Persidangan Umum
Kuasa Firman Tuhan
Persidangan umum Oktober 2022


Kuasa Firman Tuhan

Terdapat kuasa dalam kata-kata para nabi zaman dahulu dan moden kerana kata-kata mereka sebenarnya adalah firman Tuhan.

Dalam Kitab Mormon, kita baca tentang keputusan penting yang dibuat oleh nabi Alma dalam ayat suci yang disukai ramai. Sebelum mengkaji semula kata-kata itu, sila pertimbangkan keadaan susah di mana keputusan itu telah dibuat.

Satu puak orang, memanggil diri mereka orang Zoram, telah berpisah daripada bangsa Nefi1 dan berkumpul di sempadan negeri berdekatan dengan bangsa Laman.2 Bangsa Nefi baru saja kalahkan bangsa Laman di mana puluhan ribu terbunuh dalam pertempuran,3 dan mereka “berasa teramat takut bahawa orang Zoram akan menjalin persahabatan dengan bangsa Laman, dan bahawa itu akan menjadi cara kerugian besar.”4 Di luar hal-hal berkenaan peperangan, Alma telah pelajari bahawa orang Zoram, yang “firman Tuhan telah pun dikhutbahkan kepada mereka,”5 berpaling kepada penyembahan berhala dan “menyimpangkan jalan Tuhan.”6 Semua ini membebani Alma dan “hatinya menjadi amat berdukacita.”7

Mendapati dirinya dalam keadaan yang rumit dan mencabar ini, Alma merenungkan apa yang harus dilakukan. Dalam keputusannya, kita membaca kata-kata yang dicatatkan untuk mengilhami dan mengarah kita semasa kita mengemudi keadaan yang rumit dan mencabar pada zaman kita.8

“Dan sekarang, sebagaimana kerana pengkhutbahan firman mempunyai kecenderungan besar untuk menuntun umat itu untuk melakukan apa yang adil—ya, itu telah mempunyai kesan yang lebih kuat pada fikiran orang daripada pedang, atau apa-apa pun yang lain, yang telah terjadi kepada mereka—oleh itu Alma berfikir adalah arif bahawa mereka patut menguji kuasa firman Tuhan.”9

Antara banyak penyelesaian, iman Alma mendorong mereka untuk bergantung pada kuasa firman. Tidaklah kebetulan bahawa beberapa khutbah yang sangat berkuasa dalam tulisan suci dikhutbahkan serta-merta selepas keputusan itu. Dalam Alma bab 32 dan 33 kita membaca khutbah hebat tentang iman kepada Tuhan Yesus Kristus, dan di bab 34, kita menemui ajaran penting Amulek tentang Korban Tebusan Yesus Kristus.

Ilustrasi Kuasa Firman Tuhan

Sesungguhnya, sepanjang tulisan suci kita baca tentang berkat-berkat ajaib yang dicurahkan ke atas mereka yang memilih untuk menguji kuasa firman Tuhan dalam hidup mereka.10 Saya menjemput anda untuk renungkan tiga contoh bersama saya semasa kita berpaling fokus kepada Kitab Mormon—sebuah buku yang Presiden Russell M. Nelson gambarkan sebagai “panduan hidup zaman akhir kita.”11

Pertama, mengingatkan rakyatnya bagaimana Tuhan membebaskan bapa-bapa mereka, Alma mengajarkan: “Lihatlah, Dia mengubahkan hati mereka; ya, Dia membangunkan mereka dari tidur yang nyenyak, dan mereka terbangun kepada Tuhan. Lihatlah, mereka berada di tengah-tengah kegelapan; walaupun demikian, jiwa mereka diterangi oleh cahaya firman yang berkekalan.”12 Anda mungkin berasa seolah-olah berada di tengah-tengah kegelapan. Adakah jiwa anda mengharapkan bimbingan rohani? Jika demikian, sila cuba kuasa firman Tuhan.

Kedua, renungkan penukaran hati bangsa Laman, yang dia saksikan sebagai seorang misionari, Amon berkata, “Lihatlah, berapa ribu daripada saudara-saudara kita telah Dia lepaskan daripada kesakitan neraka; dan mereka dibawa untuk menyanyikan kasih penebusan, dan ini kerana kuasa firman Nya yang ada dalam diri kita.13 Saudara dan saudari, ramai di antara kita inginkan seseorang yang kita kasihi dibawa untuk menyanyikan kasih penebusan. Marilah kita ingat untuk menguji kuasa firman Tuhan, yang ada dalam diri kita.

Ketiga, dalam kitab Helaman kita baca, “Ya, kita melihat bahawa sesiapa pun yang mahu berpegang kepada firman Tuhan, yang hidup dan penuh kuasa, yang akan memecah belahkan segala kelicikan dan jerat dan tipu muslihat iblis, dan menuntun lelaki [dan perempuan] Kristus pada jalan yang kecil dan sempit menyeberangi jurang kegetiran yang abadi itu … dan mendaratkan jiwa mereka … di sebelah tangan kanan Tuhan di dalam kerajaan syurga.”14 Adakah anda ingin memutus semua kelicikan dan jerat dan tipu muslihat iblis yang begitu berleluasa dalam falsafah zaman kita? Adakah anda berhasrat untuk menyelerakkan awan kekeliruan yang disebabkan oleh maklumat berlebihan supaya lebih berfokus pada jalan perjanjian? Sila cuba kuasa firman Tuhan.

Sebagai seorang yang telah diubah oleh kuasa firman, saya secara peribadi bersaksi tentang kebenaran ini yang diajar dengan indah oleh nabi terkasih kita, Presiden Russell M. Nelson: “Bagi saya, kuasa Kitab Mormon adalah paling jelas dalam perubahan hebat yang datang ke dalam kehidupan mereka yang membacanya ‘dengan hati yang tulus, dengan maksud yang bersungguh-sungguh, memiliki iman kepada Kristus.’ Banyak penganut baru meninggalkan banyak perkara yang mereka percayai sebelum ini untuk mematuhi ajaran-ajaran kitab itu. … Ia akan menjadi alat yang paling berkesan anda dalam membawa jiwa-jiwa kepada Yesus Kristus.”15

Sumber Kuasa

Dalam ilustrasi ini dan yang lain, kita menyaksikan kuasa firman Tuhan dalam kehidupan anak-anak-Nya. Kita mungkin tertanya, apakah sumber kuasa itu?

Semasa kita mempertimbangkan soalan ini, ia penting untuk mengingati bahawa frasa “firman,” seperti yang digunakan dalam tulisan suci, ada sekurang-kurangnya dua maksud. Elder David A. Bednar baru-baru ini ajarkan bahawa “salah satu nama Yesus Kristus adalah ‘Firman’” dan “ajaran-ajaran Juruselamat, seperti yang dicatatkan dalam tulisan suci yang kudus, juga adalah ‘firman.’”16

Nabi Nefi menggambarkan hubungan antara dua maksud ini apabila dia menulis: “Dengarlah perkataan-perkataan ini dan percayalah kepada Kristus; dan jika kamu tidak percaya pada perkataan-perkataan ini percayalah kepada Kristus. Dan jika kamu akan percaya kepada Kristus kamu akan percaya pada perkataan-perkataan ini, kerana ini adalah firman Kristus, dan Dia telah memberikannya kepadaku.”17 Demikianlah kita pelajari bahawa terdapat kuasa dalam kata-kata para nabi zaman dahulu dan moden kerana kata-kata mereka sebenarnya adalah firman Tuhan.18 Kawan-kawan saya yang dikasihi, menerima kebenaran abadi ini adalah penting untuk kelangsungan rohani kita pada zaman akhir19 seperti yang dinubuatkan, “Orang akan lapar, tetapi tidak lapar akan makanan. Orang akan dahaga, tetapi tidak dahaga akan air. Mereka lapar dan dahaga akan perkhabaran daripada Tuhan.20

Akhirnya, kuasa firman Tuhan adalah Tuhan Yesus Kristus.21 Apabila kita memahami ini dengan lebih sepenuhnya, kita boleh membuat perhubungan yang ketara antara peranan nabi-nabi-Nya dan Penebus Sendiri. Kasih kita, keinginan kita untuk mendekati Dia dan untuk tinggal dalam kasih-Nya22 akan mendorong kita untuk menguji kuasa firman dalam kehidupan kita—kedua-dua kuasa datang daripada-Nya sebagai Juruselamat dan Penebus peribadi kita23 dan kuasa yang mengalir daripada-Nya melalui kata-kata “bejana-bejana Tuhan yang terpilih.”24 Kita akan membezakan bahawa, sebagaimana sumber-sumber lain membantu dalam pembelajaran kita tentang Juruselamat dan kata-kata para nabi-Nya, sumber lain tu tidak harus menjadi pengganti bagi mereka. Kita mesti minum secara mendalam dan kerap,25 terus dari sumber.26

Saya mengungkapkan kasih saya kepada setiap anda, saudara dan saudari sekalian. Dengan kasih itu, saya memohon anda untuk mengalami kuasa firman Tuhan, terutamanya melalui Kitab Mormon, setiap hari dalam hidup anda. Demikianlah anda akan mengalami janjian kenabian ini daripada Presiden Russell M. Nelson: “Saya janji semasa anda mengkaji Kitab Mormon setiap hari, anda akan buat pilihan yang lebih baik—setiap hari. Saya janji apabila anda merenungkan perkara yang anda kaji, tingkap syurga akan buka, dan anda akan menerima jawapan kepada soalan dan arahan untuk hidup anda. Saya berjanji apabila anda benar-benar mengkaji Kitab Mormon setiap hari, anda boleh diimunisasi terhadap kejahatan hari ini.”27

Saya bersaksi bahawa Bapa Syurgawi telah berikan kita firman kerana Dia kasihi kita dengan sempurna dan ingin kita pulang ke rumah untuk hidup bersama-Nya selamanya. Saya bersaksi tentang “Firman … menjadi manusia,”28 bahkan Yesus Kristus, dan kuasa-Nya untuk menyelamatkan dan untuk menebus kita. Saya tahu kuasa-Nya mengalir melalui kata-kata para nabi-Nya, baik dahulu mahupun sekarang.

Ia adalah doa hati saya agar kita boleh memiliki kebijaksanaan dan kelembutan hati untuk memegang kuat29 kepada firman Tuhan dan kekal pada jalan perjanjian yang menuju ke permuliaan dan kehidupan abadi.30 Semoga kita sentiasa mengalami perubahan hebat yang tersedia bagi setiap kita melalui kuasa Firman.31 Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat Alma 30:59.

  2. Lihat Alma 31:3.

  3. Lihat Alma 28:2.

  4. Alma 31:4. Sila perhatikan bahawa Alma dan umatnya sebelum ini mengalami “persahabatan” di antara bangsa Amlisi dan bangsa Laman, yang membawa kepada kesedihan dan kerugian yang besar (lihat Alma 2:21–38; Alma 3:1–3).

  5. Alma 31:8.

  6. Alma 31:1.

  7. Alma 31:2.

  8. Lihat Mormon 8:34–35.

  9. Alma 31:5; penekanan ditambah.

  10. Lihat, contohnya, 1 Nefi 15:24; Alma 32:41–43; 36:26; 37:8, 44–45.

  11. Russell M. Nelson, “Mendakap Masa Depan dengan Iman,” Liahona, Mei 2020, 75.

  12. Alma 5:7; penekanan ditambah.

  13. Alma 26:13; penekanan ditambah.

  14. Helaman 3:29–30; penekanan ditambah.

  15. Russell M. Nelson, “The Book of Mormon: A Miraculous Miracle,” (ucapan diberi dalam seminar bagi pemimpin misi baru, 23 Jun 2016), memetik sebahagian Moroni 10:4.

  16. David A. Bednar, “Tetapi Kami Tidak Menghiraukan Mereka,”, Liahona, Mei 2022, 16.

  17. 2 Nefi 33:10, penekanan ditambah.

  18. Lihat Ajaran dan Perjanjian 1:38.

  19. Lihat Ajaran dan Perjanjian 1:14–18.

  20. Amos 8:11.

  21. Lihat Alma 34:6.

  22. Lihat Yohanes 15:10.

  23. Lihat Markus 5:25–34.

  24. Moroni 7:31.

  25. “Terdapat cara yang lebih baik untuk bersedia, kerana iman besar bertahan hanya sebentar. Kita boleh membuat keputusan untuk terus mengkaji firman Kristus dalam tulisan suci dan ajaran-ajaran para nabi hidup. Inilah yang saya akan lakukan. Saya akan mengkaji Kitab Mormon sekali lagi dan merenungkan secara mendalam dan kerap” (Henry B. Eyring, “Spiritual Preparedness: Start Early and Be Steady,” Liahona, Nov. 2005, 39).

  26. “Bagi saya, pembacaan tulisan suci bukan pengejaran pendidikan. Sebaliknya, ia adalah urusan kasih sayang dengan firman Tuhan dan daripada para nabi-Nya. …

    “Saya tidak terlalu bimbang tentang membaca jilid ulasan yang panjang yang direka untuk memperbesar dengan panjang lebar mengenai apa yang terdapat dalam tulisan suci. Sebaliknya, saya lebih suka memikirkan sumbernya, merasai air yang tidak berubah tentang asas kebenaran—firman Tuhan semasa dia memberikannya dan seperti yang telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang kita terima sebagai tulisan suci. Melalui pembacaan tulisan suci, kita dapat memperoleh jaminan Roh bahawa apa yang kita baca telah datang daripada Tuhan untuk penerangan, berkat, dan kebahagiaan anak-anak-Nya” (Gordon B. Hinckley, “Feasting upon the Scriptures,” Tambuli, Jun 1986, 2, 4).

  27. Lihat Russell M. Nelson, “Kitab Mormon: Apa Akan Terjadi Kepada Hidup Anda Tanpa Ia?,” Liahona, Nov. 2017, 62–63.

  28. Yohanes 1:14.

  29. Lihat 1 Nefi 8:30.

  30. “Jalan perjanjian adalah satu-satunya jalan yang membawa kepada permuliaan dan kehidupan abadi” (Russell M. Nelson, “Kuasa Momentum Rohani,” Liahona, Mei 2022, 98).

  31. Lihat Alma 5:11–13.