Buku Panduan dan Panggilan
22. Menyediakan Keperluan Duniawi dan Membina Keberdikarian


“22. Menyediakan Keperluan Duniawi dan Membina Keberdikarian,” Pilihan dari Buku Panduan Umum (2023).

“22. Menyediakan Keperluan Duniawi dan Membina Keberdikarian,” Pilihan dari Buku Panduan Umum

Imej
seorang lelaki bekerja

22.

Menyediakan Keperluan Duniawi dan Membina Keberdikarian

22.0

Pengenalan

Ahli Gereja berjanji untuk “menanggung beban satu sama lain, … berduka nestapa bersama mereka yang berduka nestapa … , dan menghibur mereka yang memerlukan penghiburan” (Mosia 18:8–9).

Ahli Gereja juga dinasihati untuk memperkuatkan keberdikarian sendiri melalui kerja tekun dan dengan bantuan Tuhan. Keberdikarian adalah keupayaan, komitmen, dan usaha untuk menyediakan keperluan rohani dan duniawi kehidupan untuk diri sendiri dan keluarga.


USAHA INDIVIDU DAN KELUARGA


22.1

Membina Keberdikarian

Dengan bantuan Tuhan, ahli membina keberdikarian dengan cara berikut:

  • Membangunkan kekuatan rohani, jasmani, dan emosi.

  • Memperoleh pendidikan dan pekerjaan.

  • Memperbaiki persediaan duniawi.

22.1.4

Persediaan Duniawi

Tulisan suci mengajar kepentingan bersedia (lihat Yehezkiel 38:7; Ajaran dan Perjanjian 38:30). Ahli dinasihati untuk bersedia supaya mereka boleh menjaga diri, keluarga mereka dan orang lain pada masa keperluan.

Ahli meningkatkan persediaan kewangan mereka dengan:

  • Membayar persepuluhan dan sumbangan (lihat Maleakhi 3:8–12).

  • Menghapuskan dan mengelakkan hutang.

  • Menyediakan dan hidup dalam belanjawan.

  • Menabung untuk masa depan.

  • Mendapatkan pendidikan yang sesuai untuk membantu mereka menyediakan bagi diri dan keluarga mereka (lihat 22.3.3).

Persediaan juga termasuk membuat rancangan untuk menjaga keperluan asas semasa kecemasan. Para ahli digalakkan untuk mempunyai bekalan makanan, air dan keperluan jangka pendek dan jangka panjang.

22.2

Melayani Orang yang Ada Keperluan Duniawi dan Emosi

Para pengikut Tuhan diajar untuk “mengasihi … dan untuk saling melayani” dan untuk “menyokong mereka yang memerlukan bantuanmu” (Mosia 4:15–16). Ahli berusaha untuk melihat orang lain sepertimana Juruselamat melihat mereka, memahami kekuatan dan keperluan unik mereka. Keperluan ini boleh termasuk makanan, pakaian, perumahan, pendidikan, pekerjaan, kesihatan jasmani dan kesejahteraan emosi.

22.2.1

Gudang Simpanan Tuhan

Semua sumber yang tersedia untuk Gereja untuk bantu mereka yang memerlukan secara duniawi dipanggil gudang simpanan Tuhan (lihat Ajaran dan Perjanjian 82:18–19). Ini termasuk persembahan masa, bakat, belas kasihan, bahan-bahan, dan sumber kewangan ahli untuk membantu mereka yang memerlukan.

Gudang simpanan Tuhan wujud di setiap bahagian dan pancang. Pemimpin dapat membantu individu dan keluarga mencari penyelesaian kepada keperluan mereka dengan menggunakan pengetahuan, kemahiran, dan pelayanan yang ahli bahagian dan pancang berikan.

22.2.2

Hukum Puasa dan Sumbangan Puasa

Tuhan telah menubuhkan hukum puasa dan sumbangan puasa untuk memberkati umat-Nya dan untuk menyediakan cara bagi mereka untuk melayani orang yang memerlukan. Ahli semakin mendekati Tuhan dan meningkatkan kekuatan rohani semasa mereka mematuhi hukum puasa. (Lihat Yesaya 58:6–12; Maleakhi 3:8–12.)

Berpuasa boleh dibuat pada bila-bila masa pun. Walau bagaimanapun, ahli biasanya memerhatikan hari Sabat pertama setiap bulan sebagai hari berpuasa. Hari puasa biasanya termasuk yang berikut:

  • Berdoa

  • Tanpa makanan dan minuman untuk tempoh 24 jam (jika mampu secara fizikal)

  • Memberi sumbangan puasa yang murah hati

Sumbangan puasa adalah sumbangan untuk membantu orang yang memerlukan. Apabila ahli berpuasa, mereka dijemput untuk memberi persembahan yang sekurang-kurangnya sama dengan harga hidangan tempoh puasa.

Ahli boleh memberi sumbangan puasa mereka dan borang Persepuluhan dan Sumbangan Lain yang lengkap kepada uskup atau salah seorang penasihatnya. Di sesetengah kawasan, mereka juga boleh menderma secara talian.


USAHA PEMIMPIN


22.3

Pola untuk Membina Keberdikarian dan Pelayanan kepada Mereka yang Memerlukan

22.3.1

Cari Mereka yang Memerlukan

Uskup ada tanggungjawab kudus untuk mencari dan menjaga mereka yang memerlukan (lihat Ajaran dan Perjanjian 84:112). Yang lain yang ada peranan penting dalam membantu uskup dengan tanggungjawab ini termasuk:

  • Pelayan saudara dan saudari.

  • Presidensi Lembaga Pertolongan dan kuorum penatua.

  • Para penasihat uskup.

  • Ahli lain dalam majlis bahagian.

22.3.2

Bantu Ahli Menilai dan Menangani Keperluan Jangka Pendek

Ahli berusaha untuk memenuhi keperluan asas mereka melalui usaha sendiri dan bantuan dari keluarga terdekat. Apabila ini tidak mencukupi, ahli mungkin perlu bantuan dari sumber lain seperti:

  • Sumber kerajaan dan komuniti (lihat 22.12).

  • Bantuan Gereja.

Bantuan Gereja mungkin termasuk bantuan dengan keperluan jangka pendek seperti makanan, barang kebersihan, pakaian, perumahan, atau asas lain. Uskup boleh menggunakan sumbangan puasa untuk menangani keperluan ini. Jika pesanan uskup tersedia, uskup biasanya menggunakannya untuk menyediakan makanan dan barangan asas lain (lihat “Bishops’ Orders and Referrals (Pesanan dan Rujukan Uskup)” dalam Leader and Clerk Resources [LCR]).

22.3.3

Bantu Ahli Membina Keberdikarian Jangka Panjang

Ahli mungkin memerlukan sokongan berterusan untuk menangani cabaran jangka panjang. Pendidikan, latihan vokasional atau sumber lain dapat bantu mereka membina keberdikarian dan menyediakan keperluan jangka panjang mereka.

Rancangan Keberdikarian membantu ahli mengenal pasti kekuatan dan keperluan mereka. Ia juga membantu mereka mengenal pasti sumber berguna. Rancangan ini harus digunakan setiap kali bantuan Gereja dipertimbangkan.

22.3.4

Melayani Mereka yang Ada Keperluan Emosi

Ramai ahli mengalami cabaran emosi. Pelayan saudara dan saudari dan pemimpin bahagian boleh menjadi alat dalam membantu ahli menghadapi cabaran ini.

22.4

Asas-asas untuk Memberi Bantuan Gereja

Dengan bantuan Tuhan, ahli berusaha untuk menyediakan bagi diri dan keluarga mereka.

Bantuan Gereja adalah untuk membantu ahli mengembangkan sikap berdikari, bukan pergantungan. Sebarang bantuan yang diberikan harus memperkuatkan ahli dalam usaha mereka untuk menjadi berdikari.

22.4.1

Menggalakkan Tanggungjawab Peribadi dan Keluarga

Pemimpin mengajarkan bahawa individu dan keluarga ada tanggungjawab utama untuk kesejahteraan duniawi, emosi dan rohani mereka.

Sebelum memberi bantuan Gereja, uskup (atau pemimpin atau ahli lain yang ditugaskan) menyemak sumber yang ahli gunakan untuk memenuhi keperluan mereka.

22.4.2

Memberi Bantuan Sementara untuk Keperluan Penting

Matlamat bantuan Gereja adalah untuk membantu keperluan asas duniawi, sementara ahli berusaha untuk menjadi berdikari.

Uskup harus menjalankan pertimbangan yang baik dan mencari arahan rohani apabila mempertimbangkan jumlah dan tempoh bantuan yang diberikan. Mereka harus berbelas kasihan dan murah hati serta tidak mencipta kebergantungan.

22.4.3

Menyediakan Sumber atau Pelayanan, Bukan Wang Tunai

Jika boleh, uskup harus mengelakkan pemberian wang tunai. Sebaliknya, dia harus menggunakan persembahan puasa atau pesanan uskup untuk menyediakan barangan runcit atau perkhidmatan kepada ahli. Ahli kemudian boleh menggunakan wang sendiri untuk membayar keperluan lain.

Apabila ini tidak mencukupi, uskup boleh membantu dengan menggunakan sumbangan puasa untuk membayar bil-bil penting untuk sementara (lihat 22.5.2).

22.4.4

Tawarkan Peluang Kerja dan Pelayanan

Uskup menjemput penerima bantuan untuk bekerja atau menyediakan perkhidmatan menurut keupayaan mereka. Ini membantu ahli mengekalkan rasa hormat. Ia juga meningkatkan keupayaan mereka untuk menjadi berdikari.

22.4.5

Pastikan Maklumat tentang Bantuan Gereja Sulit

Uskup dan pemimpin bahagian lain memastikan maklumat tentang ahli yang perlukan bantuan Gereja sulit. Ini melindungi privasi dan maruah ahli.

22.5

Polisi untuk Memberi Bantuan Gereja

Para pemimpin Gereja harus mengikut polisi yang digariskan dalam bahagian ini apabila memberi bantuan melalui sumbangan puasa atau pesanan uskup untuk makanan dan barangan asas yang lain.

22.5.1

Polisi Mengenai Penerima Bantuan Gereja

22.5.1.1

Bantuan kepada Ahli Bahagian

Secara umumnya, ahli yang menerima bantuan Gereja harus tinggal di sempadan bahagian dan rekod keahlian mereka ada di dalam bahagian. Bantuan boleh diberikan tanpa mengira kekerapan ahli menghadiri pertemuan Gereja atau mengikuti standard Gereja.

22.5.1.2

Bantuan kepada Uskup dan Presiden Pancang

Kelulusan bertulis presiden pancang diperlukan sebelum uskup boleh menggunakan sumbangan puasa atau meluluskan pesanan uskup bagi diri sendiri atau keluarganya.

22.5.1.4

Bantuan kepada Orang yang Bukan Ahli Gereja

Orang yang bukan ahli Gereja biasanya dirujuk kepada sumber komuniti tempatan untuk bantuan. Dalam keadaan yang jarang berlaku, seperti yang Roh arahkan, uskup boleh bantu mereka dengan sumbangan puasa atau pesanan uskup.

22.5.2

Polisi tentang Penggunaan Sumbangan Puasa

22.5.2.1

Perubatan atau Penjagaan Kesihatan Lain

Setiap kawasan Gereja telah menetapkan had kelulusan untuk penggunaan sumbangan puasa untuk membayar perbelanjaan perubatan, gigi atau kesihatan mental.

Untuk jumlah dan garis panduan kelulusan, lihat “Penggunaan Sumbangan Puasa untuk Perbelanjaan Perubatan.”

22.5.2.3

Pembayaran Balik Sumbangan Puasa

Ahli tidak perlu membayar balik bantuan sumbangan puasa yang mereka terima dari Gereja.

22.5.2.4

Jumlah Perbelanjaan Sumbangan Puasa Bahagian

Uskup tidak perlu menghadkan bantuan sumbangan puasa bagi ahli bahagian kepada jumlah sumbangan yang dikumpulkan dalam bahagian.

22.5.3

Polisi membuat Bayaran

Jika boleh, bayaran harus dibuat terus kepada bisnes yang menyediakan barang dan perkhidmatan.

22.5.4

Polisi Pembayaran yang Akan Memanfaatkan Uskup atau Presiden Pancang

Apabila memberi bantuan sumbangan puasa kepada ahli, uskup tidak boleh menggunakan dana untuk membayar barang atau perkhidmatan dengan cara yang akan memanfaatkannya secara peribadi.

Jika bayaran sumbangan puasa bagi seorang ahli akan memanfaatkan presiden pancang atau bisnes yang dia miliki, kelulusan Presidensi Kawasan diperlukan.

22.6

Peranan Pemimpin Bahagian

22.6.1

Uskup dan Para Penasihatnya

Uskup ada mandat ilahi untuk mencari dan menjaga mereka yang memerlukan secara duniawi (lihat Ajaran dan Perjanjian 84:112). Dia membahagikan banyak kerja ini kepada presidensi Lembaga Pertolongan dan kuorum penatua. Walau bagaimanapun, tugas tertentu dibuat hanya oleh uskup. Contohnya, uskup:

  • Menentukan jenis, jumlah, dan tempoh apa-apa bantuan duniawi yang diberikan.

  • Meluluskan bantuan sumbangan puasa (lihat 22.4 dan 22.5) dan uskup memesan makanan dan barangan asas lain (lihat 22.13).

  • Secara peribadi menyemak rancangan keberdikarian ahli. Dia tugaskan pemimpin bahagian lain untuk menyusul rancangan itu jika perlu.

Uskup dan para penasihatnya ada tanggungjawab berikut:

  • Mengajarkan asas-asas dan berkat yang berkaitan dengan (1) menjaga mereka yang ada keperluan duniawi dan emosi dan (2) membina keberdikarian (lihat 22.1).

  • Mengajarkan hukum puasa dan menggalakkan para ahli untuk memberi sumbangan puasa yang murah hati (lihat 22.2.2).

  • Menyelia pengumpulan dan perakaunan sumbangan puasa (lihat 34.3.2).

22.6.2

Presidensi Lembaga Pertolongan dan Kuorum Penatua

Di bawah arahan uskup, presidensi Lembaga Pertolongan dan kuorum penatua mempunyai peranan penting dalam menjaga mereka yang memerlukan dalam bahagian (lihat 8.2.2 dan 9.2.2). Pemimpin ini mengajar ahli bahagian untuk:

  • Melayani orang yang memerlukan.

  • Patuhi hukum puasa.

  • Membina keberdikarian.

  • Meningkatkan persediaan peribadi dan keluarga.

22.6.3

Pelayan Saudara atau Saudari

Bantuan keperluan rohani dan duniawi sering bermula dengan pelayan saudara dan saudari (lihat 21.1). Mereka melaporkan keperluan orang yang mereka layani kepada presidensi kuorum penatua atau Lembaga Pertolongan dalam temu duga pelayanan dan pada masa lain. Mereka boleh berkongsi keperluan yang sulit dengan uskup.

22.7

Peranan Majlis Bahagian

Peranan penting majlis bahagian adalah untuk merancang bagaimana untuk menjaga orang yang memerlukan dan membantu mereka menjadi berdikari (lihat 4.4). Ahli majlis merancang berdasarkan maklumat dari temu duga pelayanan dan dari hubungan peribadi mereka dengan orang yang memerlukannya. Dalam membincangkan keperluan para ahli, ahli majlis menghormati hasrat sesiapa yang meminta kerahsiaan.

22.8

Peranan Majlis Remaja Bahagian

Satu tujuan majlis remaja bahagian adalah untuk membantu remaja menjadi pengikut Yesus Kristus yang ditahbiskan (lihat 29.2.6).

Di bawah bimbingan lembaga uskup, majlis remaja bahagian merancang cara untuk melayani mereka yang memerlukan dalam bahagian dan komuniti mereka.