2010–2019
Remaja Puteri Dalam Pekerjaan
April 2018


Remaja Puteri dalam Pekerjaan

Setiap remaja puteri di Gereja perlu berasa dihargai, mempunyai peluang melayan, dan berasa dia boleh menyumbang sesuatu bernilai kepada pekerjaan ini.

Satu tahun lalu, dalam persidangan sesi imamat umum, Uskup Gérald Caussé menjelaskan bagaimana pemegang Imamat Harun dan Melkisedek ialah rakan kongsi yang tidak dapat dipisahkan dalam melaksanakan kerja keselamatan.1 Pesanan itu ialah berkat besar dalam membantu remaja putera Imamat Harun melihat peranan mereka dalam pembinaan kerajaan Tuhan di bumi ini. Pelayanan bergabung mereka menguatkan Gereja dan membawa penukaran hati dan komitmen yang lebih mendalam apabila mereka melihat nilai sumbangan mereka dan betapa agungnya pekerjaan ini.

Hari ini saya ingin ucapan saya menjadi tambahan kepada pesanan itu apabila saya berucap tentang remaja puteri Gereja, yang sama diperlukan dan penting dalam menyelesaikan kerja Tuhan dalam keluarga mereka dan Gereja-Nya.

Seperti Uskup Caussé, kebanyakan masa remaja saya, saya tinggal di cabang kecil Gereja, dan sering kali diminta memenuhi tugasan dan panggilan yang biasanya dilakukan oleh orang dewasa. Sebagai contoh, kita yang berada dalam program remaja sering kali memimpin dengan membantu mengorganisasi dan menjalankan aktiviti-aktiviti dan acara istimewa kita. Kita menulis drama, membentuk kumpulan nyanyian untuk menghibur di aktiviti-aktiviti cabang, dan ialah peserta-peserta penuh di setiap mesyuarat. Saya dipanggil untuk menjadi pemimpin muzik cabang dan memimpin nyanyian di pertemuan sakramen setiap minggu. Ia satu pengalaman baik untuk seorang berumur 16 tahun berdiri di hadapan semua orang dalam cabang setiap Ahad dan memimpin nyanyian rohani. Saya rasa diperlukan dan tahu saya mempunyai sesuatu untuk dikongsi. Ahli Gereja bergantung kepada saya untuk berada di sana, dan saya suka perasaan berguna. Pengalaman itu bantu membina kesaksian Yesus Kristus saya, dan sama seperti untuk Uskup Caussé, ia menjadi asas hidup saya dalam pelayanan injil.

Setiap ahli perlu tahu mereka diperlukan. Setiap orang mempunyai sesuatu penting untuk dikongsi dan mempunyai bakat dan kebolehan unik yang membantu menggerakkan pekerjaan penting ini. Remaja putera kita mempunyai tanggungjawab Imamat Harun yang diterangkan dengan jelas dalam Ajaran dan Perjanjian. Ia mungkin kurang jelas kepada remaja puteri Gereja, ibu bapa, dan para pemimpin mereka bahawa, dari masa mereka dibaptiskan, remaja puteri mempunyai tanggungjawab perjanjian untuk “berduka nestapa bersama mereka yang berduka nestapa; ya, dan menghibur mereka yang memerlukan penghiburan, dan untuk berdiri sebagai saksi bagi Tuhan di segala waktu dan dalam segala hal, dan di segala tempat di mana kamu boleh berada, bahkan sampai kematian.”2 Remaja puteri mempunyai peluang untuk memenuhi tanggungjawab ini dalam bahagian dan cabang mereka dan apabila melayan dalam presidensi kelas, majlis remaja, dan panggilan lain. Setiap remaja puteri di Gereja perlu berasa dihargai, mempunyai peluang melayan, dan berasa dia boleh menyumbang sesuatu bernilai kepada pekerjaan ini.

Dalam Buku Panduan 2, kita belajar bahawa kerja keselamatan dalam bahagian kita termasuk “kerja penginjil ahli, pengekalan penganut baru, pengaktifan ahli kurang aktif, pekerjaan bait suci dan sejarah keluarga, dan mengajar injil.”3 Pekerjaan ini dipimpin oleh para uskup beriman kita, yang memegang kunci-kunci imamat untuk bahagian mereka. Selama bertahun-tahun sekarang, presidensi kami telah bertanya soalan “Kawasan mana yang remaja puteri kita tidak harus melibatkan diri?” Jawapannya adalah mereka mempunyai sesuatu untuk dikongsi dalam semua kawasan pekerjaan ini.

Sebagai contoh, baru ini saya bertemu beberapa remaja puteri di kawasan Las Vegas yang telah dipanggil untuk melayan sebagai penasihat bait suci dan sejarah keluarga bahagian. Mereka bersemangat kerana boleh mengajar dan membantu ahli-ahli bahagian mencari nenek moyang mereka. Mereka mempunyai kemahiran komputer, telah belajar bagaimana menggunakan FamilySearch, dan gembira berkongsi pengetahuan itu dengan orang lain. Ia jelas mereka mempunyai kesaksian dan memahami kepentingan mencari nama-nama nenek moyang yang sudah meninggal dunia supaya tatacara penyelamatan penting boleh dilakukan untuk mereka di bait suci.

Beberapa bulan lalu, saya mempunyai peluang untuk menguji satu idea dengan dua remaja puteri berumur 14 tahun. Saya mendapatkan dua salinan agenda benar majlis bahagian dan memberinya kepada Emma dan Maggie. Saya minta mereka membaca agenda dan lihat jika terdapat apa-apa tindakan dari majlis bahagian itu yang mereka boleh beri pelayanan. Emma melihat satu keluarga baru telah pindah ke dalam bahagian, dan berkata dia boleh membantu mereka pindah dan kemas. Dia berfikir dia boleh menjadi kawan kepada kanak-kanak keluarga itu dan menunjuk jalan dalam sekolah baru mereka. Dia mengetahui tentang makan malam bahagian yang akan datang dan rasa terdapat beberapa cara yang dia boleh melayan.

Maggie melihat beberapa orang tua dalam bahagian yang memerlukan lawatan dan persahabatan. Dia berkata dia suka melawat dan membantu ahli-ahli yang lebih tua ini. Dia juga rasa dia boleh mengajar ahli-ahli bahagian bagaimana mendirikan dan menggunakan akaun media sosial. Tidak terdapat satu perkara pun dalam agenda itu yang kedua-dua remaja puteri ini tidak dapat bantu!

Adakah ahli-ahli majlis bahagian, atau yang memegang panggilan dalam bahagian, melihat para remaja puteri sebagai sumber berharga untuk membantu memenuhi keperluan dalam bahagian kita? Biasanya terdapat senarai panjang tentang situasi yang memerlukan seseorang melayan, dan sering kali kita hanya berfikir tentang orang dewasa dalam bahagian untuk memenuhi keperluan-keperluan itu. Sama seperti pemegang Imamat Harun kita dijemput untuk bekerja dengan bapa mereka dan lelaki lain dari Imamat Melkisedek, remaja puteri kita boleh dipanggil untuk memberi pelayanan dan melayani ahli-ahli bahagian dengan ibu mereka atau para saudari lain yang menjadi teladan mereka.Mereka berkebolehan, bersemangat, dan rela melakukan lebih daripada hanya menghadiri gereja pada hari Ahad!

Imej
Remaja puteri membantu dengan barangan runcit
Imej
Remaja puteri melayan
Imej
Remaja puteri membantu dengan komputer
Imej
Remaja puteri membersih
Imej
Remaja puteri memimpin muzik
Imej
Remaja puteri mengajar
Imej
Remaja puteri dalam pakaian Helping Hands
Imej
Remaja puteri menyambut orang di gereja

Apabila kita mempertimbangkan peranan yang akan dimainkan oleh para remaja puteri kita pada masa akan datang, kita mungkin bertanya diri tentang pengalaman yang kita boleh sediakan untuk mereka sekarang yang akan membantu dalam persediaan menjadi penginjil, sarjana injil, pemimpin dalam badan sokongan Gereja, pekerja bait suci, isteri, ibu, mentor, dan kawan. Mereka boleh bermula sekarang untuk memenuhi kebanyakan peranan-peranan itu. Remaja sering kali diminta menolong mengajar kelas mereka pada hari Ahad. Peluang tersedia sekarang untuk remaja puteri melakukan pelayanan di bait suci yang sebelum ini dilakukan oleh pekerja-pekerja tatacara atau sukarelawan apabila mereka menghadiri bait suci dengan kumpulan remaja untuk melakukan pembaptisan untuk orang mati. Kanak-kanak perempuan Sekolah Primer sekarang dijemput menghadiri pertemuan Penyediaan Bait Suci dan Imamat, yang akan membantu mereka memahami bahawa mereka juga peserta-peserta penting dalam pekerjaan diarahkan-imamat. Mereka belajar bahawa lelaki, perempuan, remaja, dan kanak-kanak ialah penerima berkat-berkat imamat dan semua boleh mengambil peranan aktif dalam menggerakkan pekerjaan diarahkan-imamat ke hadapan.

Para uskup, kami tahu tugas anda selalunya berat, tetapi sama seperti salah satu keutamaan tertinggi anda adalah memimpin kuorum Imamat Harun, Buku Panduan 2 menjelaskan bahawa “uskup dan penasihat-penasihatnya menyediakan kepimpinan imamat untuk organisasi Remaja Puteri. Mereka menjaga dan menguatkan setiap remaja puteri, bekerja bersama dengan ibu bapa dan para pemimpin Remaja Puteri dalam usaha ini.” Ia juga menyatakan, “Uskup dan penasihat-penasihatnya selalu mengambil bahagian dalam pertemuan, pelayanan, dan aktiviti-aktiviti.”4 Kami bersyukur untuk para uskup yang mengambil masa melawat kelas-kelas Remaja Puteri dan menyediakan peluang untuk remaja puteri menjadi lebih daripada penonton dalam pekerjaan. Terima kasih kerana memastikan para remaja puteri anda ialah peserta-peserta yang dihargai dalam memenuhi keperluan ahli-ahli bahagian! Peluang-peluang ini untuk melayan dalam cara-cara bermakna memberkati mereka lebih daripada aktiviti-aktiviti di mana mereka hanya dihiburkan.

Kepada anda, para remaja puteri Gereja, tahun-tahun remaja anda boleh menjadi sibuk dan sering kali mencabarkan. Kami melihat bahawa ramai daripada anda sedang bergelut dengan isu-isu nilai diri, kebimbangan, tahap tekanan yang tinggi, dan mungkin juga kemurungan. Berfikir tentang orang lain dahulu, dan bukannya tentang masalah sendiri, mungkin tidak akan selesaikan semua isu-isu ini, tetapi pelayanan selalunya boleh meringankan beban anda dan membuat cabaran anda kelihatan kurang susah. Salah satu cara terbaik untuk meningkatkan perasaan harga diri adalah menunjukkan bahawa kita mempunyai banyak nilai untuk diberi, melalui keprihatian dan pelayanan kepada orang lain.5 Saya menggalakkan anda remaja puteri untuk mengangkat tangan bersukarela dan menggunakan tangan itu untuk menjaga keperluan di sekeliling anda. Apabila anda memenuhi tanggungjawab perjanjian anda dan mengambil bahagian dalam membina kerajaan Tuhan, berkat-berkat akan mengalir ke dalam hidup dan anda akan menemui kebahagiaan penganutan yang mendalam dan abadi.

Para saudara dan saudari, remaja puteri kita sangat mengagumkan. Mereka mempunyai bakat, semangat dan tenaga tanpa terhad, dan mereka berbelas kasihan dan penyayang. Mereka mahu melayan. Mereka perlu tahu mereka dihargai dan penting dalam kerja keselamatan. Sama seperti Imamat Harun bersedia untuk pelayanan yang lebih besar apabila meningkat ke Imamat Melkisedek, remaja puteri kita sedang bersedia menjadi ahli organisasi wanita yang terbesar di dunia—Lembaga Pertolongan. Bersama, para remaja puteri dan remaja putera yang kuat dan beriman ini sedang bersedia menjadi isteri dan suami, ibu dan bapa yang akan membesarkan keluarga yang layak kerajaan selestial Tuhan.

Saya bersaksi pekerjaan Bapa Syurgawi kita adalah untuk mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi untuk anak-anak-Nya.6 Para remaja puteri berharga kita mempunyai peranan penting dalam menolong mencapai pekerjaan besar ini. Dalam nama Yesus Kristus, amin.