Kitab Suci
Mormon 7


Bab 7

Mormon mengundang bangsa Laman dari zaman akhir untuk percaya kepada Kristus, menerima Injil-Nya, dan diselamatkan—Semua yang mempercayai Alkitab juga akan mempercayai Kitab Mormon. Kira-kira 385 tahun M.

1 Dan sekarang, lihatlah, aku mahu mengucapkan sedikit kepada keturunan bangsayang selebihnya ini yang dibiarkan hidup, jika demikian halnya bahawa Tuhan akan memberikan kepada mereka perkataanku, agar mereka boleh mengetahui tentang hal-hal nenek moyang mereka; ya, aku berbicara kepadamu, kamu sisa keturunan bani Israel; dan inilah perkataan yang aku ucapkan:

2 Ketahuilah kamu bahawa kamu berasal dari bani Israel.

3 Ketahuilah kamu bahawa kamu mesti datang kepada pertaubatan, atau kamu tidak dapat diselamatkan.

4 Ketahuilah kamu bahawa kamu mesti meletakkan senjata peperanganmu, dan janganlah lagi berseronok dengan pertumpahan darah, dan janganlah mengangkatnya lagi, kecuali Tuhan akan memerintahkanmu.

5 Ketahuilah kamu bahawa kamu mesti sampai pada pengetahuan tentang nenek moyangmu, dan bertaubat dari segala dosa dan kederhakaanmu, dan percaya kepada Yesus Kristus, bahawa Dia ialah Putera Tuhan, dan bahawa Dia telah dibunuh oleh bangsa Yahudi, dan dengan kuasa Bapa Dia telah bangkit kembali, yang dengannya Dia telah memperoleh kemenangan ke atas kuburan; dan juga di dalam Dia sengat kematian telah ditelani.

6 Dan Dia mendatangkan kebangkitan orang mati, yang dengannya manusia mesti dibangkitkan untuk berdiri di hadapan kerusi penghakiman-Nya.

7 Dan Dia telah mendatangkan penebusan dunia, yang dengannya dia yang didapati tidak bersalah di hadapan-Nya pada hari penghakiman akan dibenarkan kepadanya untuk tinggal di dalam hadirat Tuhan di dalam kerajaan-Nya, untuk menyanyikan puji-pujian tanpa henti dengan paduan suara di atas, kepada Bapa, dan kepada Putera, dan kepada Roh Kudus, yang merupakan satu Tuhan, di dalam keadaan bahagia yang tidak berakhir.

8 Oleh itu bertaubatlah, dan dibaptiskanlah di dalam nama Yesus, dan berpeganglah kepada Injil Kristus, yang akan dipersiapkan di hadapanmu, bukan sahaja di dalam catatan ini tetapi juga di dalam catatan yang akan sampai kepada bangsa bukan Israel daripada bangsa Yahudi, iaitu catatan yang akan datang daripada bangsa bukan Israel kepadamu.

9 Kerana lihatlah, ini dituliskan untuk tujuan agar kamu boleh mempercayainya; dan jika kamu mempercayai itu kamu akan mempercayai ini juga; dan jika kamu mempercayai ini kamu akan tahu tentang nenek moyangmu, dan juga pekerjaan yang menakjubkan yang dilakukan melalui kuasa Tuhan di kalangan mereka.

10 Dan kamu juga akan mengetahui bahawa kamu ialah keturunan Yakub yang selebihnya; oleh itu kamu dihitung di kalangan umatnya dari perjanjian pertama; dan jika demikian halnya bahawa kamu percaya kepada Kristus, dan dibaptiskan, terlebih dahulu dengan air, kemudian dengan api dan dengan Roh Kudus, mengikuti teladan Juruselamat kita, menurut apa yang telah Dia perintahkan kepada kita, kamu akan selamat pada hari penghakiman. Amin.