Buku Panduan dan Panggilan
3. Asas-asas Imamat


“3. Asas-asas Imamat,” Buku Panduan Umum: Melayani dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir (2020).

“3. Asas-asas Imamat,” Buku Panduan Umum.

Imej
remaja putera menerima berkat imamat

3.

Asas-asas Imamat

3.0

Pengenalan

Imamat adalah wewenang dan kuasa Tuhan. Ia sentiasa wujud dan akan terus wujud tanpa akhir (lihat Alma 13:7–8; Ajaran dan Perjanjian 84:17–18). Melalui imamat, Bapa Syurgawi melaksanakan pekerjaan-Nya “untuk mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia” (Musa 1:39). Tuhan memberikan wewenang dan kuasa kepada putera dan puteri-Nya di bumi untuk membantu menjalankan pekerjaan ini (lihat bab 1).

3.1

Pemulihan Imamat

Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir adalah satu-satunya organisasi di bumi yang memiliki wewenang imamat. Nabi Joseph Smith telah menerima Imamat Harun dan kunci-kuncinya dari Yohanes Pembaptis (lihat Ajaran dan Perjanjian 13:1). Dia menerima Imamat Melkisedek dan kunci-kunci daripada Rasul Petrus, Yakobus, dan Yohanes (lihat Ajaran dan Perjanjian 27:12–13).

Di Bait Suci Kirtland, Musa, Elias, dan Elia menunjukkan diri kepada Joseph Smith dan menganugerahkan wewenang lanjut yang diperlukan untuk melaksanakan pekerjaan Tuhan pada zaman akhir (lihat Ajaran dan Perjanjian 110:11–16).

  • Musa menganugerahkan kunci-kunci pengumpulan Israel (lihat Panduan Tulisan Suci, “Israel”).

  • Elias menganugerahkan kunci-kunci zaman keagamaan injil Abraham. Ini termasuklah pemulihan perjanjian Abraham (lihat Abraham 2:9–11; Panduan Tulisan Suci, “Perjanjian Abraham”).

  • Elia menganugerahkan kunci-kunci pemeteraian (lihat Panduan Tulisan Suci, “Meterai, Pemeteraian”). Kunci-kunci ini menyediakan wewenang yang membolehkan tatacara dilaksanakan di bumi diikat pada kehidupan seterusnya (lihat Ajaran dan Perjanjian 128:9–10).

Setiap ahli Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul memegang semua kunci imamat ini pada zaman ini. Hanya Presiden Gereja, yang merupakan Rasul senior, diberi kuasa untuk menggunakan semua kunci ini. Para pemimpin ini memanggil dan memberi kuasa kepada ahli Gereja yang lain untuk menggunakan wewenang dan kuasa imamat Tuhan untuk membantu dalam pekerjaan penyelamatan dan permuliaan.

Untuk maklumat tentang kunci-kunci imamat, lihat 3.4.1.

3.2

Berkat-berkat Imamat

Melalui perjanjian dan tatacara imamat, Tuhan menjadikan berkat besar tersedia kepada semua anak-Nya. Berkat-berkat ini termasuk:

  • Pembaptisan dan keahlian dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.

  • Kurnia Roh Kudus.

  • Mengambil sakramen.

  • Wewenang dan kuasa untuk melayani dalam panggilan dan tugasan Gereja.

  • Menerima berkat bapa bangsa dan berkat imamat lain seperti penyembuhan, penghiburan, dan bimbingan.

  • Menerima anugerahan kuasa Tuhan dalam bait suci.

  • Dimeteraikan kepada ahli keluarga untuk keabadian.

  • Janji kehidupan abadi.

Anak-anak Tuhan dapat menerima berkat-berkat imamat ini dan mengalami kebahagiaan besar semasa mereka menjalankan injil Yesus Kristus.

3.3

Imamat Melkisedek dan Imamat Harun

Di Gereja, imamat terbahagi kepada dua bahagian: Imamat Melkizedek dan Imamat Harun (lihat Ajaran dan Perjanjian 107:1).

3.3.1

Imamat Melkisedek

Imamat Melkisedek adalah “Imamat Kudus, menurut Tarekat Putera Tuhan” (Ajaran dan Perjanjian 107:3). Ia adalah kuasa melaluinya putera dan puteri Tuhan boleh menjadi seperti-Nya (lihat Ajaran dan Perjanjian 84:19–21; 132:19–20).

“Imamat Melkisedek memegang hak presidensi.” Ia memiliki “kuasa dan wewenang ke atas semua jawatan di dalam gereja di seluruh zaman duniawi, untuk melaksanakan hal-hal yang rohani” (Ajaran dan Perjanjian 107:8). Melalui wewenang inilah, pemimpin Gereja membimbing dan menjalankan semua pekerjaan rohani Gereja (lihat Ajaran dan Perjanjian 107:18). “Semua wewenang atau jawatan lain di dalam gereja adalah tambahan daripada imamat ini” (Ajaran dan Perjanjian 107:5).

Presiden Gereja ialah imam tinggi yang memimpin Imamat Melkisedek (lihat Ajaran dan Perjanjian 107:65–67). Presiden pancang ialah imam tinggi yang memimpin dalam pancang (lihat Ajaran dan Perjanjian 107:8, 10; lihat juga bab 5 dalam buku panduan ini). Uskup ialah imam tinggi yang memimpin dalam bahagian (lihat Ajaran dan Perjanjian 107:17; lihat juga bab 7 dalam buku panduan ini).

Untuk maklumat tentang jawatan dan tanggungjawab Imamat Melkisedek, lihat 8.1.

3.3.2

Imamat Harun

Imamat Harun adalah “tambahan kepada … Imamat Melkisedek” (Ajaran dan Perjanjian 107:14). Ini termasuk kunci-kunci:

  • Pelayanan para malaikat.

  • Injil pertaubatan.

  • Pelayanan tatacara luaran, termasuk pembaptisan untuk pengampunan dosa.

(Lihat Ajaran dan Perjanjian 13:1; 84:26–27; 107:20.)

Uskup adalah presiden bagi Imamat Harun dalam bahagian (lihat Ajaran dan Perjanjian 107:15).

Untuk maklumat tentang jawatan dan tanggungjawab Imamat Harun, lihat 10.1.3.

3.4

Wewenang Imamat

Kuasa imamat adalah wewenang untuk mewakili Tuhan dan bertindak atas nama-Nya. Di Gereja, semua wewenang imamat dilaksanakan di bawah arahan mereka yang memegang kunci-kunci imamat.

Ahli lelaki Gereja yang layak menerima wewenang imamat melalui penganugerahan dan pentahbisan imamat ke jawatan imamat. Semua ahli Gereja dapat menggunakan kuasa yang diagihkan itu ketika mereka ditetapkan atau ditugaskan untuk membantu melaksanakan pekerjaan Tuhan. Ahli-ahli bertanggungjawab kepada Tuhan dan kepada mereka yang Dia telah lantik untuk memimpin tentang bagaimana mereka menjalankan wewenang-Nya (lihat 3.4.4).

3.4.1

Kunci-kunci Imamat

Kunci-kunci imamat adalah wewenang untuk mengarahkan penggunaan imamat bagi pihak anak-anak Tuhan. Penggunaan semua wewenang imamat dalam Gereja diarahkan oleh mereka yang memegang kunci-kunci imamat (lihat Ajaran dan Perjanjian 65:2).

3.4.1.1

Mereka yang Memegang Kunci-kunci Imamat

Yesus Kristus memegang semua kunci imamat. Di bawah arahan-Nya, kunci-kunci imamat diberikan kepada para lelaki untuk digunakan dalam panggilan khusus bagi melaksanakan pekerjaan Tuhan, seperti yang dijelaskan di bawah.

Tuhan telah menganugerahkan setiap Rasul-Nya semua kunci yang berkaitan dengan kerajaan Tuhan di bumi. Rasul hidup yang senior, Presiden Gereja, adalah satu-satunya orang di bumi yang diberi kuasa untuk menggunakan semua kunci imamat itu (lihat Ajaran dan Perjanjian 81:1–2; 107:64–67, 91–92; 132:7).

Di bawah arahan Presiden Gereja, pemimpin imamat diberikan kunci-kunci agar mereka boleh memimpin dalam tanggungjawab mereka. Pemimpin-pemimpin ini termasuklah:

  • Presiden pancang dan daerah.

  • Uskup dan presiden cabang.

  • Presiden Kuorum Imamat Melkisedek dan Imamat Harun.

  • Presiden bait suci.

  • Presiden misi dan presiden pusat latihan misionari.

  • Presiden bahagian sejarah Gereja.

Para pemimpin ini menerima kunci-kunci imamat ketika mereka ditetapkan kepada panggilan mereka.

Kunci-kunci imamat tidak diberikan kepada orang lain, termasuk penasihat kepada pemimpin imamat tempatan atau presiden organisasi Gereja. Sebaliknya, para pemimpin ini diberi wewenang yang diagihkan ketika mereka ditetapkan dan ketika mereka menerima tugasan di bawah arahan pemimpin yang memegang kunci-kunci imamat. Presiden organisasi Gereja memimpin di bawah arahan mereka yang memegang kunci-kunci imamat (lihat 4.2.4).

Imej
mesyuarat majlis bahagian

3.4.1.2

Aturan Pekerjaan Tuhan

Kunci-kunci imamat memastikan bahawa pekerjaan penyelamatan dan permuliaan dilaksanakan dengan teratur (lihat Ajaran dan Perjanjian 42:11; 132:8). Mereka yang memegang kunci-kunci imamat mengarah pekerjaan Tuhan dalam skop tanggungjawab mereka sendiri. Mereka lakukan ini dalam kasih dan kesolehan. Wewenang memimpin ini hanya sah untuk tanggungjawab khusus panggilan pemimpin itu. Apabila pemimpin imamat dilepaskan dari panggilan mereka, mereka tidak lagi memegang kunci-kunci ini.

Semua yang melayani di Gereja ditetapkan atau ditugaskan di bawah arahan orang yang memegang kunci imamat. Apabila ahli ditetapkan atau ditugaskan, mereka diberi kuasa oleh Tuhan untuk melayani dalam pekerjaan-Nya.

3.4.2

Penganugerahan dan Pentahbisan Imamat

Di bawah arahan mereka yang memegang kunci imamat, Imamat Harun dan Imamat Melkisedek dianugerahkan kepada ahli Gereja lelaki yang layak (lihat Ajaran dan Perjanjian 84:14–17). Setelah imamat yang sesuai dianugerahkan, orang itu ditahbiskan ke jawatan dalam imamat itu, seperti diaken atau penatua. Seorang pemegang imamat menggunakan imamat sesuai dengan hak dan tugas jawatan itu (lihat Ajaran dan Perjanjian 107:99).

Setiap lelaki dalam Gereja Yesus Kristus harus berusaha menjadi layak menerima dan menggunakan Imamat Melkisedek untuk melayani orang lain. Apabila seorang lelaki menerima imamat ini, dia membuat perjanjian untuk menunaikan tanggungjawab imamatnya dengan setia. Dia juga menerima sumpah, atau janji Tuhan, tentang berkat-berkat abadi (lihat Ajaran dan Perjanjian 84:33–44; lihat juga Panduan Tulisan Suci, “Sumpah dan Perjanjian Imamat”).

Untuk maklumat lanjut tentang penganugerahan dan pentahbisan imamat, lihat 8.1.1, 10.6, 18.10, dan 38.2.5.

3.4.3

Penugasan Wewenang Imamat untuk Melayani dalam Gereja

Wewenang imamat untuk melayani di Gereja ditugaskan kepada ahli-ahli dengan cara berikut:

  • Melalui penetapan kepada panggilan Gereja

  • Melalui tugasan daripada pemimpin Gereja yang memimpin

3.4.3.1

Penetapan

Ketika lelaki dan wanita ditetapkan di bawah arahan mereka yang memegang kunci imamat, mereka diberi wewenang daripada Tuhan untuk bertindak dalam panggilan itu. Apabila mereka dilepaskan dari sesuatu panggilan, mereka tidak lagi memiliki wewenang yang berkaitan dengannya.

Terdapat panggilan yang dikaitkan dengan jawatan dan kuorum imamat. Contohnya, seorang lelaki yang memegang Imamat Melkisedek boleh dipanggil sebagai presiden kuorum penatua. Ketika dia ditetapkan oleh presiden pancang, dia diberikan kunci-kunci imamat, wewenang, dan tanggungjawab untuk mengarah pekerjaan kuorum penatua (lihat 3.4.1).

Banyak panggilan Gereja lain yang tidak terkait dengan jawatan imamat dan kuorum. Namun semua ahli Gereja yang ditetapkan untuk melayani diberi wewenang dan tanggungjawab ilahi untuk bertindak dalam panggilan mereka. Contohnya:

  • Seorang wanita yang dipanggil dan ditetapkan oleh uskup sebagai presiden Lembaga Pertolongan bahagian diberi wewenang untuk mengarah pekerjaan Lembaga Pertolongan dalam bahagian.

  • Seorang lelaki atau wanita yang dipanggil dan ditetapkan oleh lembaga uskup sebagai pengajar Sekolah Primer diberi wewenang untuk mengajar kanak-kanak Sekolah Primer dalam bahagian.

Semua yang dipanggil dan ditetapkan melayani di bawah arahan pemimpin yang memimpin mereka (lihat 3.4.1.2).

Untuk maklumat lanjut tentang penetapan ahli-ahli kepada panggilan Gereja, lihat 18.11.

3.4.3.2

Tugasan

Pemimpin Gereja yang memimpin boleh mengagihkan wewenang dengan memberi tugasan. Apabila lelaki atau wanita menerima tugasan ini, mereka diberikan wewenang daripada Tuhan untuk bertindak. Contohnya:

  • Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul menugaskan wewenang kepada ahli Tujuh Puluh yang ditugaskan untuk melayani kawasan dan untuk memimpin di persidangan pancang.

  • Presiden misi menugaskan wewenang kepada misionari lelaki dan wanita yang ditugaskan untuk memimpin dan melatih para misionari yang lain.

  • Wewenang ditugaskan kepada ahli Gereja untuk melayani sebagai pelayan rohani saudara dan saudari. Ini berlaku ketika mereka ditugaskan di bawah arahan uskup oleh presiden kuorum penatua atau presiden Lembaga Pertolongan.

Wewenang yang ditugaskan dengan tugasan adalah terhad kepada tanggungjawab dan tempoh tugasan tertentu.

Untuk maklumat lanjut tentang penugasan tugasan, lihat 4.2.5.

3.4.4

Menggunakan Wewenang Imamat dengan Soleh

Para pemimpin dan ahli Gereja menggunakan penganugerahan atau penugasan wewenang imamat untuk memberkati kehidupan orang lain.

Wewenang ini hanya boleh digunakan dengan kesolehan (lihat Ajaran dan Perjanjian 121:36). Ia digunakan dengan dorongan, kepanjangsabaran, kelemah-lembutan dan kelembutan hati, kasih dan kebaikan hati (lihat Ajaran dan Perjanjian 121:41–42). Para pemimpin berunding dengan yang lain dalam roh kesatuan dan mencari kehendak Tuhan melalui wahyu (lihat Ajaran dan Perjanjian 41:2). Untuk maklumat tentang berunding dengan yang lain, lihat 4.4.3.

Mereka yang menjalankan wewenang imamat tidak boleh memaksa kehendak mereka pada orang lain. Mereka tidak boleh menggunakan imamat untuk kepentingan diri. Jika seseorang menggunakannya dengan tidak soleh, “syurga menarik dirinya [dan] Roh Tuhan dipilukan” (Ajaran dan Perjanjian 121:37).

Sesetengah panggilan Gereja termasuk tanggungjawab untuk memimpin. Untuk maklumat lanjut tentang memimpin di Gereja, lihat 4.2.4.

Imej
dua lelaki dan seorang wanita sedang bercakap

3.5

Kuasa Imamat

Kuasa imamat adalah kuasa di mana Tuhan memberkati anak-anak-Nya. Kuasa imamat Tuhan mengalir kepada semua ahli Gereja—wanita dan lelaki—selagi mereka mentaati perjanjian yang mereka telah buat dengan-Nya. Ahli-ahli membuat perjanjian ini ketika mereka menerima tatacara imamat. (Lihat Ajaran dan Perjanjian 84:19–20.)

Berkat-berkat kuasa imamat yang ahli-ahli boleh menerima termasuk:

  • Bimbingan untuk kehidupan mereka.

  • Ilham untuk tahu cara melayani ahli keluarga dan orang lain.

  • Kekuatan untuk menahan dan mengatasi cabaran.

  • Kurnia-kurnia Roh untuk mengembangkan keupayaan mereka.

  • Wahyu untuk tahu bagaimana memenuhi pekerjaan yang ditahbiskan, ditetapkan, atau ditugaskan.

  • Bantuan dan kekuatan untuk menjadi lebih seperti Yesus Kristus dan Bapa Syurgawi.

3.5.1

Perjanjian

Perjanjian adalah satu janji kudus di antara Tuhan dan anak-anak-Nya. Tuhan memberikan syarat untuk perjanjian, dan anak-anak-Nya bersetuju untuk mematuhi syarat-syarat tersebut. Tuhan berjanji untuk memberkati anak-anak-Nya jika mereka memenuhi perjanjian itu.

Ahli-ahli membuat perjanjian dengan Tuhan semasa mereka menerima tatacara penyelamatan dan permuliaan (lihat 18.1). Semua yang bertahan sampai akhir dalam mentaati perjanjian mereka akan menerima kehidupan abadi (lihat 2 Nefi 31:17–20; Ajaran dan Perjanjian 14:7). Bertahan sampai akhir termasuk beriman kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus dan bertaubat setiap hari.

Ibu bapa, pemimpin Gereja, dan yang lain membantu individu mempersiapkan diri untuk membuat perjanjian apabila mereka menerima tatacara injil. Mereka memastikan bahawa orang itu memahami perjanjian yang dia akan buat. Setelah seseorang membuat perjanjian, mereka membantu dia mentaatinya. (Lihat Mosia 18:8–11, 23–26.)

3.5.2

Tatacara-tatacara

Tatacara adalah tindakan kudus yang dilaksanakan melalui wewenang imamat. Tatacara adalah sebahagian daripada injil Yesus Kristus. Tatacara pertama di bumi dilaksanakan pada zaman Adam dan Hawa (lihat Kejadian 1:28; Musa 6:64–65).

Dalam banyak tatacara, para individu membuat perjanjian dengan Tuhan. Contoh termasuk tatacara pembaptisan, sakramen, anugerahan, dan pemeteraian perkahwinan. Dalam tatacara lain seperti berkat bapa bangsa atau berkat untuk orang sakit, individu tidak membuat perjanjian, tetapi mereka menerima bimbingan dan kekuatan untuk mentaati perjanjian.

Tatacara mempunyai makna lambang yang mengarahkan individu kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Dalam tatacara yang merangkumi perjanjian, lambang membantu individu memahami janji yang mereka buat dan berkat yang mereka terima melalui kesetiaan mereka.

Setiap tatacara membolehkan individu mendapat berkat rohani yang berlimpah. Tuhan mengungkapkan, “Dalam tatacara-tatacara [imamat], kuasa ketuhanan dinyatakan” (Ajaran dan Perjanjian 84:20). Tatacara penyelamatan dan permuliaan adalah penting untuk kehidupan abadi. Untuk maklumat lanjut, lihat 18.1.

Individu yang hidup menerima tatacara penyelamatan dan pemuliaan bagi diri sendiri. Sekiranya mungkin, mereka boleh kembali ke bait suci untuk melaksanakan tatacara ini secara perwakilan bagi orang yang telah meninggal dunia. Untuk maklumat lanjut tentang melaksanakan tatacara untuk orang mati, lihat bab 28.

3.6

Imamat dan Rumah

Semua ahli Gereja yang mentaati perjanjian mereka—wanita, lelaki, dan kanak-kanak—diberkati dengan kuasa imamat Tuhan di rumah mereka untuk menguatkan diri dan keluarga mereka (lihat 3.5). Kuasa ini akan membantu ahli-ahli dalam melakukan pekerjaan penyelamatan dan permuliaan Tuhan dalam kehidupan peribadi dan keluarga mereka (lihat 2.2).

Para lelaki yang memegang Imamat Melkisedek boleh memberikan berkat imamat kepada ahli keluarga untuk tujuan arahan, penyembuhan, dan penghiburan. Apabila diperlukan, ahli Gereja juga boleh meminta berkat ini daripada ahli keluarga yang terdekat, pelayan saudara, atau pemimpin Gereja tempatan. Untuk maklumat lanjut tentang berkat imamat, lihat 18.13 dan 18.14.

Untuk maklumat tentang memimpin dalam keluarga, lihat 2.1.3.

Imej
wanita sedang menerima berkat imamat