2010–2019
Kasih Suci: Tanda setiap pengikut sejati Yesus Kristus.
April 2018


Kasih Suci: Tanda Setiap Pengikut Sejati Yesus Kristus

Injil Yesus Kristus berpusat pada kasih Bapa dan Juruselamat kepada kita dan kasih kita kepada Mereka dan untuk sesama.

Kami mengasihi dan merindui Presiden Thomas S. Monson, dan kami mengasihi dan menyokong Presiden Russell M. Nelson. Presiden Nelson mempunyai tempat yang istimewa dalam hati saya.

Ketika saya seorang ayah muda, anak lelaki kecil kami, yang berumur lima tahun, balik dari sekolah suatu hari dan menanyakan ibunya, “Apakah pekerjaan yang ayah lakukan?” Kemudian dia menjelaskan bahawa rakan sekelasnya yang baru mula berbincang tentang pekerjaan ayah mereka. Seorang berkata ayahnya seorang ketua polis bandar, sementara yang lain berkata dengan megah bahawa ayahnya seorang ketua sebuah syarikat besar.

Jadi ketika ditanya tentang ayahnya, anak saya hanya menjawab, “Ayah saya bekerja di sebuah pejabat dengan komputer.” Kemudian, menyedari bahawa jawapannya tidaklah mengagumkan rakan-rakannya, dia menambah, “Dan lagi, ayah saya merupakan ketua alam semesta.”

Saya percaya bahawa itu adalah akhir perbualan tersebut.

Saya berkata kepada isteri saya, “Inilah masa untuk mengajar dia dengan lebih terperinci tentang rancangan keselamatan dan siapa yang benar-benar berkuasa.”

Semasa kita mengajar anak-anak kita tentang rancangan keselamatan, kasih mereka terhadap Bapa Syurgawi dan Juruselamat berkembang ambil mereka mempelajari bahawa ia sebuah rancangan kasih. Injil Yesus Kristus berpusat pada kasih Bapa dan Juruselamat kepada kita dan kasih kita kepada Mereka dan untuk sesama.

Elder Jeffrey R. Holland berkata: “Saudara dan saudari, perintah pertama yang utama untuk seluruh keabadian adalah untuk mengasihi Tuhan dengan seluruh hati, daya, minda, dan kekuatan kita—itulah perintah pertama yang utama. Tetapi kebenaran pertama yang besar untuk seluruh keabadian adalah bahawa Tuhan mengasihi kita dengan seluruh hati, daya, minda, dan kekuatan Dia. Kasih sayang itu adalah batu asas keabadian, dan ia patut menjadi batu asas kehidupan harian kita.1

Menjadi batu asas kehidupan harian kita, kasih suci merupakan tuntutan untuk setiap pengikut sejati Yesus Kristus.

Nabi Mormon mengajar: “Oleh itu, saudara-saudaraku yang dikasihi, berdoalah kepada Bapa dengan sekuat tenaga hati, agar kamu boleh dipenuhi dengan kasih ini, yang telah Dia berikan kepada semua yang merupakan pengikut sejati Putera-Nya, Yesus Kristus.”2

Kasih sememangnya merupakan tanda bagi setiap pengikut sejati Yesus Kristus.

Pengikut sejati suka untuk melayani. Mereka mengetahui bahawa melayani merupakan satu penyataan kasih sejati dan perjanjian yang mereka lakukan sewaktu pembaptisan.3 Tanpa mengira panggilan mereka di Gereja atau peranan mereka di dalam komuniti, mereka merasakan peningkatan hasrat untuk mengasihi dan melayani Tuhan dan sesama.

Pengikut sejati suka untuk mengampuni. Mereka mengetahui bahawa Korban Tebusan Juruselamat merangkumi semua dosa-dosa dan kesilapan-kesilapan setiap daripada kita. Mereka mengetahui bahawa harga telah Dia bayar merupakan “harga merangkumi semua.” Cukai rohani, kos, komisen, dan bayaran berkaitan dengan dosa-dosa, kesilapan, atau kesalahan semua telah dibayar. Pengikut-pengikut sejati cepat untuk mengampuni dan cepat meminta keampunan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi, sekiranya anda sukar untuk mencari kekuatan untuk mengampuni, jangan fikir apa yang orang lain telah lakukan terhadap anda, tetapi fikirkan apa yang Juruselamat telah lakukan untuk anda, dan anda akan mendapat kedamaian di dalam berkat penebusan Korban Tebusan-Nya.

Pengikut sejati suka untuk menyerahkan diri mereka kepada Tuhan dengan kedamaian di hati mereka. Mereka adalah rendah hati dan peserah kerana mereka mengasihi Dia. Mereka memiliki iman untuk menerima sepenuhnya kehendak-Nya, bukan saja dalam apa yang Dia lakukan tetapi juga dalam bagaimana dan bila. Pengikut sejati mengetahui bahawa berkat-berkat sebenar selalunya bukan apa yang mereka inginkan tetapi apa yang Tuhan inginkan untuk mereka.

Pengikut sejati mengasihi Tuhan lebih dari dunia dan tabah dan tak tergoyah dalam iman mereka. Mereka tetap kuat dan teguh di dalam dunia yang berubah dan mengelirukan. Pengikut sejati mendengarkan suara Roh dan Nabi serta tidak dikelirukan oleh suara-suara dunia. Pengikut sejati suka “berdiri di tempat-tempat kudus”4 dan suka untuk menjadikan tempat mana pun mereka berdiri kudus. Ke mana pun mereka pergi, mereka membawa kasih Tuhan dan kedamaian ke dalam hati orang lain. Pengikut sejati suka mematuhi perintah-perintah Tuhan, dan mereka mematuhi kerana mereka mengasihi Tuhan. Semasa mereka mengasihi dan mematuhi perjanjian mereka, hati mereka diperbaharui dan sifat alamiah mereka berubah.

Kasih suci merupakan tanda setiap pengikut sejati Yesus Kristus.

Saya mempelajari tentang kasih suci dari ibu saya. Dia bukanlah seorang ahli Gereja.

Satu hari di beberapa tahun yang lalu, saya mengunjungi ibu saya, yang tengah bergelut dengan kanser. Saya tahu bahawa dia akan meninggal, tetapi saya bimbang kerana dia sedang menderita. Saya tidak mengatakan apa-apa, tetapi mengenali saya dengan baik, dia berkata, “Saya lihat bahawa anda sedang bimbang.”

Tanpa saya jangka, dia meminta saya dengan suara lemah, “Bolehkah kamu mengajar saya bagaimana untuk berdoa? Saya mahu berdoa untuk kamu. Saya tahu kamu memulai dengan berkata ‘Bapa di Syurga,’ tetapi kemudian apakah yang harus saya katakan?”

Semasa saya berlutut di samping katilnya dan dia berdoa untuk saya, saya merasakan kasih yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Ianya mudah, benar, kasih yang suci. Walaupun dia tidak mengetahui tentang rancangan keselamatan, dia mempunyai dalam hatinya rancangan kasih peribadinya, rancangan kasih seorang ibu untuk anaknya. Dia berada dalam kesakitan, bergelut untuk mencari kekuatan untuk berdoa. Saya sukar mendengar suaranya, tetapi saya sememangnya merasakan kasihnya.

Saya berfikir, “Bagaimanakah seseorang yang berada dalam kesakitan yang teramat berdoa untuk orang lain? Dia yang berada dalam keperluan.”

Kemudian jawapan datang dengan jelas ke dalam minda saya: kasih suci. Dia amat mengasihi saya sehingga dia melupakan dirinya. Dalam masanya yang amat kritikal, dia mengasihi saya lebih dari dirinya.

Sekarang, saudara dan saudari, bukankah ini yang Juruselamat lakukan? Semestinya, dalam sebuah perspektif yang kekal dan lebih luas. Tetapi di tengah kesakitan Dia yang teramat, di taman pada malam tersebut, Dia merupakan orang yang memerlukan bantuan, menderita dalam cara yang kita tidak dapat bayangkan mahupun bandingkan. Tetapi pada akhirnya, Dia melupakan diri-Nya dan berdoa untuk kita sehingga Dia membayar harga penuh itu. Bagaimanakah Dia mampu untuk melakukannya? Kerana kasih suci-Nya kepada Bapa, yang menghantar-Nya, dan untuk kita. Dia mengasihi Bapa dan kita lebih daripada diri-Nya.

Dia membayar untuk sesuatu yang Dia tidak pernah lakukan. Dia membayar untuk dosa-dosa yang Dia tidak pernah lakukan. Mengapa? Kasih suci. Kerana telah membayar harga penuh, Dia menawarkan kita berkat-berkat dari apa yang telah Dia bayar sekiranya kita akan bertaubat. Mengapakah Dia menawarkan ini? Sekali lagi, dan sentiasa, kasih suci.

Kasih suci merupakan tanda setiap pengikut sejati Yesus Kristus.

Presiden Thomas S. Monson berkata: “Semoga kita bermula sekarang, pada hari ini, untuk menyatakan kasih sayang kepada semua dari anak Tuhan, sama ada mereka dalam keluarga kita, kawan kita, kenalan kita, atau orang yang kita tidak kenal. Apabila kita bangun setiap hari, semoga kita memutuskan untuk membalas dengan kasih sayang dan kebaikan hati kepada apa-apa yang terjadi kepada kita.”5

Saudara dan saudari, injil Yesus Kristus adalah injil kasih. Perintah terbesar adalah tentang kasih. Bagi saya, semuanya tentang kasih. Kasih seorang Bapa, yang mengorbankan Putera-Nya untuk kita. Kasih seorang Juruselamat, yang mengorbankan segalanya untuk kita. Kasih seorang ibu atau ayah yang memberikan apa-apa pun untuk anak-anaknya. Kasih mereka yang melayani secara diam dan tidak diketahui oleh kita tetapi sungguh diketahui oleh Tuhan. Kasih mereka yang mengampuni semua dan sentiasa. Kasih mereka yang memberi lebih dari yang mereka terima.

Saya mengasihi Bapa Syurgawi saya. Saya mengasihi Juruselamat saya. Saya mengasihi injil. Saya mengasihi Gereja ini. Saya mengasihi keluarga saya. Saya mengasihi kehidupan yang menakjubkan ini. Bagi saya, semua tentang kasih.

Semoga hari peringatan Kebangkitan Juruselamat ini menjadi hari untuk pembaharuan rohani kepada setiap kita. Semoga hari ini menjadi permulaan sebuah kehidupan yang penuh kasih, “batu asas bagi kehidupan harian kita.

Semoga hati kita dipenuhi dengan kasih suci Kristus, tanda setiap pengikut sejati Yesus Kristus. Ini adalah doa saya dalam nama Yesus Kristus, amin.