Bantuan Pengkajian
TJS, Lukas 3


TJS, Lukas 3:4–11. Bandingkan dengan Lukas 3:4–6

Kristus akan datang seperti yang dinubuatkan untuk mendatangkan keselamatan kepada bangsa Israel dan bangsa bukan Israel. Pada zaman kegenapan, Dia akan datang lagi untuk menghakimi dunia.

4 Seperti yang tertulis di dalam kitab nabi Yesaya; dan inilah ayat-ayat itu, mengatakan, Suara seseorang berseru di padang belantara, Sediakanlah kamu jalan Tuhan, dan jadikan jalan-Nya lurus.

5 Kerana lihatlah, dan tengoklah, Dia akan datang, seperti yang tertulis di dalam kitab para nabi itu, untuk mengambil dosa-dosa dunia, dan untuk mendatangkan keselamatan kepada bangsa-bangsa kafir, untuk mengumpulkan bersama mereka yang sesat, yang merupakan kawanan domba Israel;

6 Ya, bahkan juga yang tercerai berai dan sengsara; dan juga untuk menyediakan jalan itu, dan membolehkan pengkhutbahan injil kepada bangsa bukan Israel;

7 Dan untuk menjadi suatu cahaya kepada semua yang duduk dalam kegelapan, ke bahagian-bahagian bumi yang paling jauh; untuk mendatangkan kebangkitan orang mati, dan untuk naik ke syurga, untuk berada di tangan kanan Bapa,

8 Sehingga kegenapan zaman dan hukum dan kesaksian itu akan dimeteraikan, dan kunci-kunci kerajaan itu akan diberikan kembali kepada Bapa;

9 Untuk melaksanakan keadilan kepada semua; untuk menurunkan penghakiman kepada semua, dan untuk meyakinkan semua yang fasiq tentang perbuatan fasiq mereka, yang telah mereka lakukan; dan semua ini pada hari Dia akan datang.

10 Kerana hari itu merupakan hari kekuasaan; ya, setiap lembah akan dipenuhi, dan setiap gunung dan bukit akan direndahkan, yang berliku akan diluruskan, dan jalan yang berbatu akan diratakan;

11 Dan semua makhluk akan melihat keselamatan Tuhan.

TJS, Lukas 3:19–20. Bandingkan dengan Lukas 3:10–13

Yang miskin akan dijaga menggunakan wang di dalam tabung perbendaharaan yang banyak. Para pemungut cukai tidak seharusnya mengambil lebih dari yang ditetapkan oleh undang-undang.

19 Kerana kamu sangat mengetahuinya, Teofilus, bahawa menurut cara bangsa Yahudi, dan menurut cara undang-undang mereka dalam menerima wang ke dalam tabung perbendaharaan itu, bahawa dari wang yang telah diterima dengan banyak itu, telah ditetapkan untuk yang miskin, setiap orang menurut bahagiannya;

20 Dan menurut cara ini para pemungut cukai itu melakukannya, oleh itu Yohanes berkata kepada mereka, Janganlah memungut lebih daripada yang telah ditetapkan kepadamu.