Kitab Suci
Mosia 4


Bab 4

Raja Benyamin meneruskan titah ucapannya—Keselamatan datang kerana Korban Tebusan—Percayalah kepada Tuhan supaya diselamatkan—Kekalkanlah pengampunan dosa-dosamu melalui kesetiaan—Berikanlah harta kekayaanmu kepada yang miskin—Lakukanlah segala hal menurut kebijaksanaan dan ketertiban. Kira-kira 124 tahun S.M.

1 Dan sekarang, terjadilah bahawa ketika raja Benyamin telah mengakhiri mengucapkan kata-kata yang telah disampaikan kepadanya oleh seorang malaikat Tuhan, bahawa dia mengarahkan matanya ke sekitar khalayak ramai, dan melihat mereka telah jatuh ke tanah, kerana rasa takut akan Tuhan telah datang ke atas diri mereka.

2 Dan mereka telah melihat diri mereka dalam keadaan badaniah mereka sendiri, bahkan lebih rendah daripada debu bumi. Dan mereka semua berseru nyaring dengan satu suara, mengatakan: Ya berbelas kasihanlah, dan kenakanlah darah korban tebusan Kristus agar kami boleh menerima pengampunan dosa-dosa kami, dan hati kami boleh dimurnikan; kerana kami percaya kepada Yesus Kristus, Putera Tuhan, yang menciptakan langit dan bumi, dan segala sesuatu; yang akan turun ke kalangan anak-anak manusia.

3 Dan terjadilah bahawa setelah mereka mengucapkan kata-kata ini Roh Tuhan datang ke atas diri mereka, dan mereka dipenuhi dengan kebahagiaan, setelah menerima pengampunan dosa-dosa mereka, dan memperoleh kedamaian hati nurani, kerana iman yang amat besar yang mereka punyai kepada Yesus Kristus yang akan datang, menurut kata-kata yang telah raja Benyamin ucapkan kepada mereka.

4 Dan raja Benyamin kembali membuka mulutnya dan mulai berbicara kepada mereka, mengatakan: Teman-temanku dan saudara-saudaraku, kaumku dan rakyatku, aku mahu lagi meminta perhatianmu, agar kamu boleh mendengar dan memahami sisa kata-kataku yang akan aku ucapkan kepadamu.

5 Kerana lihatlah, jika pengetahuan tentang kebaikan Tuhan pada waktu ini telah membangunkanmu pada suatu pemahaman akan ketidakpentinganmu, dan keadaanmu yang tak berharga dan terjatuh—

6 Aku berkata kepadamu, jika kamu telah sampai pada suatu pengetahuan tentang kebaikan Tuhan, dan kuasa-Nya yang tiada bandingnya, dan kebijaksanaan-Nya, dan kesabaran-Nya, dan kepanjangsabaran-Nya terhadap anak-anak manusia; dan juga, korban tebusan yang telah dipersiapkan sejak pengasasan dunia, agar dengan demikian keselamatan boleh datang kepada dia yang akan menaruh kepercayaannya kepada Tuhan, dan akan tekun dalam mentaati perintah-perintah-Nya, dan berterus dalam iman bahkan sampai akhir kehidupannya, aku maksudkan kehidupan tubuh fana—

7 Aku berkata, bahawa inilah orang yang menerima penyelamatan, melalui korban tebusan yang dipersiapkan sejak pengasasan dunia bagi seluruh umat manusia, yang pernah ada sejak kejatuhan Adam, atau yang sekarang ada, atau yang akan pernah ada, bahkan sampai akhir dunia.

8 Dan inilah cara yang melaluinya keselamatan datang. Dan tidak ada keselamatan lain kecuali ini yang telah dibicarakan; tidak juga ada syarat apa pun yang melaluinya manusia dapat diselamatkan kecuali syarat-syarat yang telah aku beritahukan kepadamu.

9 Percayalah kepada Tuhan; percayalah bahawa Dia ada, dan bahawa Dia menciptakan segalanya, baik di langit mahupun di bumi; percayalah bahawa Dia memiliki segala kebijaksanaan, dan segala kuasa, baik di langit mahupun di bumi; percayalah bahawa manusia tidak memahami segala hal yang dapat Tuhan fahami.

10 Dan lagi, percayalah bahawa kamu mesti bertaubat atas dosa-dosamu dan meninggalkannya, dan rendahkanlah hatimu di hadapan Tuhan; dan mintalah dalam ketulusan hati agar Dia akan mengampunimu; dan sekarang, jika kamu mempercayai segala hal ini pastikanlah bahawa kamu melakukannya.

11 Dan lagi aku berkata kepadamu seperti yang telah aku katakan sebelum ini, bahawa jika kamu telah sampai pada pengetahuan tentang kemuliaan Tuhan, atau jika kamu telah mengenal tentang kebaikan-Nya dan telah merasai kasih-Nya, dan telah menerima pengampunan dosa-dosamu, yang menyebabkan kebahagiaan yang sedemikian besarnya dalam jiwamu, walaupun demikian aku menghendaki agar kamu patut ingat, dan selalu kekalkannya dalam ingatan, keagungan Tuhan, dan ketidakpentinganmu sendiri, dan kebaikan dan panjang sabar-Nya terhadapmu, makhluk yang tidak layak, dan merendahkan hatimu bahkan dalam kedalaman kerendahan hati, memanggil nama Tuhan setiap hari, dan berdiri dengan tabah dalam iman tentang apa yang akan datang, yang diucapkan oleh mulut malaikat.

12 Dan lihatlah, aku berkata kepadamu bahawa jika kamu melakukan ini kamu akan selalu bersukacita, dan dipenuhi dengan kasih Tuhan, dan selalu mengekalkan pengampunan dosa-dosamu; dan kamu akan membesar dalam pengetahuan tentang kemuliaan Dia yang menciptakanmu, atau dalam pengetahuan tentang apa yang tepat dan benar.

13 Dan kamu tidak akan memiliki fikiran untuk saling mencederai, tetapi untuk hidup dengan damai, dan untuk memberikan kepada setiap orang menurut apa yang adalah haknya.

14 Dan kamu tidak akan membiarkan anak-anakmu bahawa mereka lapar, atau telanjang; tidak juga akan kamu biarkan bahawa mereka melanggar hukum-hukum Tuhan, dan berkelahi dan bertengkar satu sama lain, dan melayani iblis, yang adalah sarjana dosa, atau yang adalah roh jahat yang telah dibicarakan oleh nenek moyang kita, dia yang adalah musuh kepada segala kebenaran.

15 Tetapi kamu akan mengajar mereka untuk berjalan di jalan kebenaran dan kesungguhan; kamu akan mengajar mereka untuk saling mengasihi, dan untuk saling melayani.

16 Dan juga, kamu sendiri akan menyokong mereka yang memerlukan bantuanmu; kamu akan memberikan harta kekayaanmu kepada dia yang memerlukan bantuan; dan kamu tidak akan membiarkan bahawa pengemis membuat permohonan kepadamu dengan sia-sia, dan mengusirnya untuk binasa.

17 Barangkali engkau akan berkata: Orang itu telah membawa ke atas dirinya sendiri kegetirannya; oleh kerana itu aku akan menahan tanganku, dan tidak akan memberi kepadanya daripada makananku, tidak juga memberikan kepadanya daripada harta kekayaanku agar dia boleh tidak menderita, kerana hukumannya adalah adil—

18 Tetapi aku berkata kepadamu, Wahai manusia, barang siapa melakukan ini orang yang sama itu mempunyai alasan besar untuk bertaubat; dan kecuali dia bertaubat akan apa yang telah dia lakukan dia binasa selamanya, dan tidak mempunyai bahagian di dalam kerajaan Tuhan.

19 Kerana lihatlah, bukankah kita semua pengemis? Tidakkah kita semua bergantung kepada Makhluk yang sama, bahkan Tuhan, untuk semua harta kekayaan yang kita miliki, untuk makanan mahupun pakaian, dan untuk emas, dan untuk perak, dan untuk semua kekayaan yang kita miliki daripada setiap jenis?

20 Dan lihatlah, bahkan pada waktu ini, kamu telah memanggil nama-Nya, dan merayu memohon pengampunan dosa-dosamu. Dan adakah Dia membiarkan bahawa kamu memohon dengan sia-sia? Tidak; Dia telah mencurahkan Roh-Nya ke atas dirimu, dan telah menyebabkan bahawa hatimu akan dipenuhi dengan kebahagiaan, dan telah menyebabkan bahawa mulutmu akan terkatup sehingga kamu tidak dapat bercakap, sedemikian amat besarnya kebahagiaanmu.

21 Dan sekarang, jika Tuhan, yang telah menciptakanmu, yang kepada-Nya kamu bergantung untuk kehidupanmu dan untuk segala yang kamu miliki dan dirimu, memberikan kepadamu apa pun yang kamu minta yang benar, dalam iman, percaya bahawa kamu akan menerima, Ya maka, betapa kamu seharusnya memberikan harta kekayaan yang kamu miliki seorang kepada yang lain.

22 Dan jika kamu menghakimi orang yang membuat permohonan kepadamu untuk harta kekayaanmu agar dia tidak binasa, dan mengutuknya, seberapa lebih adil akan jadinya kutukanmu kerana menahan harta kekayaanmu, yang bukan kepunyaanmu tetapi kepunyaan Tuhan, yang oleh-Nya hidupmu dimiliki; namun kamu tidak membuat permohonan, atau bertaubat akan apa yang telah engkau lakukan.

23 Aku berkata kepadamu, celakalah bagi orang itu, kerana harta kekayaannya akan musnah bersamanya; dan sekarang, aku mengatakan hal-hal ini kepada mereka yang kaya berkaitan dengan apa yang daripada dunia ini.

24 Dan lagi, aku berkata kepada yang miskin, kamu yang tidak memiliki namun memiliki cukup, sehingga kamu tetap dari hari ke hari; aku maksudkan kamu semua yang menolak pengemis, kerana kamu tidak memiliki; aku menghendaki bahawa kamu berkata dalam hatimu bahawa: Aku tidak memberi kerana aku tidak memiliki, tetapi jika aku memiliki aku akan memberi.

25 Dan sekarang, jika kamu mengatakan ini dalam hatimu kamu tetap tak bersalah, jika tidak kamu akan dihukum; dan penghukumanmu adalah adil kerana kamu mendambakan apa yang tidak kamu terima.

26 Dan sekarang, demi kepentingan hal-hal ini yang telah aku ucapkan kepadamu—iaitu, demi mengekalkan pengampunan dosa-dosamu dari hari ke hari, agar kamu boleh berjalan tak bersalah di hadapan Tuhan—aku menghendaki agar kamu patut memberikan harta kekayaanmu kepada yang miskin, setiap orang menurut apa yang dia miliki, seperti memberi makan kepada yang lapar, memberi pakaian kepada yang telanjang, mengunjungi yang sakit dan memberi bantuan bagi kelegaan mereka, baik secara rohani mahupun secara duniawi, menurut kemahuan mereka.

27 Dan pastikanlah bahawa segala hal ini dilakukan menurut kebijaksanaan dan ketertiban; kerana tidaklah perlu bahawa seseorang hendaknya berlari lebih cepat daripada kekuatan yang dia miliki. Dan lagi, adalah perlu bahawa dia hendaknya tekun, agar dengan demikian dia boleh memenangkan hadiahnya; oleh kerana itu, segala hal mestilah dilakukan menurut tertib.

28 Dan aku menghendaki agar kamu mesti ingat, bahawa barang siapa di antara kamu meminjam daripada jirannya mestilah dia mengembalikan apa yang dia pinjam, menurut seperti yang dia setujui, kalau tidak engkau akan berbuat dosa; dan barangkali engkau akan menyebabkan jiranmu berbuat dosa juga.

29 Dan akhirnya, aku tidak dapat memberitahu kamu segalanya yang dengannya kamu boleh berbuat dosa; kerana ada pelbagai jalan dan cara, bahkan sedemikian banyaknya sehingga aku tidak dapat menghitungnya.

30 Tetapi sebanyak ini aku dapat memberitahu kamu, bahawa jika kamu tidak menjaga dirimu, dan fikiranmu, dan perkataan-perkataanmu, dan perbuatanmu, dan mematuhi perintah-perintah Tuhan, dan berterusan dalam iman tentang apa yang telah kamu dengar berkenaan kedatangan Tuhan kita, bahkan sampai akhir hidupmu, kamu mestilah binasa. Dan sekarang, Wahai manusia, ingatlah, dan janganlah binasa.