Tatacara dan Perisytiharan
Perisytiharan Pemulihan


Pemulihan Kegenapan Injil Yesus Kristus

Perisytiharan Ulang Tahun Kedua Ratus kepada Dunia

Perisytiharan ini dibaca oleh Presiden Russell M. Nelson sebagai bahagian dari pesanannya di Persidangan Umum Tahunan ke-190, 5 April 2020 di Salt Lake City, Utah.

Kami sesungguhnya mengisytiharkan bahawa Tuhan Bapa mengasihi anak-anak-Nya dalam setiap bangsa di dunia ini. Tuhan Bapa telah memberikan kita kelahiran ilahi, kehidupan yang tiada bandingannya, dan korban tebusan yang tidak terhingga oleh Putera-Nya Yang Dikasihi, Yesus Kristus. Dengan kuasa Bapa, Yesus telah bangkit kembali dan memperoleh kemenangan atas kematian. Dia ialah Juruselamat kita, Teladan kita, dan Penebus kita.

Dua ratus tahun yang lalu, di waktu pagi musim bunga pada tahun 1820, Joseph Smith yang masih muda, ingin mengetahui gereja manakah yang harus diikuti, telah pergi ke dalam hutan untuk berdoa berdekatan dengan rumahnya di bahagian utara New York, Amerika Syarikat. Dia mempunyai persoalan tentang keselamatan jiwanya dan percaya bahawa Tuhan akan membimbingnya.

Dengan rendah hati, kami mengisytiharkan bahawa sebagai jawapan kepada doanya, Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus, telah muncul kepada Joseph dan memulakan “pemulihan segala sesuatu”(Kisah Rasul-Rasul 3:21) seperti yang dinubuatkan dalam Alkitab. Dalam penglihatan itu, dia mempelajari bahawa selepas kematian para Rasul yang asal, Gereja Perjanjian Baru Kristus telah hilang dari muka bumi. Joseph akan menjadi alat dalam mengembalikannya.

Kami mengesahkan bahawa di bawah bimbingan Bapa dan Putera, para utusan syurgawi telah datang untuk mengarahkan Joseph dan menubuhkan semula Gereja Yesus Kristus. Yohanes Pembaptis yang sudah bangkit telah memulihkan wewenang untuk membaptis melalui pencelupan untuk pengampunan dosa-dosa. Tiga daripada dua belas Rasul yang asal–Petrus, Yakobus, dan Yohanes–telah memulihkan kerasulan dan kunci-kunci kuasa keimamatan. Ada yang lain juga telah datang, termasuklah Elia, yang telah memulihkan hak kuasa untuk menyatukan keluarga bersama selamanya dalam hubungan-hubungan kekal yang melampaui kematian.

Kami seterusnya bersaksi bahawa Joseph Smith telah diberikan kurnia dan kuasa daripada Tuhan untuk menterjemahkan sebuah catatan kuno—Kitab Mormon: Satu Lagi Kesaksian Tentang Yesus Kristus. Halaman-halaman catatan kudus ini mengandungi sebuah laporan mengenai pelayanan peribadi Yesus Kristus di kalangan orang-orang di Hemisfera Barat sejurus selepas Kebangkitan-Nya. Ia mengajarkan tujuan kehidupan dan menjelaskan ajaran Kristus, yang merupakan pusat utama tujuan tersebut. Sebagai sebuah gandingan tulisan suci pada Alkitab, Kitab Mormon bersaksi bahawa semua umat manusia ialah putera dan puteri bagi seorang Bapa Di Syurga yang penyayang, bahawa Dia mempunyai rancangan ilahi bagi kehidupan kita, dan bahawa Putera-Nya, Yesus Kristus, berbicara hari ini seperti di zaman dahulu.

Kami mengisytiharkan bahawa Gereja Yesus Kristus Dari Orang Suci Zaman Akhir, yang telah diorganisasikan pada 6 April 1830, adalah Gereja Perjanjian Baru Kristus yang telah dipulihkan. Gereja ini ditambatkan pada kehidupan sempurna batu penjurunya, Yesus Kristus, dan dalam Korban Tebusan-Nya yang tidak terhingga dan kebangkitan-Nya yang nyata. Yesus Kristus sekali lagi telah memanggil para Rasul dan memberikan kepada mereka kuasa keimamatan. Dia menjemput kita semua untuk datang kepada Dia dan Gereja-Nya, untuk menerima Roh Kudus, tatacara-tatacara keselamatan, dan mendapatkan kebahagiaan yang berterusan.

Dua ratus tahun telah berlalu sejak Pemulihan ini dimulakan oleh Tuhan Bapa dan Putera-Nya Yang Dikasihi, Yesus Kristus. Berjuta orang di dunia ini telah menerima pengetahuan tentang kejadian-kejadian yang telah dinubuatkan ini.

Kami dengan gembiranya mengisytiharkan bahawa Pemulihan yang telah dijanjikan ini akan terus maju melalui wahyu yang berterusan. Bumi tidak akan pernah sama lagi, kerana Tuhan akan “menyatukan segala sesuatu dengan Kristus” (Efesus 1:10).

Dengan penuh takzim dan kesyukuran, kami sebagai Para Rasul-Nya mengundang semua untuk mengetahui—seperti kami juga tahu—bahawa syurga itu terbuka. Kami mengesahkan bahawa Tuhan sedang memberitahu kehendak-Nya kepada para putera dan puteri-Nya yang dikasihi. Kami bersaksi bahawa mereka yang mengkaji pesanan Pemulihan dengan penuh doa dan bertindak dengan iman akan diberkati untuk memperoleh kesaksian mereka sendiri tentang ketuhanan dan matlamatnya untuk menyediakan dunia bagi Kedatangan Kedua Tuhan dan Juruselamat kita Yesus Kristus.