2023
Keluarga Adalah Abadi
Januari 2023


“Keluarga Adalah Abadi,” Liahona, Jan. 2023.

Pesanan Bulanan Liahona, Januari 2023

Keluarga Adalah Abadi

Imej
keluarga tersenyum

Keluarga adalah unit asas masyarakat dan Gereja. Ahli-ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir percaya bahawa keluarga dapat menjadi abadi. Kita berusaha untuk memperkuatkan keluarga kita di bumi. Kita juga beriman bahawa kita boleh menerima berkat keluarga abadi.

Keluarga Tuhan

Semua orang adalah anak rohani kepada ibu bapa syurgawi. Kita semua sebahagian daripada keluarga Tuhan. Kita semua mempunyai sifat ilahi dan takdir ilahi. Jika kita hidup dengan soleh, kita boleh kembali untuk hidup bersama Bapa Syurgawi sebagai sebahagian daripada keluarga-Nya selamanya.

Imej
pasangan yang baru berkahwin di luar bait suci

Gambar perkahwinan oleh Joseph Kaluba

Keluarga Abadi

Apabila seorang lelaki dan seorang wanita berkahwin di bait suci dan mentaati perjanjian mereka, perkahwinan mereka akan kekal selamanya. Tatacara bait suci ini dipanggil pemeteraian. Anak-anak yang dilahirkan selepas ibu bapa mereka dimeteraikan dilahirkan dalam perjanjian itu. Anak-anak yang dilahirkan sebelum ibu bapa mereka dimeteraikan boleh dimeteraikan kepada mereka di bait suci supaya mereka boleh menjadi keluarga selamanya. Ahli-ahli Gereja melakukan sejarah keluarga dan kerja bait suci supaya mereka boleh memeteraikan keluarga mereka bersama melalui semua generasi. Berkat keluarga abadi dimungkinkan kerana Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya.

Perkahwinan

Perkahwinan di antara seorang lelaki dan seorang wanita ditahbiskan oleh Tuhan. Injil Yesus Kristus mengajar suami dan isteri untuk setia kepada satu sama lain dan setia dalam perjanjian perkahwinan mereka. Mereka seharusnya benar dalam fikiran, perkataan, dan perbuatan. Perkahwinan ialah satu perkongsian yang sama rata, dan suami dan isteri harus menggalakkan, menghiburkan dan membantu satu sama lain.

Imej
ibu bapa dengan bayi

Ibu Bapa dan Anak-anak

Tuhan memerintahkan Adam dan Hawa untuk mempunyai anak-anak. Para pemimpin Gereja telah mengajar bahawa perintah ini masih berkuatkuasa. Para ibu dan bapa bekerjasama untuk membesarkan anak-anak dengan kasih dan kesolehan (lihat Ajaran dan Perjanjian 68:25–28). Anak-anak diajar untuk menghormati dan mematuhi ibu bapa mereka (lihat Keluaran 20:12).

Pengajaran dan Pembelajaran

Ibu bapa mengajar anak-anak mereka untuk mengasihi Tuhan dan mematuhi perintah-perintah-Nya. Kehidupan keluarga memberi kita peluang untuk merasa kegembiraan dan belajar kesabaran dan tidak mementingkan diri. Sifat-sifat ini membantu kita menjadi lebih seperti Tuhan dan menyediakan kita untuk hidup bahagia sebagai keluarga selamanya.

Memperkuatkan Keluarga

Ia memerlukan kerja, tekad, dan kesabaran untuk mendirikan sebuah keluarga yang berjaya. Asas-asas injil seperti iman, doa, keampunan, kasih, kerja dan keseronokan yang baik dapat membantu kita mencari kebahagiaan dalam kehidupan keluarga. Kita juga boleh menerima wahyu peribadi untuk mengetahui bagaimana untuk memperkuatkan keluarga kita.

Imej
potret Yesus Kristus

Christ’s Image, oleh Heinrich Hofmann

Berkat-berkat Tersedia untuk Semua

Tidak semua orang berpeluang untuk menjadi sebahagian keluarga yang ideal di bumi ini. Tetapi Tuhan telah berjanji bahawa semua orang yang mematuhi perintah-perintah-Nya akan menerima semua berkat keluarga abadi. Kita boleh percaya kepada-Nya dan beriman pada masa-Nya.