Panggilan Misi
Bab 12: Membantu Orang Bersedia untuk Pembaptisan dan Penetapan


“Bab 12: Membantu Orang Bersedia untuk Pembaptisan dan Penetapan,” Mengkhutbahkan Injil-Ku: Panduan untuk Berkongsi Injil Yesus Kristus (2023)

“Bab 12,” Mengkhutbahkan Injil-Ku

Imej
Yohanes Pembaptis Membaptiskan Yesus, oleh Greg K. Olsen

Bab 12

Membantu Orang Bersedia untuk Pembaptisan dan Penetapan

Pertimbangkanlah Ini

  • Bagaimanakah saya boleh membantu orang bersedia untuk pembaptisan dan penetapan?

  • Bagaimanakah saya menjalankan temu duga pembaptisan?

  • Bagaimanakah satu acara pembaptisan yang mengangkat semangat dirancang dan dijalankan?

  • Mengapakah penting untuk melengkapkan dan menghantar Borang Pembaptisan dan Penetapan?

  • Bagaimanakah saya boleh menyokong ahli-ahli baharu?

Pembaptisan ialah satu tatacara harapan yang menggembirakan yang membawa kuasa Tuhan ke dalam kehidupan seseorang. Kuasa itu datang melalui penerimaan kurnia Roh Kudus. Ia akan berterusan semasa seseorang bertahan sampai akhir dalam mentaati perjanjian pembaptisan.

Tujuan pengajaran anda adalah untuk membantu orang lain mengembangkan iman mereka kepada Yesus Kristus, bertaubat akan dosa-dosa mereka, dan dibaptiskan dengan hasrat tulus untuk mengikuti Kristus. Seperti Mormon ajarkan, “buah pertama dari pertaubatan adalah pembaptisan” (Moroni 8:25). Apabila orang yang anda ajar mentaati komitmen yang anda jemput mereka buat, mereka akan bersedia untuk membuat dan mentaati perjanjian dengan Tuhan dan menikmati berkat-berkat yang dijanjikan.

Pembaptisan dan penetapan bukanlah destinasi terakhir. Sebaliknya, tatacara-tatacara ini adalah pintu gerbang yang anak-anak Tuhan lalui untuk memasuki jalan perjanjian. Jalan ini membawa kepada tatacara, perjanjian, dan berkat-berkat bahagia bait suci—dan akhirnya kepada kehidupan abadi (lihat 3 Nefi 11:20–40).

Kelayakan untuk Pembaptisan dan Penetapan

Tuhan menjemput semua anak-anak-Nya untuk datang kepada Dia melalui pembaptisan dan penetapan (lihat 2 Nefi 26:33; 3 Nefi 27:20). Kelayakan untuk pembaptisan adalah sama bagi semua.

Dari Ajaran dan Perjanjian 20:37:

  • Rendahkan diri di hadapan Tuhan.

  • Berhasrat untuk dibaptiskan.

  • Datang dengan hati yang hancur dan jiwa yang menyesal.

  • Bertaubat dari semua dosa anda dan berdoa untuk keampunan.

  • Bersedia untuk mengambil ke atas diri anda nama Kristus.

  • Tekad untuk melayani Kristus sampai akhir.

  • Nyatakan melalui pekerjaan anda bahawa anda telah menerima Roh Kristus bagi pengampunan dosa-dosa anda.

Dari Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul:

  • Membalas dengan sesuai terhadap soalan temu duga pembaptisan.

  • Menerima semua pelajaran misionari.

  • Bertemu dengan presiden kuorum penatua, presiden Lembaga Pertolongan, dan uskup.

  • Menghadiri beberapa pertemuan sakramen.

Syarat ini adalah petunjuk proses penukaran hati rohani. Apabila orang memenuhi kelayakan tersebut, mereka bersedia untuk tatacara kudus pembaptisan dan penetapan.

Apabila seseorang telah menetapkan tarikh pembaptisan yang pasti:

  • Kaji semula catatannya dengan teliti dalam aplikasi Mengkhutbahkan Injil-Ku untuk memastikan bahawa anda telah mengajar ajaran dan perintah yang diperlukan.

  • Cipta satu jadual bagi acara-acara yang diperlukan untuk bersedia bagi pembaptisan dan penetapan. Kaji semula jadual ini dengan orang tersebut.

  • Jika boleh, jemput orang itu untuk menghadiri satu acara pembaptisan sebelum pembaptisannya sendiri.

Kajian Kitab Suci

Kaji ayat-ayat suci berikut. Bagaimanakah anda boleh membantu mereka yang anda ajar bersedia untuk pembaptisan dan penetapan? Catatkan apa yang anda pelajari dari kajian anda.

Imej
Gentle Healer (Penyembuh yang Lembut), oleh Greg K. Olsen

Bantu Orang Bersedia untuk Temu Duga Pembaptisan Mereka

Temu duga pembaptisan adalah satu langkah penting untuk memastikan seseorang memenuhi kelayakan Tuhan untuk pembaptisan. Jadualkan satu temu duga pembaptisan hanya apabila seseorang bersedia.

Bantu orang bersedia untuk temu duga ini supaya mereka berasa selesa tentangnya. Jelaskan apa yang akan berlaku. Beritahu mereka bahawa mereka akan bertemu dengan seorang misionari lain yang seperti anda.

Jelaskan tujuan temu duga itu. Ini peluang mereka untuk bersaksi bahawa mereka telah “bertaubat dari semua dosa mereka [dan] menyatakan melalui pekerjaan mereka bahawa mereka telah menerima Roh Kristus bagi pengampunan dosa-dosa mereka” (Ajaran dan Perjanjian 20:37).

Kongsi soalan-soalan yang akan ditanya oleh penemu duga (lihat di bawah). Ini membantu orang itu bersedia untuk menjawabnya.

Pastikan orang itu memahami apa yang anda telah ajar dan perjanjian yang dia akan buat semasa pembaptisan. Perjanjian ini adalah untuk:

  • Bersedia untuk mengambil ke atas diri dia nama Yesus Kristus.

  • Mematuhi perintah-perintah Tuhan.

  • Melayani Tuhan dan orang lain.

  • Bertahan sampai akhir. (Lihat pelajaran 4.)

Bersaksi tentang berkat-berkat besar yang datang dari pembaptisan dan penetapan dan mematuhi perjanjian pembaptisan. Berkat-berkat ini termasuk pengampunan dosa-dosa dan kurnia Roh Kudus.

Menjalankan Temu Duga Pembaptisan

Setiap orang yang ingin dibaptiskan akan ditemu duga oleh seorang pemimpin imamat yang berwewenang. Dalam satu misi, orang ini adalah pemimpin daerah atau zon. Dia menjalankan temu duga untuk:

  • Orang yang berumur 9 tahun dan ke atas yang tidak pernah dibaptis dan ditetapkan.

  • Kanak-kanak yang berumur 8 tahun dan ke atas yang ibu bapanya bukan ahli Gereja.

  • Kanak-kanak yang berumur 8 tahun dan ke atas yang ada seorang ibu atau bapa yang juga akan dibaptis dan ditetapkan.

Garis panduan bagi penemu duga disediakan di bawah.

  • Adakan temu duga di tempat yang selesa dan senyap di mana Roh dapat dirasai.

  • Apabila menemu duga seorang kanak-kanak, remaja, atau wanita, rakan penemu duga harus berada berdekatan di bilik bersebelahan, ruang masuk, atau ruangan depan. Jika orang itu hasratkan, seorang dewasa lain boleh dijemput untuk menyertai temu duga itu. Para misionari harus mengelak semua keadaan yang boleh menimbulkan salah faham.

  • Mula dengan doa.

  • Bantu orang itu berasa selesa.

  • Jadikan temu duga itu satu pengalaman yang meningkatkan rohani.

  • Pastikan orang itu memahami tujuan temu duga.

  • Tanya soalan temu duga pembaptisan yang disenaraikan di bawah. Sesuaikan soalan-soalan itu menurut umur, kematangan, dan keadaan seseorang jika perlu.

  • Menjawab soalan-soalan orang itu.

  • Kaji semula maklumat Borang Pembaptisan dan Penetapan untuk ketepatan. Jika orang itu di bawah umur, seorang ibu atau bapa atau penjaga harus menanda tangan borang itu sebelum pembaptisan (lihat bahagian “Pembaptisan dan Penetapan: Soalan dan Jawapan” dalam bab ini).

  • Jemput orang itu untuk memberi kesaksian atau berkongsi perasaannya.

  • Nyatakan penghargaan kerana dapat bertemu dengan orang tersebut.

Soalan-soalan Temu Duga Pembaptisan

Soalan temu duga pembaptisan adalah seperti berikut:

  1. Adakah anda percaya bahawa Tuhan ialah Bapa kita yang Abadi? Adakah anda percaya bahawa Yesus Kristus ialah Putera Tuhan dan Juruselamat dan Penebus dunia?

  2. Adakah anda percaya bahawa Gereja dan injil Yesus Kristus telah dipulihkan melalui Nabi Joseph Smith? Adakah anda percaya bahawa [Presiden Gereja sekarang] adalah nabi Tuhan? Apakah maksud ini bagi anda?

  3. Apakah maksudnya bagi anda untuk bertaubat? Adakah anda rasa bahawa anda telah bertaubat daripada dosa-dosa lepas?

  4. Anda telah diajar bahawa keahlian dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir termasuk menjalankan standard injil. Apakah yang anda faham tentang standard-standard berikut? Adakah anda sudi mematuhinya?

    • Hukum kemurnian, yang melarang perhubungan seksual di luar ikatan perkahwinan yang sah di antara seorang lelaki dan seorang wanita

    • Hukum Persepuluhan

    • Kata-kata Bijaksana

    • Menguduskan hari Sabat, termasuk mengambil sakramen setiap minggu dan melayani orang lain

  5. Pernahkah anda melakukan jenayah yang serius? Jika ya, adakah anda sekarang berada dalam tempoh percubaan atau parol?

  6. Pernahkah anda mengambil bahagian dalam pengguguran? (Lihat Buku Panduan Umum, 38.6.1.)

  7. Apabila anda dibaptiskan, anda berjanji dengan Tuhan bahawa anda akan mengambil ke atas diri anda nama Kristus, melayani orang lain, berdiri sebagai saksi Tuhan pada setiap masa, dan mematuhi perintah-perintah-Nya sepanjang hidup anda. Adakah anda bersedia untuk membuat perjanjian ini dan berusaha untuk setia kepadanya?

Untuk arahan jika orang itu menjawab ya bagi soalan 5 atau 6, lihat General Handbook, 38.2.8.7 dan 38.2.8.8.

Biasakan diri dengan polisi dan garis panduan yang berkaitan dengan pembaptisan dan penetapan dalam Pilihan dari Buku Panduan, 38.2. Beberapa polisi melibatkan keadaan istimewa yang anda mungkin hadapi.

Selepas temu duga, misionari dan calon menyertai semula dengan para misionari yang lain. Jika orang itu bersedia untuk pembaptisan, misionari menjelaskan apa yang akan berlaku semasa acara pembaptisan. Mereka juga menjelaskan bahawa penetapan biasanya berlaku dalam pertemuan sakramen bahagian di mana orang itu tinggal.

Apabila Pembaptisan Perlu Ditangguhkan

Kadangkala pembaptisan perlu ditangguhkan kerana cabaran berkaitan kesaksian atau kelayakan. Apabila ini berlaku, kendali situasi dengan sensitif dan sulit. Bantu orang itu faham cara bersedia untuk pembaptisan pada tarikh yang akan datang.

Galakkan orang itu dan berikan harapan dalam Kristus dan Korban Tebusan-Nya. Minta ahli-ahli bahagian untuk menyediakan persahabatan. Terus mengajarkan asas-asas injil sehingga orang itu bersedia untuk dibaptis dan ditetapkan. Tunggu sehingga masa itu untuk menjadualkan tarikh pembaptisan baharu.

Pembaptisan dan Penetapan: Soalan dan Jawapan

Adakah saya perlukan kebenaran untuk membaptiskan seseorang yang di bawah umur? Gereja mengambil berat tentang kesejahteraan kanak-kanak dan keharmonian persekitaran rumah mereka. Seorang bawah umur, seperti yang ditakrifkan oleh undang-undang tempatan, boleh dibaptiskan apabila kedua-dua syarat berikut dipenuhi:

  1. Ibu bapa penjaga atau penjaga yang sah memberi kebenaran bertulis. Mereka harus mempunyai pemahaman umum tentang ajaran yang anak mereka akan diajar sebagai ahli Gereja. Mereka juga harus sedia menyokong kanak-kanak itu dalam membuat dan mentaati perjanjian pembaptisan.

  2. Orang yang menjalankan temu duga menilai jika kanak-kanak itu memahami perjanjian pembaptisan. Dia harus berasa yakin bahawa kanak-kanak itu akan berusaha mentaati perjanjian ini dengan mematuhi perintah-perintah, termasuk menghadiri pertemuan-pertemuan Gereja.

Adakah saya perlukan persetujuan pasangan untuk membaptis seorang suami atau isteri? Ya. Orang yang sudah berkahwin mesti mempunyai persetujuan daripada pasangannya sebelum dibaptiskan.

Jika ibu atau bapa dalam keluarga tidak bersedia untuk pembaptisan, haruskah saya membaptiskan ahli keluarga yang lain atau menunggu sehingga ibu atau bapa itu bersedia? Adalah lebih baik ahli keluarga dibaptiskan bersama. Namun, jika ada yang belum bersedia, ahli keluarga individu boleh dibaptiskan selagi kebenaran yang diperlukan diberi.

Haruskah pembaptisan ahli keluarga ditunda sehingga si bapa boleh menerima Imamat Harun dan melaksanakan pembaptisan itu sendiri? Tidak. Saudara yang baru dibaptiskan tidak menerima Imamat Harun pada hari mereka dibaptiskan. Mereka perlu ditemu duga oleh uskup dan disokong oleh ahli-ahli bahagian.

Bolehkah saya mengajar dan membaptiskan seseorang yang telah melepaskan keahlian Gereja atau keahliannya ditarik? Orang yang telah melepaskan keahlian Gereja atau keahliannya telah ditarik balik boleh dibaptiskan melalui pembaptisan dan penetapan. Jika mereka ingin diajar, berunding dengan pemimpin imamat tempatan dan presiden misi anda tentang peranan anda.

Dalam pancang, kemasukan semula melalui pembaptisan adalah di bawah arahan uskup atau presiden pancang. Dalam misi, kemasukan semula berada di bawah arahan presiden misi. Para pemimpin ini akan menerima bimbingan daripada Presidensi Utama jika perlu. Para misionari tidak menjalankan temu duga pembaptisan ini atau mengisi Borang Pembaptisan dan Penetapan. Namun, seorang misionari boleh dijemput untuk melaksanakan pembaptisan.

Bekas ahli Gereja yang menyertai semula bukanlah penganut baharu. Walaupun demikian, para misionari kadangkala boleh mempunyai peranan penting dalam membantu mereka menikmati berkat-berkat keahlian semula Gereja.

Bagaimanakah jika seseorang mempunyai tarikh pembaptisan yang dijadualkan tetapi tidak mentaati semua komitmen? Tunggu untuk menjadualkan temu duga pembaptisan sehingga orang itu mentaati komitmen dan memenuhi kelayakan pembaptisan. Lihat “Apabila Pembaptisan Perlu Ditangguhkan” dalam bab ini.

Bagaimanakah jika satu pasangan ingin dibaptiskan tetapi masih tinggal bersama? Pasangan yang hidup bersama di luar perkahwinan yang sah di antara seorang lelaki dan seorang wanita tidak boleh dibaptiskan sehingga mereka mematuhi hukum kemurnian. Ini bererti tidak lagi tinggal bersama—sama ada sebagai pasangan heteroseksual atau pasangan sesama jantina—atau, bagi seorang lelaki dan seorang wanita, ia bermaksud untuk berkahwin. Ia juga termasuk menjalankan iman menuju pertaubatan seperti yang digambarkan dalam Ajaran dan Perjanjian 20:37. Perkahwinan di antara seorang lelaki dan seorang wanita adalah bahagian penting dalam rancangan Tuhan.

Soalan 5 dan 6 dalam temu duga pembaptisan bertanya jika seseorang pernah melakukan jenayah serius atau melakukan pengguguran. Apakah yang harus saya lakukan jika seseorang menjawab “ya” kepada salah satu soalan tersebut? Jika anda menyedari salah satu situasi ini semasa temu duga pembaptisan, jangan bertanya tentang butirannya. Jangan berjanji bahawa orang itu akan diluluskan untuk pembaptisan. Sebaliknya, tunjukkan kasih dan jelaskan bahawa seseorang yang lebih matang dan berpengalaman akan bercakap dengan orang itu dan membantu.

Hantar permohonan temu duga pembaptisan kepada presiden misi anda. Dia atau salah seorang penasihatnya akan bertemu dengan orang itu. Lihat Pilihan dari Buku Panduan Umum, 38.2.

Apakah yang harus saya lakukan jika rekod keahlian telah dicipta sebelum saya menghantar Borang Pembaptisan dan Penetapan? Hubungi presiden misi anda untuk arahan.

Kajian Peribadi

Fikirkan bagaimana perasaan anda jika anda ditemu duga. Pertimbangkan soalan-soalan berikut dan catatkan tanggapan anda.

  • Bagaimanakah temu duga itu tidak selesa bagi anda? Apakah yang penemu duga boleh lakukan atau katakan untuk menenangkan anda?

  • Bagaimanakah anda mahu penemu duga berinteraksi dengan anda?

  • Bagaimanakah anda mahu penemu duga membalas jika anda menyatakan keraguan atau salah faham atau jika anda mengakui dosa-dosa serius?

Imej
pembaptisan

Acara Pembaptisan

Acara pembaptisan dan penetapan harus menjadi penekanan rohani bagi seorang ahli baharu. Acara pembaptisan harus dijadualkan sebaik sahaja seseorang memenuhi kelayakan untuk pembaptisan. Jelaskan apa yang dirancang dan mengapa. Bincangkan pakaian yang betul, termasuk bagaimana orang itu akan diberikan pakaian putih untuk dipakai semasa pembaptisan.

Acara pembaptisan untuk penganut baharu dirancang di bawah bimbingan lembaga uskup. Pemimpin misi bahagian (jika seseorang dipanggil) atau ahli dari presidensi kuorum penatua yang memimpin usaha misionari akan merancang dan mengendali acara tersebut. Dia akan selaraskan dengan misionari sepenuh masa. Acara pembaptisan haruslah sederhana, ringkas dan meningkatkan rohani.

Jemput seorang ahli lembaga uskup, seorang ahli presidensi Lembaga Pertolongan dan seorang ahli presidensi kuorum penatua (jika dia tidak mengendali) untuk menghadiri upacara pembaptisan. Jika sesuai, jemput pemimpin organisasi lain, pemimpin remaja dan pelayan saudara dan saudari (jika ditugaskan). Bekerjasama dengan orang yang dibaptiskan untuk menjemput kawan-kawan dan saudara-mara untuk menghadiri acara pembaptisan dan penetapan.

Pertimbangkan untuk menjemput orang lain yang anda ajar. Pengalaman-pengalaman ini akan membantu mereka merasai Roh dan belajar lebih tentang injil. Selepas upacara itu, buat susulan untuk membincangkan pengalaman mereka dan menjemput mereka untuk diajar.

Acara pembaptisan boleh termasuk yang berikut:

  1. Muzik Pendahuluan

  2. Ucapan aluan ringkas daripada pemimpin imamat yang mengendalikan acara itu (seorang ahli lembaga uskup harus mempengerusi jika boleh)

  3. Lagu rohani dan doa pembukaan

  4. Satu atau dua pesanan pendek tentang subjek injil, seperti pembaptisan dan kurnia Roh Kudus

  5. Satu muzik pilihan

  6. Pembaptisan

  7. Masa ketakziman ketika mereka yang mengambil bahagian dalam pembaptisan menukar pakaian kering. (Nyanyian Rohani atau lagu Sekolah Primer boleh dimainkan atau dinyanyikan pada masa ini. Atau para misionari boleh memberi satu persembahan injil yang ringkas.)

  8. Berkongsi kesaksian dari penganut baharu, jika mahu

  9. Lagu rohani dan doa penutupan

  10. Muzik Penutupan

Jika anda menjadualkan pembaptisan pada hari Ahad, pilih satu masa yang tidak bercanggah dengan pertemuan hari Ahad yang tetap.

Imej
penetapan

Penetapan

Seseorang menerima tatacara penetapan selepas dia dibaptiskan (lihat Ajaran dan Perjanjian 20:41). Seorang penganut baharu dianggap sebagai seorang ahli Gereja selepas tatacara-tatacara pembaptisan dan penetapan telah lengkap dan direkod dengan betul.

Penetapan adalah di bawah arahan uskup. Namun, dia tidak menjalankan temu duga berasingan untuk penetapan.

Bekerja rapat dengan uskup dan pemimpin misi bahagian (jika seseorang dipanggil) untuk memastikan penganut baharu ditetapkan. Penetapan itu harus berlaku secepatnya jika sesuai selepas pembaptisan, sebaik-baiknya hari Ahad yang akan datang. Namun, uskup boleh membenarkan penetapan untuk berlaku pada acara pembaptisan sebagai pengecualian (lihat Pilihan dari Buku Panduan Umum, 18.8).

Penganut baharu biasanya ditetapkan dalam pertemuan sakramen bahagian di mana mereka tinggal. Uskup biasanya menjemput para misionari elder yang melayan dalam bahagian untuk mengambil bahagian dalam penetapan itu. Jika seorang misionari melaksanakan penetapan, dia juga perlukan kelulusan daripada presiden misi (lihat Buku Panduan Umum, 18.8.1). Sekurang-kurangnya seorang ahli lembaga uskup menyertai.

Lengkapkan Borang Pembaptisan dan Penetapan

Adalah penting bahawa rekod keahlian dicipta dengan segera selepas seseorang dibaptiskan dan ditetapkan. Mengenai rekod-rekod sedemikian pada zamannya, Moroni menulis bahawa ahli-ahli baharu “dihitung di kalangan umat gereja Kristus; dan nama mereka telah dicatat, agar mereka boleh diingati dan dipelihara oleh firman Tuhan yang baik, untuk memelihara mereka di dalam jalan yang benar” (Moroni 6:4).

Semasa anda mengajar seseorang yang sedang bersedia untuk dibaptiskan, mula mengisi Borang Pembaptisan dan Penetapan dalam aplikasi Mengkhutbahkan Injil-Ku. Jelaskan bahawa borang ini akan digunakan untuk mencipta rekod keahlian. Rekod ini akan mengandungi maklumat penting tentang tatacara-tatacara yang orang itu terima. Apabila ahli Gereja berpindah, rekod keahlian mereka dihantar ke bahagian baharu supaya para pemimpin tempatan dan ahli boleh menyokong mereka.

Sebaik sahaja ahli baharu itu dibaptiskan dan ditetapkan, kemas kini borang itu dengan maklumat tentang setiap tatacara, termasuk siapa yang melaksanakannya. Apabila anda telah melengkapkan borang itu, catatkan maklumat dalam aplikasi Mengkhutbahkan Injil-Ku dan hantarkannya kepada kerani bahagian secara elektronik. Sebaik sahaja kerani menerima borang itu, dia menyemaknya dan mencipta rekod keahlian.

Selepas rekod keahlian dicipta, kerani menyediakan satu Sijil Pembaptisan dan Penetapan. Uskup menandatangani sijil ini dan berikan kepada orang itu.

Nama dan jantina pada rekod keahlian dan sijil harus padan dengan sijil kelahiran, pendaftaran kelahiran sivil, atau nama sah semasa.

Kajian Peribadi atau Dengan Rakan

Kaji Mosia 6:1–3 dan Moroni 6:1–4. Bagaimanakah petikan-petikan ini berkaitan dengan menyimpan rekod pembaptisan dan penetapan yang tepat?

Selepas Pembaptisan dan Penetapan

Terus Melayani

Teruskan persahabatan dan menyokong ahli-ahli baharu selepas mereka dibaptiskan dan ditetapkan. Bantu mereka menghadiri gereja dan membina hubungan dengan ahli-ahli. Baca Kitab Mormon bersama mereka, dan bantu mereka berkongsi injil dengan ahli keluarga dan kawan-kawan. Memperkenalkan mereka kepada buku kecil My Covenant Path (Jalan Perjanjian Saya). Teruskan penggunaan aplikasi Mengkhutbahkan Injil-Ku untuk mencatat kemajuan mereka, seperti kehadiran mereka ke pertemuan sakramen dan pelajaran yang mereka telah terima.

Imej
para lelaki memeluk

Selepas penetapan, ajarkan pelajaran-pelajaran misionari sekali lagi. Anda mengetuai pengajaran itu. Namun, selaraskan dengan pemimpin bahagian supaya misionari bahagian atau ahli-ahli lain mengambil bahagian. Semasa anda mengajar, galakkan ahli-ahli baharu untuk mentaati semua komitmen dalam pelajaran.

Dalam pertemuan penyelarasan mingguan, berunding tentang bagaimana ahli-ahli boleh menyokong penganut baharu dan membantu mereka kekal terlibat secara aktif dalam Gereja. Rancang siapa yang akan memperkenalkan mereka kepada pemimpin kuorum atau organisasi. Selaraskan penyertaan ahli-ahli lain semasa anda mengajar pelajaran-pelajaran itu sekali lagi. Minta pelayan saudara ditugaskan (dan pelayan saudari untuk wanita).

Selepas seorang lelaki ditetapkan, dia layak menerima Imamat Harun jika dia berumur sekurang-kurangnya 12 tahun pada akhir tahun itu. Pentahbisan Imamat Harun adalah di bawah arahan uskup (lihat Buku Panduan Umum, 38.2).

Jika sesuai, berhubunglah dengan mereka yang anda telah ajar sepanjang hidup anda. Sokonglah mereka dalam menerima semua berkat injil Yesus Kristus.

Imej
Elder Gerrit W. Gong

“Apabila kita datang dengan hati yang hancur dan jiwa yang menyesal, kita temui suara dalam Yesus Kristus dan dikelilingi dengan tangan pelindung-Nya. Tatacara kudus memberi perjanjian kekitaan dan ‘kuasa ketuhanan’ untuk menyucikan tujuan dalaman dan tindakan jasmani [Ajaran dan Perjanjian 84:20]. Dengan kebaikan hati dan panjang sabar-Nya, Gereja-Nya menjadi menjadi Rumah Tumpangan kita” (Gerrit W. Gong, “Ruang di Rumah Tumpangan,” Liahona, Mei 2021, 27).

Bantu Ahli-ahli Baharu Mengambil Bahagian dalam Berkat-berkat Bait Suci

Ahli-ahli baharu yang cukup umur boleh menerima rekomen bait suci yang membenarkan mereka dibaptiskan bagi pihak ahli keluarga mereka yang sudah meninggal (lihat Pilihan dari Buku Panduan Umum, 26.4.2). Mereka menerima rekomen ini dari uskup. Galakkan dan bantu ahli-ahli baharu untuk memperoleh rekomen bait suci secepatnya jika sesuai. Jika bait suci berdekatan, pertimbangkan untuk melanjutkan jemputan bagi satu masa tertentu untuk ahli-ahli baharu melaksanakan pembaptisan bagi nenek moyang yang sudah meninggal.

Dalam pertemuan penyelarasan mingguan, rancang siapa yang akan memperkenalkan ahli-ahli baharu kepada pemimpin bait suci dan sejarah keluarga bahagian. Pemimpin ini boleh membantu mereka bersedia untuk menerima berkat-berkat bait suci dengan membuat perjanjian bait suci mereka sendiri.


Idea-idea untuk Pengkajian dan Aplikasi

Kajian Peribadi

  • Senaraikan cabaran-cabaran yang calon pembaptisan mungkin hadapi. Mengapakah penting bahawa seseorang merasa kasih dan persahabatan ahli-ahli Gereja?

  • Kaji Moroni 6 dan Ajaran dan Perjanjian 20:68–69. Apakah yang anda boleh pelajari dari ayat-ayat ini tentang membantu orang bersedia untuk pembaptisan dan penetapan? Tuliskan apa yang anda belajar. Kongsi pendapat anda semasa kajian dengan rakan.

Kajian Dengan Rakan dan Pertukaran Rakan

  • Presiden Henry B. Eyring menjelaskan mengapa standard injil penting. Bincangkan nasihat berikut. Bagaimanakah anda boleh menggalakkan orang untuk berhasrat memenuhi standard-standard ini?

    “Tuhan menetapkan standard-Nya agar Dia dapat memberkati kita. Fikirkan berkat-berkat itu: Dia menjanjikan mereka yang memenuhi standard-standard bantuan daripada Roh Kudus. Dia menjanjikan kedamaian peribadi. Dia menjanjikan peluang untuk menerima tatacara-tatacara kudus dalam rumah-Nya. Dan Dia berjanji kepada mereka yang bertahan dalam mematuhi standard-Nya bahawa mereka akan memperoleh kehidupan abadi. …

    “Kerana kita mengasihi orang yang kita layani, kita semua ingin menjadi lebih baik dalam mengangkat anak-anak Bapa Syurgawi kepada iman dan kesucian yang mereka perlukan untuk memiliki semua berkat Tuhan. …

    “… Anda bermula dengan mempertahankan standard Tuhan dengan jelas dan bangga. Dan semakin dunia hanyut darinya dan mengejeknya, semakin beranilah kita harus menjadi” (“Standards of Worthiness,” Pertemuan Pertama Latihan Kepimpinan Sedunia, Jan. 2003, 10–11).

  • Kaji semula soalan-soalan temu duga pembaptisan. Pertimbangkan bagaimana anda akan mengatasi situasi seperti berikut:

    • Orang itu tidak memberitahu anda bahawa dia dalam tempoh percubaan untuk satu jenayah.

    • Orang itu belum menerima jawapan bagi doa bahawa Joseph Smith seorang nabi.

    • Orang itu menghisap sebatang rokok dua hari lalu.

    • Orang itu tidak pasti jika dia telah menerima jawapan kepada doa-doanya.

    • Keluarga itu merasa tekanan daripada kawan-kawan dan tidak pasti jika mereka bersedia untuk pembaptisan.

  • Kaji semula Borang Pembaptisan dan Penetapan. Mengapa maklumat yang anda berikan harus betul dan lengkap?

Majlis Daerah, Persidangan Zon dan Majlis Kepimpinan Misi

  • Kaji semula kepentingan temu duga pembaptisan. Bincangkan bagaimana misionari dapat membantu orang bersedia untuk temu duga.

  • Bincangkan bagaimana untuk menggunakan acara pembaptisan dan penetapan sebagai peluang mencari.

Pemimpin Misi dan Penasihat Misi

  • Bekerjasama dengan pemimpin imamat dan organisasi tempatan untuk memastikan mereka menggunakan laporan Kemajuan Jalan Perjanjian dengan berkesan.

  • Ajar para pemimpin daerah, pemimpin zon dan pemimpin pelatih saudari bagaimana untuk menyediakan orang bagi temu duga pembaptisan. Jemput mereka untuk melatih para misionari lain bagi menyediakan orang untuk temu duga ini.

  • Ajar pemimpin daerah dan zon bagaimana untuk menjalankan temu duga pembaptisan.

  • Ajar bagaimana untuk bertindak balas dalam temu duga pembaptisan apabila seseorang mengungkapkan bahawa dia telah melakukan dosa yang serius.

  • Jika boleh, hadiri acara pembaptisan untuk ahli-ahli baharu. Bercakap dengan ahli-ahli baharu dan belajar tentang pengalaman penukaran hati mereka. Kongsi apa yang anda pelajari dengan rakan anda dan dengan misionari.