Buku Panduan dan Panggilan
3. Asas-asas Imamat


“3. Asas-asas Imamat,” Pilihan dari Buku Panduan Umum (2023).

“3. Asas-asas Imamat,” Pilihan dari Buku Panduan Umum

Imej
keluarga berjalan dekat bait suci

3.

Asas-asas Imamat

3.0

Pengenalan

Imamat adalah wewenang dan kuasa Tuhan. Melalui imamat, Bapa Syurgawi melaksanakan pekerjaan-Nya “untuk mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia” (Musa 1:39). Tuhan memberikan wewenang dan kuasa kepada putera dan puteri-Nya di bumi untuk membantu menjalankan pekerjaan ini (lihat bab 1).

3.2

Berkat-berkat Imamat

Melalui perjanjian dan tatacara imamat, Tuhan menjadikan berkat besar tersedia kepada semua anak-Nya. Berkat-berkat ini termasuk:

  • Pembaptisan dan keahlian dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.

  • Kurnia Roh Kudus.

  • Mengambil sakramen.

  • Wewenang dan kuasa untuk melayani dalam panggilan dan tugasan Gereja.

  • Menerima berkat bapa bangsa dan berkat imamat lain seperti penyembuhan, penghiburan, dan bimbingan.

  • Menerima anugerahan kuasa Tuhan dalam bait suci.

  • Dimeteraikan kepada ahli keluarga untuk keabadian.

  • Janji kehidupan abadi.

3.3

Imamat Melkisedek dan Imamat Harun

Di Gereja, imamat terbahagi kepada dua bahagian: Imamat Melkizedek dan Imamat Harun (lihat Ajaran dan Perjanjian 107:1).

3.3.1

Imamat Melkisedek

Imamat Melkisedek adalah “Imamat Kudus, menurut Tarekat Putera Tuhan” (Ajaran dan Perjanjian 107:3). Ia adalah kuasa melaluinya putera dan puteri Tuhan boleh menjadi seperti-Nya (lihat Ajaran dan Perjanjian 84:19–21; 132:19–20).

Melalui wewenang inilah, pemimpin Gereja membimbing dan menjalankan semua pekerjaan rohani Gereja (lihat Ajaran dan Perjanjian 107:18).

Presiden pancang ialah imam tinggi yang memimpin dalam pancang (lihat Ajaran dan Perjanjian 107:8, 10; lihat juga bab 6 dalam buku panduan ini). Uskup ialah imam tinggi yang memimpin dalam bahagian (lihat Ajaran dan Perjanjian 107:17; lihat juga bab 7 dalam buku panduan ini).

Untuk maklumat tentang jawatan dan tanggungjawab Imamat Melkisedek, lihat 8.1.

3.3.2

Imamat Harun

Imamat Harun adalah “tambahan kepada … Imamat Melkisedek” (Ajaran dan Perjanjian 107:14). Ini termasuk kunci-kunci:

  • Pelayanan para malaikat.

  • Injil pertaubatan.

  • Pelayanan tatacara luaran, termasuk pembaptisan untuk pengampunan dosa.

(Lihat Ajaran dan Perjanjian 13:1; 84:26–27; 107:20.)

Uskup adalah presiden bagi Imamat Harun dalam bahagian (lihat Ajaran dan Perjanjian 107:15).

Untuk maklumat tentang jawatan dan tanggungjawab Imamat Harun, lihat 10.1.3.

3.4

Wewenang Imamat

Kuasa imamat adalah wewenang untuk mewakili Tuhan dan bertindak atas nama-Nya. Di Gereja, semua wewenang imamat dilaksanakan di bawah arahan mereka yang memegang kunci-kunci imamat.

3.4.1

Kunci-kunci Imamat

Kunci-kunci imamat adalah wewenang untuk mengarahkan penggunaan imamat bagi pihak anak-anak Tuhan.

3.4.1.1

Mereka yang Memegang Kunci-kunci Imamat

Tuhan telah menganugerahkan setiap Rasul-Nya semua kunci yang berkaitan dengan kerajaan Tuhan di bumi. Rasul hidup yang senior, Presiden Gereja, adalah satu-satunya orang di bumi yang diberi kuasa untuk menggunakan semua kunci imamat itu (lihat Ajaran dan Perjanjian 81:1–2; 107:64–67, 91–92; 132:7).

Di bawah arahan Presiden Gereja, pemimpin imamat diberikan kunci-kunci agar mereka boleh memimpin dalam tanggungjawab mereka. Pemimpin-pemimpin ini termasuklah:

  • Presiden pancang dan daerah.

  • Uskup dan presiden cabang.

  • Presiden Kuorum Imamat Melkisedek dan Imamat Harun.

  • Presiden bait suci.

  • Presiden misi dan presiden pusat latihan misionari.

Para pemimpin ini menerima kunci-kunci imamat ketika mereka ditetapkan kepada panggilan mereka.

Kunci-kunci imamat tidak diberikan kepada orang lain, termasuk penasihat kepada pemimpin imamat tempatan atau presiden organisasi Gereja. Presiden organisasi Gereja memimpin di bawah arahan mereka yang memegang kunci-kunci imamat (lihat 4.2.4).

3.4.1.2

Aturan Pekerjaan Tuhan

Kunci-kunci imamat memastikan bahawa pekerjaan penyelamatan dan permuliaan dilaksanakan dengan teratur (lihat Ajaran dan Perjanjian 42:11; 132:8). Mereka yang memegang kunci-kunci imamat mengarah pekerjaan Tuhan dalam skop tanggungjawab mereka sendiri. Wewenang memimpin ini hanya sah untuk tanggungjawab khusus panggilan pemimpin itu. Apabila pemimpin imamat dilepaskan dari panggilan mereka, mereka tidak lagi memegang kunci-kunci tersebut.

3.4.2

Penganugerahan dan Pentahbisan Imamat

Di bawah arahan mereka yang memegang kunci imamat, Imamat Harun dan Imamat Melkisedek dianugerahkan kepada ahli Gereja lelaki yang layak (lihat Ajaran dan Perjanjian 84:14–17). Setelah imamat yang sesuai dianugerahkan, orang itu ditahbiskan ke jawatan dalam imamat itu, seperti diaken atau penatua. Seorang pemegang imamat menggunakan imamat sesuai dengan hak dan tugas jawatan itu (lihat Ajaran dan Perjanjian 107:99).

Untuk maklumat lanjut tentang penganugerahan dan pentahbisan imamat, lihat 8.1.1 dan 18.10.

3.4.3

Penugasan Wewenang Imamat untuk Melayani dalam Gereja

3.4.3.1

Penetapan

Ketika lelaki dan wanita ditetapkan di bawah arahan mereka yang memegang kunci imamat, mereka diberi wewenang daripada Tuhan untuk bertindak dalam panggilan itu. Apabila mereka dilepaskan dari sesuatu panggilan, mereka tidak lagi memiliki wewenang yang berkaitan dengannya.

Semua ahli Gereja yang ditetapkan untuk melayani diberi wewenang dan tanggungjawab ilahi untuk bertindak dalam panggilan mereka. Contohnya:

  • Seorang wanita yang dipanggil dan ditetapkan oleh uskup sebagai presiden Lembaga Pertolongan bahagian diberi wewenang untuk mengarah pekerjaan Lembaga Pertolongan dalam bahagian.

Semua yang dipanggil dan ditetapkan melayani di bawah arahan pemimpin yang memimpin mereka (lihat 3.4.1.2).

3.4.3.2

Tugasan

Pemimpin Gereja yang memimpin boleh mengagihkan wewenang dengan memberi tugasan. Apabila lelaki atau wanita menerima tugasan ini, mereka diberikan wewenang daripada Tuhan untuk bertindak. Contohnya:

  • Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul menugaskan wewenang kepada ahli Tujuh Puluh yang ditugaskan untuk melayani kawasan dan untuk memimpin di persidangan pancang.

  • Wewenang ditugaskan kepada ahli Gereja untuk melayani sebagai pelayan rohani saudara dan saudari.

Wewenang yang ditugaskan dengan tugasan adalah terhad kepada tanggungjawab dan tempoh tugasan tertentu.

3.4.4

Menggunakan Wewenang Imamat dengan Soleh

Wewenang ini hanya boleh digunakan dengan kesolehan (lihat Ajaran dan Perjanjian 121:36). Ia digunakan dengan dorongan, kepanjangsabaran, kelemah-lembutan dan kelembutan hati, kasih dan kebaikan hati (lihat Ajaran dan Perjanjian 121:41–42).

Mereka yang menjalankan wewenang imamat tidak boleh memaksa kehendak mereka pada orang lain. Mereka tidak boleh menggunakan imamat untuk kepentingan diri.

3.5

Kuasa Imamat

Kuasa imamat adalah kuasa di mana Tuhan memberkati anak-anak-Nya. Kuasa imamat Tuhan mengalir kepada semua ahli Gereja—wanita dan lelaki—selagi mereka mentaati perjanjian yang mereka telah buat dengan-Nya. Ahli-ahli membuat perjanjian ini ketika mereka menerima tatacara imamat. (Lihat Ajaran dan Perjanjian 84:19–20.)

Berkat-berkat kuasa imamat yang ahli-ahli boleh menerima termasuk:

  • Bimbingan untuk kehidupan mereka.

  • Ilham untuk tahu cara melayani ahli keluarga dan orang lain.

  • Kekuatan untuk menahan dan mengatasi cabaran.

  • Kurnia-kurnia Roh untuk mengembangkan keupayaan mereka.

  • Wahyu untuk tahu bagaimana memenuhi pekerjaan yang ditahbiskan, ditetapkan, atau ditugaskan.

  • Bantuan dan kekuatan untuk menjadi lebih seperti Yesus Kristus dan Bapa Syurgawi.

3.5.1

Perjanjian

Perjanjian adalah satu janji kudus di antara Tuhan dan anak-anak-Nya. Tuhan memberikan syarat untuk perjanjian, dan anak-anak-Nya bersetuju untuk mematuhi syarat-syarat tersebut. Tuhan berjanji untuk memberkati anak-anak-Nya jika mereka memenuhi perjanjian itu.

Semua yang bertahan sampai akhir dalam mentaati perjanjian mereka akan menerima kehidupan abadi (lihat 2 Nefi 31:17–20; Ajaran dan Perjanjian 14:7).

Ibu bapa, pemimpin Gereja, dan yang lain membantu individu mempersiapkan diri untuk membuat perjanjian apabila mereka menerima tatacara injil. Mereka memastikan bahawa orang itu memahami perjanjian yang dia akan buat. Setelah seseorang membuat perjanjian, mereka membantu dia mentaatinya. (Lihat Mosia 18:8–11, 23–26.)

3.5.2

Tatacara-tatacara

Tatacara adalah tindakan kudus yang dilaksanakan melalui wewenang imamat.

Dalam banyak tatacara, para individu membuat perjanjian dengan Tuhan. Contoh termasuk tatacara pembaptisan, sakramen, anugerahan, dan pemeteraian perkahwinan.

Tatacara penyelamatan dan permuliaan adalah penting untuk kehidupan abadi. Untuk maklumat lanjut, lihat 18.1.

3.6

Imamat dan Rumah

Semua ahli Gereja yang mentaati perjanjian mereka—wanita, lelaki, dan kanak-kanak—diberkati dengan kuasa imamat Tuhan di rumah mereka untuk menguatkan diri dan keluarga mereka (lihat 3.5). Kuasa ini akan membantu ahli-ahli dalam melakukan pekerjaan penyelamatan dan permuliaan Tuhan dalam kehidupan peribadi dan keluarga mereka (lihat 2.2).

Para lelaki yang memegang Imamat Melkisedek boleh memberikan berkat imamat kepada ahli keluarga untuk tujuan arahan, penyembuhan, dan penghiburan. Apabila diperlukan, ahli Gereja juga boleh meminta berkat ini daripada ahli keluarga yang terdekat, pelayan saudara, atau pemimpin Gereja tempatan.