Kitab Suci
2 Nefi 9


Bab 9

Yakub menjelaskan bahawa bangsa Yahudi akan dikumpulkan di semua negeri yang dijanjikan kepada mereka—Korban Tebusan menebuskan manusia daripada Kejatuhan—Tubuh orang mati akan tampil dari kubur, dan roh-roh mereka dari neraka dan dari firdaus—Mereka akan dihakimkan—Korban Tebusan menyelamatkan dari kematian, neraka, iblis, dan seksaan tidak berkesudahan—Yang soleh akan diselamatkan dalam kerajaan Tuhan—Hukuman bagi dosa dinyatakan—Yang Kudus dari Israel adalah penjaga pintu gerbang. Kira-kira 559–545 tahun S.M.

1 Dan sekarang, saudara-saudaraku yang dikasihi, aku telah membaca perkara-perkara ini agar kamu dapat mengetahui berkenaan perjanjian-perjanjian Tuhan yang Dia telah janjikan dengan seluruh bani Israel—

2 Yang Dia telah firmankan kepada orang Yahudi, melalui mulut para nabi-Nya yang kudus, bahkan sejak dari awal, dari generasi ke generasi, sehingga waktunya tiba bahawa mereka akan dipulihkan kepada gereja dan kawanan Tuhan; ketika mereka dikumpulkan kembali ke negeri-negeri warisan mereka, dan akan didirikan dalam semua negeri mereka yang dijanjikan.

3 Lihatlah, saudara-saudaraku yang dikasihi, aku mengucapkan hal-hal ini kepadamu agar kamu dapat berbahagia, dan mengangkat kepalamu selama-lamanya, disebabkan berkat-berkat itu yang Tuhan telah kurniakan kepada anak-anakmu.

4 Kerana aku tahu bahawa kamu telah banyak mencari, ramai di antara kamu, untuk mengetahui hal-hal yang akan datang; oleh kerana itu, aku tahu bahawa kamu tahu bahawa daging kita akan mengusang dan mati; walaupun demikian, dalam tubuh kita akan kita melihat Tuhan.

5 Ya, aku tahu bahawa kamu tahu bahawa dalam tubuh Dia akan menunjukkan diri-Nya kepada mereka di Yerusalem, dari mana kita datang; kerana adalah perlu bahawa itu mesti pergi di kalangan mereka; kerana patut bagi Pencipta agung bahawa Dia membiarkan diri-Nya tunduk kepada manusia dalam daging, dan mati untuk semua manusia, agar semua manusia akan tunduk kepada Dia.

6 Kerana sebagaimana kematian telah menjadi keadaan semua manusia, untuk menggenapi rancangan yang penuh belas kasihan daripada Pencipta agung, mestilah adanya suatu kuasa kebangkitan, dan kebangkitan itu mestilah datang kepada manusia akibat kejatuhan; dan kejatuhan itu datang akibat pelanggaran; dan kerana manusia telah menjadi terjatuh, mereka disingkirkan dari hadirat Tuhan.

7 Oleh kerana itu, mestilah adanya korban tebusan yang tidak terhingga—kecuali ianya suatu korban tebusan yang tidak terhingga, kereputan ini tidak dapat mengenakan ketidakreputan. Oleh kerana itu, hukuman pertama yang datang ke atas manusia mestilah perlu kekal selama suatu jangka masa tanpa akhir. Dan jika demikian, daging ini mesti berbaring untuk mereput dan remuk ke dalam ibu pertiwinya, untuk tidak bangkit lagi.

8 Ya, kebijaksanaan Tuhan, belas kasihan dan rahmat-Nya! Kerana lihatlah, jika daging tidak akan bangkit lagi, roh-roh kita mesti tunduk kepada malaikat itu yang jatuh dari hadirat Tuhan yang Abadi, dan telah menjadi iblis, untuk tidak bangkit lagi.

9 Dan roh-roh kita mesti telah menjadi sepertinya, dan kita menjadi iblis, malaikat kepada seorang iblis, untuk dihalang dari hadirat Tuhan kita, dan untuk tetap tinggal bersama bapa kedustaan, dalam penderitaan, seperti dirinya; ya, kepada makhluk itu yang telah menipu ibu bapa pertama kita, yang mengubahkan dirinya untuk merupai seorang malaikat cahaya, dan menghasut anak-anak manusia sampai memasuki komplot-komplot pembunuhan dan segala jenis kerja kegelapan rahsia.

10 Ya, betapa agungnya kebaikan Tuhan kita, yang telah menyediakan suatu jalan bagi pelolosan kita dari genggaman makhluk dahsyat ini; ya, makluk itu, kematian dan neraka, yang aku panggil kematian tubuh, dan juga kematian roh.

11 Dan kerana jalan pelolosan Tuhan kita, Yang Kudus dari Israel, kematian ini, yang berkenaanya telah aku bicarakan, iaitu yang duniawi, akan melepaskan orang matinya; yang kematian ini adalah kubur.

12 Dan kematian ini yang telah aku bicarakan, iaitu kematian rohani, akan melepaskan orangnya yang telah mati; yang kematian rohani adalah neraka; oleh kerana itu, kematian dan neraka mesti melepaskan orang-orangnya yang telah mati, dan neraka mesti melepaskan roh-rohnya yang tertawan, dan kubur mesti melepaskan tubuh-tubuhnya yang tertawan, dan tubuh dan roh manusia akan dipulihkan satu kepada yang lain; dan ia adalah melalui kuasa kebangkitan Yang Kudus dari Israel.

13 Ya, betapa agungnya rancangan Tuhan kita! Kerana pada sebelah yang lain, firdaus Tuhan mesti melepaskan roh-roh mereka yang soleh, dan kubur melepaskan tubuh mereka yang soleh; dan roh dan tubuh dipulihkan kepada dirinya kembali, dan semua manusia menjadi tidak dapat reput, dan baqa, dan mereka adalah jiwa yang hidup, mempunyai pengetahuan sempurna seperti kita dalam daging, kecuali pengetahuan kita akan sempurna.

14 Oleh kerana itu, kita akan mempunyai pengetahuan sempurna berkenaan segala kesalahan kita, dan ketidakbersihan kita, dan ketelanjangan kita; dan yang soleh akan mempunyai pengetahuan sempurna berkenaan kesenangan mereka, dan kesolehan mereka, kerana diliputi oleh kesucian, ya, bahkan jubah kesolehan.

15 Dan akan terjadilah bahawa ketika semua manusia telah bertukar daripada kematian pertama ini kepada kehidupan, kerana mereka telah menjadi baqa, mereka mesti hadir di hadapan kerusi penghakiman Yang Kudus dari Israel; dan pada masa itu datanglah penghakiman, dan pada masa itu mereka mesti dihakimkan menurut penghakiman kudus Tuhan.

16 Dan semestinya, sebagaimana Tuhan hidup, kerana Tuhan telah menfirmankannya, dan ia adalah firman-Nya yang abadi, yang tidak boleh luput, bahawa mereka yang soleh tetap akan soleh, dan mereka yang kotor tetap akan kotor; oleh kerana itu, mereka yang kotor adalah iblis dan para malaikatnya; dan mereka akan pergi ke dalam api yang kekal, disediakan untuk mereka; dan seksaan mereka adalah sebagai sebuah tasik api dan belerang, yang nyalanya naik ke atas selama-lamanya dan tiada akhirnya.

17 Ya, keagungan dan keadilan Tuhan kita! Kerana Dia melaksanakan segala firman-Nya, dan ianya telah keluar dari mulut-Nya, dan hukum-Nya mesti digenapi.

18 Tetapi, lihatlah, yang soleh, orang suci Yang Kudus dari Israel, mereka yang telah percaya kepada Yang Kudus dari Israel, mereka yang telah menanggung salib-salib dunia, dan mengeji rasa malu daripadanya, mereka akan mewarisi kerajaan Tuhan, yang telah disediakan untuk mereka sejak pengasasan dunia, dan kebahagiaan mereka akan penuh selama-lamanya.

19 Ya, keagungan dan belas kasihan Tuhan kita, Yang Kudus dari Israel! Kerana Dia melepaskan orang suci-Nya dari makhluk dahsyat itu, iblis, dan kematian, dan neraka, dan tasik api dan belerang itu, iaitu seksaan tidak berkesudahan.

20 Ya, betapa agungnya kekudusan Tuhan kita! Kerana Dia mengetahui segala hal, dan tiada apa pun kecuali Dia mengetahuinya.

21 Dan Dia datang ke dunia agar Dia dapat menyelamatkan semua manusia jika mereka akan mendengarkan suara-Nya; kerana lihatlah, Dia menderita kesakitan setiap manusia ya kesakitan setiap makhluk yang hidup, baik lelaki, perempuan, mahupun kanak-kanak, yang termasuk dalam keluarga Adam.

22 Dan Dia menderita ini agar kebangkitan dapat diberi kepada semua manusia, agar semua dapat berdiri di hadapan-Nya pada hari yang agung dan penghakiman itu.

23 Dan Dia memerintahkan semua manusia agar mereka mesti bertaubat, dan dibaptiskan dalam nama-Nya, memiliki iman sempurna kepada Yang Kudus dari Israel, atau mereka tidak dapat diselamatkan dalam kerajaan Tuhan.

24 Dan jika mereka tidak bertaubat dan percaya kepada nama-Nya, dan dibaptiskan dalam nama-Nya, dan bertahan sampai akhir, mereka mesti dilaknat; kerana Tuhan, Yang Kudus dari Israel, telah memfirmankannya.

25 Oleh kerana itu, Dia telah memberi suatu hukum; dan di mana tiada hukum diberi, tiada hukuman; dan di mana tiada hukuman, tiada penghukuman; dan di mana tiada penghukuman, belas kasihan Yang Kudus dari Israel mempunyai tuntutan ke atas mereka, akibat Korban Tebusan; kerana mereka dilepaskan oleh kuasa daripada Dia.

26 Kerana Korban Tebusan memuaskan tuntutan keadilan-Nya ke atas semua mereka yang tidak diberi hukum, agar mereka dilepaskan dari makhluk dahsyat itu, kematian dan neraka, dan iblis, dan tasik api dan belerang, iaitu seksaan tidak berkesudahan; dan mereka dipulihkan kepada Tuhan itu yang telah memberi mereka nafas, iaitu Yang Kudus dari Israel.

27 Tetapi celakalah dia yang telah diberi hukum, ya, yang mempunyai semua hukum Tuhan, seperti kita, dan yang melanggarnya, dan yang mensia-siakan waktu cubaannya, kerana teruklah keadaannya!

28 Ya, rancangan yang licik dari yang jahat itu! Ya, kesombongan, dan kelemahan dan kebodohan manusia! Apabila mereka terpelajar, mereka menganggap diri mereka bijaksana, dan mereka tidak mendengarkan nasihat Tuhan, kerana mereka mengetepikannya, menganggap bahawa mereka tahu daripada diri mereka sendiri, oleh kerana itu, kebijaksanaan mereka adalah bodoh dan tidak menguntungkan mereka. Dan mereka akan binasa.

29 Tetapi menjadi terpelajar adalah baik jika mereka mendengarkan nasihat Tuhan.

30 Tetapi celakalah mereka yang kaya, yang kaya perihal apa yang duniawi. Kerana mereka kaya, mereka mengeji yang miskin, dan mereka menganiaya yang lembut hati, dan hati mereka tertumpu kepada harta benda mereka; oleh kerana itu, harta benda mereka adalah tuhan mereka. Dan lihatlah, harta benda mereka akan binasa bersama mereka juga.

31 Dan celakalah mereka yang pekak yang enggan mendengar; kerana mereka akan binasa.

32 Celakalah mereka yang buta yang enggan melihat; kerana mereka akan binasa juga.

33 Celakalah mereka yang tak bersunat hati, kerana pengetahuan kederhakaan mereka akan membelasah mereka pada hari terakhir.

34 Celakalah si pendusta, kerana dia akan dicampak ke dalam neraka.

35 Celakalah si pembunuh yang sengaja membunuh, kerana dia akan mati.

36 Celakalah mereka yang melakukan pelacuran, kerana mereka akan dicampak ke dalam neraka.

37 Ya, celakalah mereka yang menyembah berhala, kerana iblis kepada semua iblis bersukacita akannya.

38 Dan, kesimpulannya, celakalah mereka yang mati dalam dosa-dosa mereka; kerana mereka akan kembali kepada Tuhan, dan melihat muka-Nya, dan tetap berada dalam dosa-dosa mereka.

39 Wahai, saudara-saudaraku yang dikasihi, ingatlah kedahsyatan dalam pelanggaran menentang Tuhan yang Kudus itu, dan juga kedahsyatan menyerahkan diri kepada pujukan menarik dari dia yang licik itu. Ingatlah, berfikiran badani adalah kematian, dan berfikiran rohani adalah kehidupan abadi.

40 Hai, saudara-saudaraku yang dikasihi, pasangkanlah telinga kepada kata-kataku. Ingatlah keagungan Yang Kudus dari Israel. Jangan berkata bahawa aku telah mengucapkan hal-hal yang keras terhadapmu; kerana jika kamu berbuat demikian, kamu akan mencaci maki kebenaran; kerana akau telah mengucapkan firman Penciptamu. Aku tahu bahawa kata-kata kebenaran adalah keras terhadap segala ketidakbersihan; tetapi yang soleh tidak takut kepadanya, kerana mereka mengasihi kebenaran dan tidak tergoncang.

41 Wahai maka, saudara-saudaraku yang dikasihi, datanglah kepada Tuhan, Dia Yang Kudus. Ingatlah bahawa jalan-jalannya adalah soleh. Lihatlah, jalan bagi manusia adalah sempit, tetapi ianya berada dalam laluan yang lurus di hadapannya, dan penjaga pintu gerbang itu adalah Yang Kudus dari Israel; dan Dia tidak menggajikan orang suruhan di situ; dan tiada jalan lain kecuali melalui pintu gerbang itu; kerana Dia tidak dapat ditipu, kerana Tuhan adalah nama-Nya.

42 Dan sesiapa yang mengetuk, kepada dia akan Dia bukakan; dan yang bijaksana, dan mereka yang kaya, yang bongkak kerana pembelajaran mereka, dan kebijaksanaan mereka, dan kekayaan mereka—ya, mereka adalah mereka yang Dia keji; dan kecuali mereka menyingkirkan hal-hal ini, dan menganggap diri mereka orang bodoh di hadapan Tuhan, dan turun ke kedalaman kerendahan hati, Dia tidak akan membukakan bagi mereka.

43 Tetapi hal-hal mereka yang bijaksana dan yang hemat akan disembunyikan dari mereka buat selama-lamanya—ya, kegembiraan itu yang disediakan untuk orang suci.

44 Wahai, saudara-saudaraku yang dikasihi, ingatlah kata-kataku. Lihatlah, aku menanggalkan pakaianku, dan aku mengibaskan mereka di hadapanmu; aku berdoa kepada Tuhan keselamatanku agar Dia memandangkanku dengan mata-Nya yang penuh penelitian; oleh kerana itu, kamu akan tahu pada hari terakhir, ketika semua manusia akan dihakimi untuk perbuatan-perbuatan mereka, bahawa Tuhan Israel telah menyaksikan bahawa aku telah mengibaskan penderhakaanmu dari jiwaku, dan bahawa aku berdiri dengan kegemilangan di hadapan Dia, dan aku dibersihkan dari darahmu.

45 Wahai, saudara-saudaraku yang dikasihi, berpalinglah dari dosa-dosamu; goncangkanlah rantai-rantai dari dia yang ingin mengikatmu erat-erat; datanglah kepada Tuhan itu yang adalah batu keselamatanmu.

46 Sediakanlah jiwa-jiwamu bagi hari cemerlang itu ketika keadilan akan diberikan kepada yang soleh, bahkan hari penghakiman, agar kamu tidak akan mengecut dengan ketakutan dahsyat; agar kamu tidak akan mengingati kesalahanmu yang dahsyat dalam kesempurnaan, dan dipaksa untuk menyeru: Kuduslah, kuduslah penghakiman-Mu, Ya Tuhan Raja Yang Perkasa—tetapi aku tahu kesalahanku; aku telah melanggar hukum-Mu, dan pelanggaranku adalah kepunyaanku; dan iblis telah mendapatkanku, sehingga aku adalah mangsa kepada penderitaannya yang dahsyat.

47 Tetapi lihatlah, saudara-saudaraku, adakah perlu bahawa aku mesti mengejutkan kamu kepada suatu kenyataan dahsyat berkenaan hal-hal ini? Akankah aku menyeksa jiwamu jika fikiranmu suci? Akankah aku berterus-terang kepadamu menurut kejelasan kebenaran jika kamu dibebaskan dari dosa?

48 Lihatlah, jika kamu kudus, aku akan berbicara kepadamu berkenaan kekudusan; tetapi kerana kamu tidak kudus, dan kamu menganggapku sebagai seorang pengajar, adalah sangat perlu bahawa aku mengajarkanmu akibat-akibat dosa.

49 Lihatlah, jiwaku luat terhadap dosa, dan hatiku bersukacita dalam kesolehan; dan aku akan memuji nama kudus Tuhanku.

50 Datanglah, saudara-saudaraku, setiap orang yang dahaga, datanglah kamu ke perairan; dan dia yang tiada wang, marilah beli dan makan; ya, datanglah beli wain dan susu tanpa wang dan tanpa harga.

51 Oleh kerana itu, janganlah belanjakan wang bagi itu yang tidak berharga, tidak juga usahamu bagi itu yang tidak dapat memuaskan. Dengarlah dengan tekun kepadaku, dan ingatlah akan kata-kataku yang telah aku ucapkan; dan datanglah kepada Yang Kudus dari Israel, dan jamuilah itu yang tidak akan binasa, juga tidak boleh reput, dan biarlah jiwamu bersukacita dalam kegemukan.

52 Lihatlah, saudara-saudaraku yang dikasihi, ingatlah firman Tuhanmu; berdoalah kepada Dia berkali-kali pada siang hari, dan berilah syukur kepada nama kudus-Nya pada waktu malam. Biarlah hatimu bersukacita.

53 Dan lihatlah betapa agungnya perjanjian Tuhan, dan betapa agungnya perendahan diri-Nya kepada anak-anak manusia; dan kerana keagungan-Nya, dan rahmat dan belas kasihan-Nya, Dia telah berjanji kepada kita bahawa keturunan kita tidak akan dihapuskan semata-matanya, menurut keadaan daging, tetapi bahawa Dia akan memelihara mereka; dan dalam generasi-generasi masa depan mereka akan menjadi suatu cabang yang soleh bagi bani Israel.

54 Dan sekarang, saudara-saudaraku, aku akan berbicara lebih kepada kamu; tetapi pada esok hari, aku akan mengisyhtiharkan kepadamu baki kata-kataku. Amin.