Liahona
Peliharalah Jiwa Anda dengan Doa yang Kerap
April 2024


“Peliharalah Jiwa Anda dengan Doa yang Kerap,” Liahona, Apr. 2024

Pesanan Bulanan Liahona, April 2024

Peliharalah Jiwa Anda dengan Doa yang Kerap

Kita perlukan pemeliharaan rohani berkomunikasi dengan Bapa Syurgawi kita, satu berkat yang sentiasa tersedia untuk kita dan di mana-mana saja.

Imej
Enos berdoa

Foto pelakon yang menggambarkan Enos oleh Matt Reier

Kita semua pernah rasa lapar. Perasaan kelaparan adalah cara tubuh memberitahu kita bahawa ia perlukan pemeliharaan. Dan apabila kita lapar, kita tahu apa yang kita perlu lakukan—makan.

Roh kita juga mempunyai cara untuk memberitahu kita apabila kita perlukan pemeliharaan rohani. Tetapi ia kelihatan seperti kita amat mudah mengabaikan kelaparan rohani daripada kelaparan jasmani.

Sama seperti ada banyak jenis makanan yang kita boleh makan ketika lapar, begitu juga terdapat pelbagai perkara yang kita boleh lakukan untuk memenuhi kelaparan rohani kita. Contohnya, kita boleh “jamui diri dengan firman Kristus” (2 Nefi 32:3) dalam tulisan suci dan melalui kata-kata para nabi. Kita boleh kerap menghadiri gereja dan mengambil sakramen (lihat Ajaran dan Perjanjian 59:9). Kita boleh melayani Tuhan dan anak-anak-Nya (lihat Mosia 2:17).

Tetapi ada satu lagi sumber pemeliharaan rohani yang tersedia bagi kita pada setiap masa, dalam setiap saat kehidupan kita, tidak kira keadaan kita. Kita sentiasa boleh berkomunikasi dengan Bapa Syurgawi melalui doa.

“Jiwaku Lapar”

Semasa nabi Enos memburu binatang di hutan, dia terfikir tentang “kata-kata yang telah sering [dia] dengar ayah [dia] ucapkan berkenaan kehidupan abadi, dan sukacita para orang suci.” Kata-kata ini “meresap jauh ke dalam hati [nya]” (Enos 1:3).

Kerana minda Enos dalam keadaan rohani ini, dia merasakan keperluan yang kuat: “Jiwaku lapar” dia berkata (Enos 1:4, penekanan ditambah).

Apakah yang Enos lakukan ketika dia merasakan kelaparan rohani yang perlukan makanan rohani? “Aku berlutut di hadapan Penciptaku,” dia berkata, “aku berseru kepada-Nya dalam doa yang membara dan permohonan bagi jiwaku sendiri” (Enos 1:4).

Begitu besar kelaparan rohani Enos sehingga dia berdoa “sepanjang hari itu … dan ketika malam hari tiba [dia] masih menaikkan suara[nya] sehingga ia mencapai syurga” (Enos 1:4). Akhirnya, Tuhan menjawab doanya dan mengampuni dosa-dosanya. Enos merasakan rasa bersalahnya disapu bersih. Tetapi pemeliharaan rohaninya tidak berakhir di situ.

Dia belajar tentang kuasa iman kepada Yesus Kristus, dan dia mencurahkan seluruh jiwa-nya bagi pihak bangsa-nya—bahkan musuh-musuh-nya. Dia membuat perjanjian dengan Tuhan dan mendapat janji-janji daripada-Nya. Dan setelah doa Enos yang hebat, dia pergi ke kalangan bangsanya untuk bernubuat dan bersaksi tentang hal-hal yang telah dia dengar dan lihat. (Lihat Enos 1:5–19.)

Tidak semua doa akan dijawab dengan cara yang dramatik, tetapi pengalaman kita dengan doa kita masih bermakna dan mengubah hidup. Kita boleh belajar beberapa pengajaran penting dari pengalaman Enos dengan doa. Contohnya:

  • Berusaha sepenuhnya untuk menjalankan injil dapat membantu kita peka akan kelaparan rohani kita.

  • Kelaparan rohani kita boleh dan harus membawa kita ke lutut kita untuk mencari bantuan Bapa Syurgawi.

  • Berdoa kepada Bapa Syurgawi dapat membantu memuaskan kelaparan rohani kita—dan banyak lagi.

  • Kita boleh berdoa di mana-mana, pada bila-bila masa.

  • Doa boleh membantu kita bertaubat.

  • Doa dapat menguatkan iman kita kepada Yesus Kristus.

  • Kita boleh menerima kesaksian peribadi bahawa Bapa Syurgawi mendengar kita dan peka akan kita.

  • Kesaksian dan kekuatan yang kita terima melalui doa dapat membantu kita untuk melayani dan menguatkan orang lain.

Imej
Elder Soares semasa budak

Pengalaman Saya dengan Kuasa Doa

Seperti Enos, saya belajar beberapa pelajaran yang sama melalui pengalaman peribadi. Ibu bapa saya menyertai Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir semasa saya masih budak, dan saya dibaptiskan ketika saya berumur lapan tahun. Saya selalu ada perasaan yang baik dan hangat dalam hati saya tentang Bapa Syurgawi dan tentang Yesus Kristus, injil-Nya yang dipulihkan, dan Gereja-Nya. Tetapi hanya ketika saya berumur 16 saya mula berdoa tentang kebenaran hal-hal ini.

Uskup saya yang diilhami meminta saya untuk mengajar kelas Sekolah Minggu remaja. Saya sepatutnya mengajar satu pelajaran tentang bagaimana kita boleh memperoleh kesaksian injil melalui doa. Tugasan dari uskup saya ini membuat saya berfikir dengan lebih mendalam tentang kesaksian saya sendiri. Saya telah mengambil masa untuk mengkaji Kitab Mormon dan selalu merasa bahawa Gereja adalah benar. Saya sentiasa percaya kepada Juruselamat Yesus Kristus, tetapi saya tidak pernah memandang berat pada janji Moroni dalam Moroni 10:4–5. Saya tidak pernah berdoa tentang kebenaran injil.

Saya ingat perasaan dalam hati saya bahawa jika saya akan mengajar remaja ini bagaimana untuk memperoleh kesaksian melalui doa, maka saya harus berdoa untuk kesaksian saya sendiri. Jiwa saya lapar—mungkin berbeza dari Enos, tetapi saya masih merasakan keperluan rohani.

Semasa saya menyediakan pelajaran itu, saya berlutut dan mencurah hati kepada Bapa Syurgawi untuk mengesahkan kebenaran yang saya rasakan. Saya tidak mengharapkan pernyataan yang hebat. Tetapi apabila saya bertanya kepada Tuhan jika injil ini adalah benar, perasaan manis datang ke hati saya—suara yang tenang dan lembut mengesahkan bahawa ia adalah benar dan saya harus terus melakukan apa yang saya sedang lakukan.

Perasaan itu sangat kuat sehingga saya tidak dapat mengabaikan jawapan itu dan berkata saya tidak tahu. Saya meluangkan sepanjang hari itu dengan rasa gembira. Minda saya berada di syurga merenungkan perasaan yang indah dalam hati saya.

Hari Ahad berikut, saya berdiri di depan tiga atau empat rakan kelas saya, yang semuanya lebih muda daripada saya. Saya bersaksi kepada mereka bahawa Bapa Syurgawi akan menjawab doa mereka jika mereka beriman.

Imej
Elder Soares

Jawapan doa yang diterima oleh Elder Soares sebagai seorang pemuda telah membenarkannya bersaksi—sebagai misionari (di atas), bapa dan suami, dan Rasul—bahawa Bapa Syurgawi menjawab doa yang ditawarkan dengan iman.

Sejak itu, kesaksian ini telah kekal bersama saya. Ia telah membantu saya membuat keputusan, terutamanya pada saat-saat ketika saya menghadapi cabaran. Doa pada hari itu, serta kesaksian tambahan yang saya terima sepanjang bertahun-tahun ini, telah membolehkan saya bersaksi kepada orang ramai, dengan keyakinan, bahawa mereka boleh mendapatkan jawapan daripada Bapa Syurgawi jika mereka berdoa dengan iman. Ini benar seperti saya telah bersaksi sebagai seorang misionari, sebagai seorang pemimpin Gereja, sebagai seorang bapa dan suami, dan bahkan hari ini sebagai seorang Rasul.

Bila dan Apa yang Didoakan

Sudah tentu, kita tidak berdoa hanya apabila kita merasakan keperluan rohani yang sangat kuat. Jadi, bilakah kita harus berdoa? Dan apakah yang harus kita doakan? Jawapan ringkas adalah pada bila-bila masa dan untuk apa-apa saja.

Tuhan ialah Bapa Syurgawi kita. Mengetahui ini mengubah bagaimana kita berdoa. Nabi Joseph Smith mengajar: “Adanya pengetahuan tentang Tuhan, kita mula tahu bagaimana untuk mendekati-Nya, dan bagaimana meminta untuk menerima jawapan. … Apabila kita bersedia untuk datang kepada-Nya, Dia bersedia untuk datang kepada kita.”1

Bapa Syurgawi kita sentiasa bersedia untuk mendengar dan ingin kita berdoa kepada-Nya dengan kerap. Kita harus “berunding dengan Tuhan dalam segala perbuatan [kita]” (Alma 37:37) dan berdoa pagi, tengah hari, dan malam. Kita harus berdoa di rumah, di tempat kerja, di sekolah—di mana sahaja kita berada dan atas apa-apa usaha kita (lihat Alma 34:17–26).

Kita harus berdoa dalam keluarga kita (lihat 3 Nefi 18:21). Kita harus berdoa “dengan bersuara dan dalam hati [kita], di hadapan umum dan secara peribadi” (Ajaran dan Perjanjian 81:3). Dan apabila [kita] tidak berseru kepada Tuhan, biarlah hati [kita] penuh, tercurah dalam doa kepada-Nya secara berterusan demi kesejahteraan [kita], dan juga demi kesejahteraan mereka yang berada di sekitar [kita]” (Alma 34:27). Dan kita mesti selalu berdoa kepada Bapa dalam nama Yesus Kristus (lihat 3 Nefi 18:19–20).

Imej
Joseph Smith sebagai seorang pemuda

Ilustrasi Joseph Smith oleh Walter Rane, tidak boleh disalin

Mendekati Bapa Syurgawi Kita

Bapa Syurgawi kita ingin memberkati kita. Dan Dia akan [memberkati]—jika kita meminta. Nabi Joseph Smith mengajar, “Ingatlah bahawa tanpa meminta kita tidak dapat menerima apa-apa; oleh kerana itu, mintalah dalam iman, dan kamu akan menerima berkat-berkat seperti yang Tuhan lihat sesuai untuk diberikan ke atas dirimu.”2

Doa-doa kita yang kerap adalah bahagian penting dalam pemakanan makanan rohani yang seimbang bagi jiwa kita yang lapar. Komunikasi dengan Bapa Syurgawi melalui doa sentiasa tersedia dan dialu-alukan di mana-mana.

Salah satu tulisan suci kegemaran saya mengajar bagaimana kita harus mendekati Bapa Syurgawi apabila kita berlutut berdoa: “Jadilah engkau rendah hati; dan Tuhan Rajamu akan memimpin tanganmu, dan memberi engkau jawapan kepada doa-doamu” (Ajaran dan Perjanjian 112:10). Apabila kita rendah hati dan patuh, Bapa Syurgawi akan bersama kita. Dia akan memimpin kita dengan tangan. Dia akan mengilhami kita ke mana untuk pergi dan apa yang perlu dilakukan. Dia akan menjawab doa-doa kita menurut kehendak, cara, masa, dan pengetahuan mutlak-Nya tentang apa yang baik bagi kita.

Kita harus ingat ini dan hargai peluang untuk mendekati takhta Tuhan dan menerima berkat dari tangan-Nya.

Nota

  1. Teachings of Presidents of the Church: Joseph Smith (2011), 40, 41.

  2. Teachings: Joseph Smith, 131.