorang mengkritiknya atau tidak menjemputnya ke sesuatu, mukanya menjadi merah dan dia akan pergi mencari tempat rahsia untuk dia akan mengeluarkan keluhan sedih dan tertanya-tanya mengapa kehidupan begitu suram.

Saudari yang kedua berasa marah. Dia rasa dirinya sangat pintar, tetapi selalu ada orang lain yang mendapatkan markah lebih tinggi dalam ujian di sekolah. Dia menganggap dirinya lucu, cantik, bergaya, dan mempesonakan. Tetapi selalu ada seseorang yang lebih lucu, lebih cantik, lebih bergaya, atau lebih mempesonakan.

Dia tidak pernah menjadi yang pertama, dan ini dia tidak dapat tahan. Kehidupan tidak sepatutnya menjadi seperti ini!

Kadang-kala dia memarahi orang lain, dan ia seolah-olahnya dia sentiasa bersedia menjadi marah dengan sesuatu perkara.

Sudah tentunya, ini tidak menjadikannya lebih disukai atau popular. Kadang-kala dia terketap giginya, menggenggamkan buku limanya, dan berfikir, “Hidup adalah sangat tidak adil!”

Kemudian terdapat saudari ketiga. Tidak seperti saudarinya yang sedih dan marah, dia berasa—senang hati. Bukan kerana dia lebih pintar atau lebih cantik atau lebih mampu daripada saudarinya. Tidak, orang kadang-kala mengelak diri atau tidak menghiraukannya. Mereka kadang-kala mengejek apa yang dia pakai atau perkara yang dia katakan. Mereka kadang-kala mengatakan perkara jahat tentangnya. Tetapi dia tidak membenarkan ini terlalu mengganggunya.

Saudari ini suka menyanyi. Dia tidak boleh menyanyi dengan baik, dan orang lain ketawakannya, tetapi itu tidak menghalangnya. Dia akan berkata, “Saya tidak akan membiarkan orang lain dan pendapat mereka menghentikan saya dari menyanyi!”

Ini membuatkan saudarinya yang pertama sedih dan saudarinya yang kedua marah.

Beberapa tahun berlalu, dan pada akhirnya setiap saudari telah sampai ke penghujung waktunya di bumi.

Saudari pertama, yang sentiasa mengalami banyak kekecewaan dalam hidup, akhirnya meninggal dunia dengan sedih.

Yang kedua, setiap hari menemui perkara baru untuk tidak disukai, meninggal dunia dengan marah.

Dan saudari ketiga, yang menghabiskan hidupnya menyanyi lagunya sepenuh hati dengan senyuman yakin di wajahnya, meninggal dunia dengan senang hati.

Sudah tentu, kehidupan tidak pernah begitu mudah, dan orang bukan tidak berubah seperti tiga saudari dalam cerita ini. Tetapi contoh yang ekstrem seperti ini boleh mengajar kita sesuatu tentang diri kita sendiri. Jika anda seperti kebanyakan daripada kami, anda mungkin mengenali sebahagian diri anda dalam satu, dua, atau mungkin ketiga-tiga saudari ini. Mari kita meneliti setiap satu saudari ini.

Mangsa

Saudari pertama menganggap dirinya sebagai mangsa—sebagai seseorang yang ditindas.1 Ia seolah-olah seperti satu demi satu perkara terus berlaku kepadanya yang menjadikannya sengsara. Dengan perspektif ini tentang kehidupan, dia memberi orang lain mengawal perasaan dan tindakannya. Apabila kita melakukan ini, kita ditiup oleh setiap angin pendapat—dan zaman media sosial sekarang, pendapat boleh menjadi sangat popular atau kuat.

Saudari sekalian, mengapa anda harus menyerahkan kebahagiaan anda kepada seseorang, atau sekumpulan orang yang kurang peduli tentang anda atau kebahagiaan anda?

Jika anda mendapati diri anda bimbang tentang apa yang orang lain katakan tentang anda, saya mencadangkan penawar ini: ingat siapa anda. Ingatlah bahawa anda adalah dari rumah kerajaan syurga, anak perempuan Ibubapa Syurgawi, yang memerintah seluruh alam semesta.

Anda mempunyai DNA rohani Tuhan. Anda mempunyai kurnia unik yang berasal dari penciptaan rohani anda dan yang telah dibangunkan semasa jangka hayat pra-fana anda. Anda adalah anak Bapa di Syurga yang berbelas kasihan dan kekal, Tuhan Semesta Alam, Yang mencipta alam semesta, menyebarkan bintang melintasi ruang angkasa, dan meletakkan planet di orbit mereka.

Anda berada dalam tangan-Nya.

Tangan yang sangat baik.

Tangan yang pengasih.

Tangan yang mengambil berat.

Dan tiada perkara yang orang lain boleh katakan yang akan mengubahkan itu. Kata-kata mereka tidak bermakna berbanding dengan apa yang Tuhan katakan tentang anda.

Anda ialah anak-Nya yang berharga.

Dia menyayangi anda.

Walaupun anda berdosa, walaupun anda berpaling daripada Dia, Tuhan mengasihi anda. Jika anda berasa sesat, ditinggalkan, atau dilupakan—jangan takut. Gembala yang Baik akan mencari anda. Dia akan memikul anda di atas bahu-Nya. Dan Dia akan membawa anda pulang.2

Saudari saya yang dikasihi, tolong mendalami kebenaran ilahi ini dalam hati anda. Dan anda akan mendapati bahawa terdapat banyak sebab untuk tidak sedih, kerana anda mempunyai takdir abadi untuk memenuhi.

Juruselamat yang dikasihi dunia memberikan hidup-Nya supaya anda dapat memilih untuk menjadikan takdir itu suatu kenyataan. Anda telah mengambil ke atas diri anda nama-Nya; anda adalah pengikut-Nya. Dan kerana Dia, anda dapat memakai pakaian kemuliaan abadi.

Pembenci

Saudari kedua marah pada dunia. Seperti saudarinya yang sedih, dia merasakan bahawa masalah dalam hidupnya semua disebabkan oleh orang lain. Dia menyalahkan keluarganya, rakannya, bosnya dan rakan sekerja, polis, jiran, pemimpin Gereja, trend fesyen semasa, termasuk intensiti matahari, dan nasib buruk. Dan dia memarahi semuanya.

Dia tidak memikirkan dirinya sebagai orang jahat. Sebaliknya, dia merasakan bahawa dia hanya mempertahankan dirinya. Dia mempercayai semua orang didorong oleh kepentingan diri,keremehan, dan kebencian. Dia pula didorong oleh niat baik—keadilan, kesempurnaan akhlak, dan kasih.

Malangnya, pemikiran saudari yang marah itu adalah terlalu umum. Ini dinyatakan dalam satu kajian baru-baru ini yang meneroka konflik antara kumpulan saingan. Sebahagian daripada kajian, para penyelidik menemubual rakyat Palestin dan Israel di Timur Tengah dan Republik dan Demokrat di Amerika Syarikat. Mereka menemui bahawa “setiap pihak merasakan kumpulan mereka sendiri didorong lebih oleh kasih dari benci, tetapi apabila ditanya mengapa kumpulan saingan mereka terlibat dalam konflik, mereka mengatakan kebencian sebagai faktor dorongan kumpulan lain.”3

Dalam kata lain, setiap kumpulan memikirkan diri mereka sebagai “orang baik”—adil, baik, dan jujur. Sebaliknya, mereka melihat pesaing mereka sebagai “orang jahat”—tidak berpengetahuan, tidak jujur, bahkan jahat.

Pada tahun saya dilahirkan, dunia terlibat dalam peperangan dahsyat yang menyebabkan penderitaan dan kesedihan kepada dunia. Perang ini dimulakan oleh negara saya—oleh sekumpulan orang yang mengenal pasti kumpulan lain sebagai jahat dan menggalakkan kebencian terhadap mereka.

Mereka mendiamkan orang yang mereka tidak suka. Mereka memalukan dan memburuk-burukkan orang ini. Mereka menganggap orang ini lebih rendah—bahkan kurang daripada manusia. Apabila anda merendahkan sekumpulan orang, anda mungkin akan mempersolehkan perkataan dan perbuatan keganasan terhadap mereka.

Saya menggeletar berfikir tentang apa yang terjadi pada Jerman abad ke-20.

Apabila seseorang menentang atau tidak bersetuju dengan kita, ia menggoda kita untuk mengandaikan bahawa ada sesuatu yang salah dengan mereka. Dan dari sana ia sangat senang untuk melampirkan motif yang paling buruk kepada kata-kata dan tindakan mereka.

Sudah tentu, kita mesti sentiasa berdiri untuk apa yang betul, dan ada kalanya kita mesti menaikkan suara kita untuk tujuan itu. Bagaimanapun, apabila kita berbuat demikian dengan marah atau benci dalam hati kita—apabila kita menyerang orang lain untuk menyakiti, memalukan, atau membisu mereka—kemungkinan kita tidak berbuat demikian dalam kesolehan.

Apakah yang diajar oleh Juruselamat?

“Aku berkata kepada kamu, Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu;

“Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapa kamu yang di syurga.”4

Inilah jalan Juruselamat. Ini adalah langkah pertama dalam memecahkan halangan yang membuat banyak kemarahan, kebencian, pembahagian, dan keganasan di dunia.

“Ya,” anda mungkin berkata, “Saya akan mengasihi musuh saya—jika mereka sanggup melakukan perkara yang sama.”

Tetapi itu tidak begitu penting, kan? Kita bertanggungjawab untuk penganutan kita sendiri, dan ia mempunyai sedikit—jika ada—kaitan dengan cara orang lain melayan kita. Kita berharap bahawa mereka memahami dan bermurah hati sebagai balasannya, tetapi kasih kita untuk mereka bebas dari perasaan mereka terhadap kita.

Mungkin usaha kita untuk mengasihi musuh kita akan melembutkan hati mereka dan mempengaruhi mereka untuk kebaikan. Mungkin tidak. Tetapi itu tidak mengubah komitmen kita untuk mengikuti Yesus Kristus.

Oleh itu, sebagai anggota Gereja Yesus Kristus, kita akan mengasihi musuh kita.

Kita akan mengatasi kemarahan atau kebencian.

Kita akan mengisi hati kita dengan kasih untuk semua anak Tuhan.

Kita akan pergi untuk memberkati orang lain dan melayani mereka—termasuk mereka yang mungkin “menggunakan [kita] dengan jahat, dan menganiaya [kita].”5

Pengikut Tulen

Saudari ketiga mewakili pengikut tulen Yesus Kristus. Dia melakukan sesuatu yang sangat sukar untuk dilakukan—dia percaya Tuhan walaupun menghadapi cemuhan dan kesusahan. Dia mengekalkan iman dan harapannya, walaupun dengan cemuhan dan kesinisan di sekelilingnya.Dia hidup gembira bukan kerana keadaannya gembira tetapi kerana dia gembira.

Tiada seorang pun dari kita yang melalui perjalanan hidup tanpa tentangan. Dengan begitu banyak tarikan yang berusaha menarik kita, bagaimana kita mengekalkan penglihatan kita pada kebahagiaan indah yang dijanjikan kepada yang beriman?

Saya percaya jawapannya dapat dijumpai dalam mimpi seorang nabi ribuan tahun lalu. Nama nabi itu ialah Lehi, dan mimpinya dicatatkan dalam Kitab Mormon yang berharga dan menakjubkan.

Dalam mimpinya, Lehi melihat ladang yang luas dan, di dalamnya sepohon pokok menakjubkan, yang indah di luar deskripsi. Dia juga melihat kumpulan besar orang yang berjala menuju pokok itu. Mereka mahu merasakan buahnya yang indah. Mereka merasakan dan percaya bahawa ia akan memberi mereka kebahagiaan yang besar dan kedamaian abadi.

Terdapat lorong sempit ke arah pokok itu, dan di sampingnya adalah batang besi yang membantu mereka kekal di jalan itu. Tetapi terdapat juga kabut kegelapan yang mengaburkan penglihatan mereka jalan dan pohon itu. Dan mungkin lebih berbahaya adalah bunyi ketawa dan cemuhan yang kuat datang dari bangunan besar dan lapang yang berdekatan. Yang mengejutkan, cemuhan itu meyakinkan beberapa orang yang telah sampai ke pohon itu dan merasai buah yang mengagumkan untuk mula rasa malu dan meninggalkannya.6

Mungkin mereka mula meragui bahawa pokok itu betul-betul indah seperti yang mereka sangka. Mungkin mereka mula mempersoalkan realiti tentang apa yang mereka alami.

Mungkin mereka fikir jika mereka berpaling dari pokok itu, kehidupan jadi lebih mudah. Mungkin mereka tidak akan dicemuh atau diketawakan lagi.

Dan sebenarnya, orang yang mengejek mereka kelihatan seperti orang yang agak gembira dan berseronok. Mungkin jika mereka meninggalkan pohon itu, mereka akan dialu-alukan ke dalam umat bangunan yang luas dan diberi tepukan atas penghakiman, kecerdasan dan kecanggihan mereka.

Kekal pada Jalan

Saudari yang dikasihi, kawan yang dikasihi, jika anda berasa sukar untuk berpegang teguh pada batang besi dan berjalan dengan tabah menuju keselamatan; jika ketawa dan cemuhan orang lain kelihatan begitu yakin menyebabkan anda goyah; jika anda bermasalah dengan soalan tidak terjawab atau ajaran yang belum difahami; jika anda berasa sedih kerana kekecewaan, saya mendesak anda untuk mengingati mimpi Lehi.

Kekal pada Jalan!

Jangan lepaskan batang besi—firman Tuhan!

Dan apabila seseorang cuba membuat anda malu untuk mengambil bahagian dalam kasih Tuhan, jangan hiraukan mereka.

Jangan lupa anda adalah anak Tuhan; kurnia tersedia; jika anda boleh belajar untuk melakukan kehendak-Nya, anda akan hidup dengan Dia sekali lagi!7

Janji pujian dan penerimaan oleh dunia tidak boleh diharap, tidak benar, dan akhirnya tidak memuaskan. Janji Tuhan adalah pasti, benar, dan menggembirakan—sekarang dan selama-lamanya.

Saya menjemput anda untuk mempertimbangkan agama dan iman dari perspektif yang lebih tinggi. Tiada apa yang ditawarkan di bangunan yang luas itu boleh dibandingkan dengan buah kehidupan injil Yesus Kristus.

Sememangnya, “apa yang belum pernah dilihat atau didengar, atau terlintas dalam fikiran manusia, itulah yang disediakan oleh Tuhan untuk orang yang mengasihi Dia.”8

Saya telah belajar untuk diri sendiri bahawa jalan penganutan dalam injil Yesus Kristus adalah jalan ke kegembiraan. Ia adalah jalan ke keselamatan dan kedamaian. Ia adalah jalan ke kebenaran.

Saya bersaksi bahawa melalui kurnia dan kuasa Roh Kudus, anda dapat mempelajari ini untuk diri sendiri.

Sementara itu, jika jalan menjadi sukar bagi anda, saya harap anda akan mendapat perlindungan dan kekuatan dalam organisasi Gereja yang menakjubkan di Gereja—Sekolah Primer, Remaja Puteri, dan Lembaga Pertolongan. Mereka seperti titik arah di jalan, di mana anda boleh memperbaharui keyakinan dan iman anda untuk perjalanan yang akan datang. Mereka adalah rumah yang selamat, di mana anda boleh berasa diterima dan menerima galakan daripada saudari anda dan para pengikut.

Perkara yang anda pelajari di Sekolah Primer menyediakan anda untuk kebenaran tambahan yang anda pelajari sebagai remaja puteri. Jalan penganutan yang anda jalankan dalam kelas Remaja Puteri anda akan membawa kepada persahabatan dan persaudaraan Lembaga Pertolongan. Dengan setiap langkah di sepanjang jalan, anda diberi peluang tambahan untuk menunjukkan kasih anda kepada orang lain melalui tindakan iman, rasa kasihan, kasih ihsan, hemah dan pelayanan.

Memilih jalan penganutan ini akan membawa kebahagiaan dan pencapaian ilahi alamiah anda.

Ia tidak akan jadi mudah. Ia memerlukan yang terbaik yang anda miliki—semua kecerdasan, kreativiti, iman, kesempurnaan akhlak, kekuatan, keazaman, dan kasih anda. Tetapi suatu hari nanti anda akan melihat kembali usaha anda, dan anda akan sangat bersyukur yang anda kekal kuat, yang anda percaya, dan yang anda tidak meninggalkan jalan.

Teruskan Berjalan

Mungkin ada banyak perkara tentang kehidupan yang berada di luar kawalan anda. Tetapi akhirnya, anda mempunyai kuasa untuk memilih destinasi anda dan banyak pengalaman anda sepanjang perjalanan. Kebanyakannya ia bukan tentang kebolehan anda, tetapi pilihan anda yang membuat perbezaan dalam kehidupan.9

Anda tidak boleh membenarkan keadaan anda membuat anda sedih.

Anda tidak boleh membenarkannya membuat anda marah.

Anda boleh bergembira bahawa anda ialah puteri Tuhan. Anda boleh mencari kegembiraan dan kebahagiaan dalam rahmat Tuhan dan dalam kasih Yesus Kristus.

Anda boleh menjadi senang hati.

Saya menggesa anda untuk mengisi hati anda dengan rasa syukur atas kebaikan Tuhan yang melimpah dan tidak terbatas. Saudari saya yang dikasihi, anda boleh melakukan ini! Saya berdoa dengan penuh kasih sayang jiwa saya bahawa anda akan membuat pilihan untuk terus berjalan menuju pokok kehidupan. Saya berdoa agar anda akan memilih untuk mengangkat suara anda dan membuat hidup anda sebagai simfoni pujian, kegirangan dalam apa yang kasih Tuhan dan keajaiban-keajaiban Gereja-Nya dan injil Yesus Kristus boleh bawa ke dunia.

Lagu penganutan yang benar mungkin kedengaran sumbang atau terlalu kuat kepada sesetengah orang. Sejak permulaan masa, ia sudah begitu.

Tetapi kepada Bapa Syurgawi kita dan kepada mereka yang mengasihi dan menghormati Dia, ia adalah lagu yang paling berharga dan indah—lagu mengagumkan dan penyucian penebusan kasih dan pelayanan kepada Tuhan dan sesama.10

Saya meninggalkan anda berkat saya sebagai Rasul Tuhan yang anda akan mendapat kekuatan dan keberanian untuk berkembang sebagai puteri Tuhan sambil dengan senang hati berjalan setiap hari di jalan penganutan yang indah. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.