Buku Panduan dan Panggilan
2. Menyokong Individu dan Keluarga dalam Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan


“2. Menyokong Individu dan Keluarga dalam Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan,” Pilihan dari Buku Panduan Umum (2023).

“2. Menyokong Individu dan Keluarga,” Pilihan dari Buku Panduan Umum

Imej
foto keluarga

2.

Menyokong Individu dan Keluarga dalam Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan

2.0

Pengenalan

Sebagai seorang pemimpin dalam Gereja Yesus Kristus, anda menyokong individu dan keluarga dalam melaksanakan pekerjaan penyelamatan dan permuliaan Tuhan (lihat 1.2). Tujuan pekerjaan ini adalah untuk membantu anak-anak Tuhan menerima berkat-berkat kehidupan abadi dan kegenapan kebahagiaan.

Kebanyakan pekerjaan penyelamatan dan permuliaan dicapai melalui keluarga. Bagi semua ahli Gereja, pekerjaan ini berpusat dalam rumah.

2.1

Peranan Keluarga dalam Rancangan Tuhan

Sebagai sebahagian daripada rancangan-Nya, Bapa Syurgawi telah menubuhkan keluarga-keluarga di bumi. Dia menghasratkan keluarga untuk membawa kebahagiaan kepada kita. Keluarga menyediakan peluang untuk belajar, berkembang, melayan, bertaubat, dan mengampuni. Mereka boleh membantu kita bersedia untuk kehidupan abadi.

Janji Tuhan tentang kehidupan abadi termasuklah perkahwinan abadi, anak-anak, dan segala berkat keluarga abadi yang lain. Janji ini merangkumi mereka yang belum berkahwin atau tanpa keluarga dalam Gereja.

2.1.1

Keluarga Abadi

Keluarga abadi dibentuk apabila ahli Gereja membuat perjanjian ketika mereka menerima tatacara pemeteraian dalam bait suci. Berkat keluarga abadi tertunai apabila ahli-ahli mentaati perjanjian tersebut dan bertaubat apabila gagal. Pemimpin Gereja membantu ahli-ahli bersedia untuk menerima tatacara-tatacara ini dan mematuhi perjanjian mereka.

Aspek tambahan dalam penubuhan keluarga abadi adalah dengan melaksanakan tatacara bait suci yang membolehkan ahli-ahli dimeteraikan kepada nenek moyang mereka yang sudah meninggal.

2.1.2

Suami dan Isteri

Perkahwinan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan ditahbiskan oleh Tuhan (lihat Ajaran dan Perjanjian 49:15). Suami dan isteri harus berkembang bersama menuju kehidupan abadi (lihat 1 Korintus 11:11).

Salah satu syarat untuk memperoleh kehidupan abadi adalah untuk seorang lelaki dan seorang wanita membuat perjanjian perkahwinan selestial (lihat Ajaran dan Perjanjian 131:1–4). Pasangan suami isteri membuat perjanjian ini apabila mereka menerima tatacara pemeteraian perkahwinan dalam bait suci. Perjanjian ini adalah landasan sebuah keluarga abadi. Apabila dipatuhi dengan iman, ia membolehkan perkahwinan mereka bertahan selamanya.

Hubungan intim di antara suami dan isteri diniatkan sebagai sesuatu yang indah dan kudus. Ia ditahbiskan oleh Tuhan untuk penciptaan anak-anak dan sebagai ungkapan kasih di antara suami dan isteri. Kelembutan dan hormat—bukan kepentingan diri—yang harus membimbing perhubungan intim mereka.

Tuhan memerintahkan bahawa perhubungan seksual intim dikhususkan untuk perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita.

Seorang suami dan isteri adalah setaraf di mata Tuhan. Seseorang tidak harus menguasai yang lain. Keputusan mereka harus dibuat dengan bersatu dan kasih, dengan penglibatan penuh bersama.

2.1.3

Ibu Bapa dan Anak-anak

Nabi zaman akhir mengajarkan bahawa “Perintah Tuhan bagi anak-anak-Nya untuk beranak-pinak dan bertambah di dunia masih berkuat kuasa” (“Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia”; lihat Ajaran dan Perjanjian 49:16–17).

Suami dan isteri bersama menyediakan keadaan terbaik untuk membesarkan dan mendidik anak-anak. Situasi individu mungkin menghalang ibu bapa membesarkan anak-anak mereka bersama. Namun, Tuhan akan memberkati mereka apabila mereka mencari bantuan-Nya dan berusaha untuk mentaati perjanjian mereka bersama-Nya.

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab penting untuk membantu anak-anak bersedia untuk menerima berkat kehidupan abadi. Mereka mengajar anak-anak mereka untuk mengasihi dan melayani Tuhan dan orang lain (lihat Matius 22:36–40).

“Para bapa patut mengetuai keluarga mereka dengan kasih sayang dan kesolehan, dan bertanggungjawab menafkahi keperluan kehidupan dan memberi perlindungan bagi keluarga mereka” (“Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia”). Ketika tidak ada suami atau ayah dalam rumah tersebut, ibu mengetuai keluarga itu.

Mengetuai dalam keluarga adalah tanggungjawab untuk membantu memimpin ahli keluarga kembali hidup di hadirat Tuhan. Ini dilakukan dengan melayani dan mengajar secara lembut, dengan kelembutan hati, dan kasih murni, mengikuti teladan Yesus Kristus (lihat Matius 20:26–28). Memimpin dalam keluarga termasuk membimbing ahli keluarga dalam doa harian, pengkajian injil, dan aspek penyembahan yang lain. Ibu bapa bekerja dalam kesatuan untuk memenuhi tanggungjawab ini.

“Para ibu terutamanya bertanggungjawab bagi pemeliharaan anak-anak mereka” (“Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia”). Pemeliharaan bermaksud memelihara, mengajar, dan menyokong, mengikuti teladan Juruselamat (lihat 3 Nefi 10:4). Dalam kesatuan dengan suaminya, seorang ibu membantu keluarganya belajar kebenaran injil dan mengembangkan iman dalam Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Mereka bersama menyediakan persekitaran penuh kasih dalam keluarga.

“Di dalam tanggungjawab-tanggungjawab yang suci ini, para bapa dan para ibu diwajibkan membantu satu sama lain sebagai ahli pasangan yang setaraf.” (“Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia”). Mereka dengan penuh doa berunding bersama dan dengan Tuhan. Mereka membuat keputusan bersama dalam kesatuan dan kasih, dengan penuh penglibatan bersama.

2.2

Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan dalam Rumah

Presidensi Utama mengatakan, “Rumah adalah asas kehidupan yang soleh” (surat Presidensi Utama, 11 Februari 1999).

Untuk menyokong ahli-ahli dalam melakukan pekerjaan penyelamatan dan pemuliaan di rumah, pemimpin Gereja menggalakkan mereka untuk menjadikan rumah tempat Roh hadir. Mereka juga menggalakkan ahli-ahli untuk menghormati hari Sabat, mengkaji dan mempelajari injil di rumah, dan mengadakan malam keluarga setiap minggu.

2.2.3

Pengkajian dan Pembelajaran Injil di Rumah

Pengajaran dan pembelajaran Injil berpusat di rumah dan disokong oleh Gereja. Pemimpin Gereja menggalak semua ahli untuk mengkaji injil di rumah pada hari Sabat dan sepanjang minggu.

Kajian tulisan suci seperti yang digariskan dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga adalah cadangan pengkajian injil di rumah.

2.2.4

Malam Keluarga dan Aktiviti Lain

Para nabi zaman akhir telah menasihati para ahli Gereja untuk mengadakan malam keluarga mingguan. Ini adalah masa kudus bagi individu dan keluarga untuk belajar injil, memperkuat kesaksian, membina kesatuan, dan saling menikmati.

Malam keluarga adalah fleksibel mengikut keadaan ahli-ahli. Ia boleh diadakan pada hari Sabat atau pada hari dan masa lain. Ini termasuk:

  • Kajian injil dan bahan arahan (Ikutlah Aku boleh digunakan jika perlu).

  • Melayani orang lain.

  • Menyanyi atau memainkan lagu rohani dan lagu Sekolah Primer (lihat bab 19).

  • Menyokong ahli keluarga dalam perkembangan Kanak-Kanak dan Remaja.

  • Majlis keluarga untuk menentukan matlamat, menyelesaikan masalah, dan mengatur jadual.

  • Aktiviti rekreasi.

Ahli muda-mudi dan yang lain boleh berkumpul di luar penyembahan hari Sabat yang biasa untuk mengambil bahagian dalam malam keluarga dan saling menguatkan melalui kajian injil.

2.2.5

Menyokong Individu

Pemimpin Gereja membantu ahli-ahli yang kekurangan sokongan ahli keluarga.

Pemimpin membantu ahli-ahli ini dan keluarga mereka mempunyai kesempatan untuk menjalin persahabatan, pengalaman sosial yang baik, dan perkembangan rohani.

2.3

Hubungan di antara Rumah dan Gereja

Pekerjaan penyelamatan dan permuliaan berpusat di rumah dan disokong oleh Gereja. Prinsip-prinsip berikut diterapkan dalam hubungan di antara rumah dan Gereja.

  • Pemimpin dan pengajar menghormati peranan ibu bapa dan membantu mereka.

  • Sesetengah pertemuan Gereja adalah penting dalam setiap bahagian atau cabang. Ini termasuk pertemuan sakramen dan kelas-kelas dan pertemuan kuorum yang diadakan pada hari Sabat. Banyak pertemuan, aktiviti, dan program lain yang tidak penting.

  • Pelayanan Gereja dan penglibatan memerlukan pengorbanan. Tuhan akan memberkati ahli-ahli semasa mereka melayani dan berkorban dalam Gereja-Nya. Walau bagaimanapun, jumlah masa yang diberikan kepada pelayanan Gereja harus tidak mengalihkan keupayaan ahli untuk memenuhi tanggungjawab mereka di rumah, di tempat kerja, dan di mana pun.