Kitab Suci
Musa 7


Bab 7

(Disember 1830)

Henokh mengajar, memimpin orang-orang itu, dan memindahkan gunung-ganang—Kota Sion ditubuhkan—Henokh melihat kedatangan Putera Manusia, korban penebusan-Nya, dan kebangkitan para Orang Suci—Dia melihat Pemulihan, Pengumpulan, Kedatangan Kedua, dan kembalinya Sion.

1 Dan terjadilah bahawa Henokh meneruskan ucapannya, mengatakan: Lihatlah, nenek moyang kita Adam mengajarkan hal-hal ini, dan banyak yang telah percaya dan menjadi anak-anak Tuhan, dan banyak yang tidak percaya, dan telah binasa dalam dosa-dosa mereka, dan menanti-nantikan dengan rasa takut, dalam seksaan, keberangan berapi-api kemurkaan Tuhan untuk dicurahkan ke atas mereka.

2 Dan sejak dari waktu itu Henokh mula bernubuat, mengatakan kepada orang-orang itu, bahawa: Ketika aku sedang melakukan perjalanan, dan berdiri di atas tempat Mahuya, dan berseru kepada Tuhan, datanglah suatu suara dari syurga, memfirmankan—Beloklah kamu, dan pergilah kamu ke atas gunung Simeon.

3 Dan terjadilah bahawa aku membelok dan naik ke atas gunung; dan semasa aku berdiri di atas gunung, aku melihat langit terbuka, dan aku diselimuti dengan kemuliaan;

4 Dan aku melihat Tuhan; dan Dia berdiri di hadapan mukaku, dan Dia berbincang denganku, bahkan seperti seorang lelaki bercakap di antara satu sama lain, berhadapan muka; dan Dia berfirman kepadaku: Lihatlah, dan Aku akan menunjukkan kepada engkau dunia yang berkurun generasinya.

5 Dan terjadilah bahawa aku melihat di lembah Sum, dan lihatlah, sejumlah besar orang yang tinggal di dalam khemah yang merupakan bangsa Sum.

6 Dan lagi Tuhan berfirman kepadaku: Lihatlah; dan aku melihat ke arah utara, dan aku melihat bangsa Kanaan, yang tinggal di dalam khemah.

7 Dan Tuhan berfirman kepadaku: Bernubuatlah; dan aku bernubuat, mengatakan: Lihatlah bangsa Kanaan, yang banyak, akan pergi dalam susunan pertempuran menentang bangsa Sum, dan akan membunuh mereka sehingga mereka dihancurkan sepenuhnya; dan bangsa Kanaan akan membahagikan diri mereka di tanah itu, dan tanah itu akan gersang dan tidak berbuah, dan tiada bangsa lain yang akan tinggal di sana selain bangsa Kanaan;

8 Kerana lihatlah, Tuhan akan mengutuk tanah itu dengan kepanasan yang kuat, dan kegersangannya akan berterusan selamanya; dan ada suatu kekelaman datang ke atas seluruh anak Kanaan, sehingga mereka dikeji di kalangan semua orang.

9 Dan terjadilah bahawa Tuhan berfirman kepadaku: Pandanglah; dan aku memandang, dan aku melihat negeri Saron, dan negeri Henokh, dan negeri Omner, dan negeri Heni, dan negeri Sem, dan negeri Haner, dan negeri Hananiha, dan seluruh penduduknya;

10 Dan Tuhan berfirman kepadaku: Pergilah kepada orang-orang ini, dan berkatalah kepada mereka—Bertaubatlah, agar jangan Aku keluar dan menghentam mereka dengan suatu kutukan, dan mereka mati.

11 Dan Dia memberi kepadaku sebuah perintah bahawa aku harus membaptis di dalam nama Bapa, dan Putera, yang penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran, dan Roh Kudus, yang memberi kesaksian tentang Bapa dan Putera.

12 Dan terjadilah bahawa Henokh meneruskan untuk meminta kepada semua bangsa itu, kecuali kepada bangsa Kanaan, untuk bertaubat;

13 Dan demikian besar iman Henokh sehingga dia memimpin umat Tuhan, dan para musuh mereka datang bertempur menentang mereka; dan dia mengucapkan firman Tuhan, dan tanah bergegar, dan gunung-ganang lenyap, bahkan menurut perintahnya; dan air-air sungai dibelokkan alirannya; dan ngauman singa-singa terdengar dari padang belantara; dan segala bangsa berasa sangat takut, demikianlah kehebatan perkataan Henokh, dan demikian besar kuasa bahasanya yang telah Tuhan berikan kepadanya.

14 Terdapat juga sebuah tanah yang muncul dari kedalaman laut, dan begitu besar ketakutan para musuh terhadap umat Tuhan, sehingga mereka melarikan diri dan berdiri jauh-jauh dan pergi ke atas tanah yang muncul dari kedalaman laut itu.

15 Dan para gergasi di tanah itu, juga, berdiri jauh-jauh; dan berlakulah suatu kutukan ke atas orang-orang yang melawan Tuhan;

16 Dan sejak dari waktu itu adanya peperangan dan pertumpahan darah di kalangan mereka; tetapi Tuhan datang dan berada bersama umat-Nya, dan mereka berada dalam kesolehan.

17 Rasa takut terhadap Tuhan ada pada segala bangsa, begitu besar kemuliaan Tuhan, yang ada pada umat-Nya. Dan Tuhan memberkati tanah itu, dan mereka diberkati di atas gunung-ganang, dan di atas tempat-tempat yang tinggi, dan makmur.

18 Dan Tuhan menyebut umat-Nya Sion, kerana mereka satu hati dan satu fikiran, dan berdiam dalam kesolehan; dan tidak ada yang miskin di kalangan mereka.

19 Dan Henokh meneruskan pengkhutbahannya dalam kesolehan kepada umat Tuhan. Dan terjadilah dalam hidupnya, dia membina sebuah kota yang disebut Kota Kekudusan, bahkan Sion.

20 Dan terjadilah bahawa Henokh berbicara dengan Tuhan; dan dia berkata kepada Tuhan: Pastinya Sion akan berada dalam keselamatan selamanya. Tetapi Tuhan berfirman kepada Henokh: Sion telah Aku berkati, tetapi orang-orangnya yang selebihnya telah Aku kutuk.

21 Dan terjadilah bahawa Tuhan memperlihatkan kepada Henokh seluruh penduduk bumi; dan dia melihat, dan menengok, Sion, dalam peredaran waktu, diangkat ke dalam syurga. Dan Tuhan berfirman kepada Henokh: Lihatlah itulah kediaman-Ku selamanya.

22 Dan Henokh juga melihat orang-orang yang selebihnya yang merupakan anak-anak Adam; dan mereka ialah campuran dari seluruh keturunan Adam kecuali keturunan Kain, kerana keturunan Kain ialah hitam, dan tidak mempunyai tempat di kalangan mereka.

23 Dan setelah Sion diambil ke dalam syurga, Henokh melihat, dan menengok, semua bangsa bumi ada di hadapannya;

24 Dan datanglah generasi demi generasi; dan Henokh di tempat yang tinggi dan diangkat, bahkan ke dalam dada Bapa, dan Putera Manusia; dan lihatlah, kuasa Setan berada di atas seluruh permukaan bumi.

25 Dan dia melihat para malaikat turun dari syurga; dan dia mendengar suatu suara yang nyaring: Celakalah, celakalah bagi para penduduk bumi.

26 Dan dia melihat Setan; dan dia memiliki sebuah rantai yang besar di tangannya, dan ia menutupi seluruh permukaan bumi dengan kegelapan; dan dia melihat dan ketawa, dan para malaikatnya bersukacita.

27 Dan Henokh melihat para malaikat turun dari syurga, memberikan kesaksian tentang Bapa dan Putera; dan Roh Kudus turun ke atas banyak orang, dan mereka diangkat oleh kuasa syurga ke Sion.

28 Dan terjadilah bahawa Tuhan syurga melihat orang-orang yang selebihnya itu, dan Dia menangis; dan Henokh memberikan kesaksian tentangnya, mengatakan: Bagaimana mungkin syurga menangis, dan mencucurkan air matanya bagaikan hujan di atas gunung-ganang?

29 Dan Henokh berkata kepada Tuhan: Bagaimana mungkin Engkau menangis, melihatkan Engkau ialah kudus, dan dari segala keabadian ke segala keabadian?

30 Dan seandainya mungkin bahawa manusia dapat menghitung zarah-zarah di bumi, ya, jutaan bumi seperti ini, itu bukanlah suatu permulaan bagi jumlah ciptaan-ciptaan-Mu; dan tirai-tirai-Mu masih terentang; dan namun Engkau ada di sana, dan dada-Mu ada di sana; dan juga Engkau adil; Engkau penuh belas kasihan dan baik hati selamanya;

31 Dan Engkau telah mengambil Sion ke dada-Mu sendiri, dari segala ciptaan-Mu, dari segala keabadian ke segala keabadian; dan tiada apa pun selain kedamaian, keadilan, dan kebenaran adalah tempat takhta-Mu berada; dan belas kasihan akan pergi di hadapan muka-Mu dan tidak mempunyai akhir; bagaimana mungkin Engkau menangis?

32 Tuhan berfirman kepada Henokh: Lihatlah para saudaramu ini; mereka ialah hasil kerja tangan-Ku sendiri, dan Aku memberikan kepada mereka pengetahuan mereka, pada hari Aku menciptakan mereka; dan di dalam Taman Eden, Aku memberikan kepada manusia hak pilihannya;

33 Dan kepada para saudaramu telah Aku firmankan, dan juga berikan perintah, agar mereka harus saling mengasihi, dan agar mereka seharusnya memilih-Ku, Bapa mereka; tetapi lihatlah, mereka tanpa kasih sayang, dan mereka membenci darah mereka sendiri;

34 Dan api keberangan-Ku ternyala terhadap mereka; dan dalam ketidaksenangan-Ku yang panas akan Aku hantarkan air bah kepada mereka, kerana kemarahan-Ku yang dahsyat ternyala terhadap mereka.

35 Lihatlah, Akulah Tuhan; Manusia Kekudusan ialah nama-Ku; Manusia Nasihat ialah nama-Ku; dan Tanpa Akhir dan Abadi ialah nama-Ku, juga.

36 Kerana itu, Aku dapat merentangkan tangan-Ku dan memegang semua ciptaan yang Aku telah ciptakan; dan mata-Ku juga dapat melihat mereka, dan di antara semua hasil kerja tangan-Ku tidak ada yang sedemikian besar kejahatannya seperti di kalangan para saudaramu.

37 Tetapi lihatlah, dosa-dosa mereka akan berada di atas kepala nenek moyang mereka; Setan akan menjadi bapa mereka, dan kesengsaraan akan menjadi takdir mereka; dan seluruh syurga akan menangis bagi mereka, bahkan seluruh hasil kerja tangan-Ku; kerana itu tidakkah syurga seharusnya menangis, melihatkan orang-orang ini akan menderita?

38 Tetapi lihatlah, orang-orang ini yang sedang kamu lihat akan mati dalam air bah; dan lihatlah, Aku akan mengurung mereka; sebuah penjara telah Aku sediakan bagi mereka.

39 Dan mereka yang telah dipilih-Ku telah merayu di hadapan muka-Ku. Kerana itu, Dia menderita bagi dosa-dosa mereka; sejauh mereka akan bertaubat pada hari apabila Yang Terpilih-Ku akan kembali kepada-Ku, dan sehinggalah hari itu mereka akan berada dalam seksaan;

40 Kerana itu, disebabkan ini syurga akan menangis, ya, dan seluruh hasil kerja tangan-Ku.

41 Dan terjadilah bahawa Tuhan berfirman kepada Henokh, dan memberitahu Henokh segala perbuatan anak-anak manusia; kerana itu Henokh mengetahuinya, dan melihat kejahatan mereka, dan kesengsaraan mereka, dan menangis dan merentangkan lengannya, dan hatinya mengembang bagaikan keabadian; dan sanubarinya terasa pilu; dan seluruh keabadian bergoncang.

42 Dan Henokh juga melihat Nuh, dan keluarganya; bahawa keturunan semua anak lelaki Nuh akan diselamatkan dengan suatu keselamatan duniawi;

43 Kerana itu Henokh melihat bahawa Nuh membina sebuah bahtera; dan bahawa Tuhan tersenyum ke atasnya, dan memegangnya dalam tangan-Nya sendiri; tetapi kepada mereka yang jahat air bah datang dan menelan mereka.

44 Dan apabila Henokh melihat ini, dia merasakan kepahitan jiwa, dan menangis bagi para saudaranya, dan berkata kepada syurga: Aku enggan ditenangkan; tetapi Tuhan berfirman kepada Henokh: Angkatlah hatimu, dan bergembiralah; dan lihatlah.

45 Dan terjadilah bahawa Henokh melihat; dan daripada Nuh, dia melihat semua keluarga di bumi; dan dia berseru kepada Tuhan, mengatakan: Bilakah hari Tuhan akan datang? Bilakah darah Yang Soleh akan ditumpahkan, agar mereka semua yang berduka boleh dikuduskan dan memperoleh kehidupan abadi?

46 Dan Tuhan berfirman: Ianya akan terjadi pada pertengahan zaman, pada hari kejahatan dan pembalasan.

47 Dan lihatlah, Henokh melihat hari kedatangan Putera Manusia, bahkan dalam keadaan daging; dan jiwanya bersukacita, mengatakan: Yang Soleh diangkat, dan Anak Domba dibunuh dari pengasasan dunia; dan melalui iman aku berada di dalam dada Bapa, dan lihatlah, Sion bersamaku.

48 Dan terjadilah bahawa Henokh melihat bumi; dan dia mendengar suatu suara dari sanubarinya, memfirmankan: Celakalah, celakalah aku, ibu bagi manusia; aku disakiti, aku letih, kerana kejahatan anak-anakku. Bilakah aku akan beristirahat, dan dibersihkan dari kekotoran yang keluar daripadaku? Bilakah Penciptaku akan menguduskanku, agar aku boleh beristirahat, dan kebenaran berada di atas permukaanku untuk seketika?

49 Dan apabila Henokh mendengar bumi berdukacita, dia menangis, dan berseru kepada Tuhan, mengatakan: Ya Tuhan, tidakkah Engkau akan menunjukkan rasa simpati kepada bumi? Tidakkah Engkau akan memberkati anak-anak Nuh?

50 Dan terjadilah bahawa Henokh meneruskan seruannya kepada Tuhan, mengatakan: Aku meminta Engkau, ya Tuhan, dalam nama Anak Tunggal-Mu, bahkan Yesus Kristus, agar Engkau akan mempunyai belas kasihan kepada Nuh dan keturunannya, agar bumi tidak akan pernah lagi ditenggelami oleh air bah.

51 Dan Tuhan tidak dapat menahan; dan Dia berjanji dengan Henokh, dan bersumpah kepadanya dengan suatu sumpah, bahawa Dia akan menahan air bah; bahawa Dia akan meminta anak-anak Nuh;

52 Dan dia mengutuskan sebuah perintah yang tidak dapat diubah, bahawa keturunannya yang selebihnya akan selalu berada di kalangan segala bangsa, selagi bumi ada;

53 Dan Tuhan berfirman: Diberkatilah dia yang mana melalui keturunannya Mesias akan datang; kerana Dia berfirman—Akulah Mesias, Raja Sion, Batu Syurga, yang luasnya bagaikan keabadian; sesiapa pun yang masuk ke dalam pintu gerbang itu dan menaikinya melalui-Ku tidak akan pernah jatuh; kerana itu, diberkatilah mereka yang telah Aku firmankan tentang mereka, kerana mereka akan muncul dengan lagu-lagu kebahagiaan yang kekal.

54 Dan terjadilah bahawa Henokh berseru kepada Tuhan, mengatakan: Apabila Putera Manusia datang dalam keadaan daging, adakah bumi akan beristirahat? Aku berdoa kepada-Mu, tunjukkanlah hal-hal ini.

55 Dan Tuhan berfirman kepada Henokh: Pandanglah, dan dia memandang dan melihat Putera Manusia diangkat di atas salib, menurut cara manusia;

56 Dan dia mendengar suatu suara yang nyaring; dan langit diselubungi; dan segala ciptaan Tuhan berkabung; dan bumi merintih; dan batu-batu terbelah; dan para orang suci bangkit, dan dimahkotai di sebelah tangan kanan Putera Manusia, dengan mahkota-mahkota kemuliaan;

57 Dan sebanyak mana roh-roh di dalam penjara bangkit, dan berdiri di sebelah tangan kanan Tuhan; dan selebihnya diletakkan rantai-rantai kegelapan sehingga penghakiman hari yang besar.

58 Dan lagi Henokh menangis dan berseru kepad Tuhan, mengatakan: Bilakah bumi akan beristirahat?

59 Dan Henokh melihat Putera Manusia naik kepada Bapa; dan dia meminta kepada Tuhan, mengatakan: Tidakkah Engkau akan datang lagi ke atas bumi? Disebabkan Engkau ialah Tuhan, dan aku mengenali Engkau, dan Engkau telah bersumpah kepadaku, dan memerintahkanku agar aku seharusnya meminta dalam nama Anak Tunggal-Mu; Engkau telah menciptakanku, dan memberikan kepadaku suatu hak ke atas takhta-Mu, dan bukan daripada diriku sendiri, tetapi melalui rahmat-Mu sendiri; kerana itu, aku bertanya kepada-Mu jikalau Engkau tidak akan datang lagi ke atas bumi.

60 Dan Tuhan berfirman kepada Henokh: Sebagaimana Aku hidup, demikian juga Aku akan datang pada zaman akhir, pada hari-hari kejahatan dan pembalasan, untuk menggenapi sumpah yang Aku telah buat kepadamu berkenaan anak-anak Nuh;

61 Dan harinya akan datang bahawa bumi akan beristirahat, tetapi sebelum hari itu langit akan digelapkan, dan suatu tirai kegelapan akan menyelubungi bumi; dan langit akan bergoncang, dan juga bumi; dan kesengsaraan-kesengsaraan yang hebat akan berada di kalangan anak-anak manusia, tetapi umat-Ku akan Aku lindungi;

62 Dan kesolehan akan Aku turunkan dari syurga; dan kebenaran akan Aku keluarkan dari bumi, untuk memberikan kesaksian tentang Anak Tunggal-Ku; kebangkitan-Nya dari orang-orang mati; ya, dan juga kebangkitan semua orang; dan kesolehan dan kebenaran akan Aku sebabkan untuk meliputi bumi bagaikan dengan air bah, untuk mengumpulkan umat pilihan-Ku dari empat penjuru bumi, menuju suatu tempat yang Aku akan sediakan, sebuah Kota Kudus, agar umat-Ku boleh menyediakan diri mereka, dan menanti-nantikan waktu kedatangan-Ku; kerana akan ada khemah ibadat suci-Ku, dan ia akan dipanggil Sion, sebuah Yerusalem Baru.

63 Dan Tuhan berfirman kepada Henokh: Pada waktu itu engkau dan seluruh kotamu menemui mereka di sana, dan kita akan menerima mereka ke dalam dada kita, dan mereka akan melihat kita; dan kita akan memeluk mereka, dan mereka akan memeluk kita, dan kita akan mencium satu sama lain;

64 Dan akan ada tempat kediaman-Ku, dan ia akan dipanggil Sion, yang akan muncul dari segala ciptaan yang Aku telah ciptakan; dan untuk tempoh waktu seribu tahun bumi akan beristirahat.

65 Dan terjadilah bahawa Henokh melihat hari kedatangan Putera Manusia, pada zaman akhir, untuk berada di atas bumi dalam kebenaran untuk tempoh waktu seribu tahun;

66 Tetapi sebelum hari itu dia melihat kesengsaraan-kesengsaraan yang hebat di kalangan yang jahat; dan dia juga melihat laut, yang terhenti, dan hati kecut, menanti dengan ketakutan terhadap penghakiman-penghakiman Tuhan Yang Maha Kuasa, yang akan datang kepada yang jahat.

67 Dan Tuhan menunjukkan kepada Henokh segala hal, bahkan sehingga ke hujung dunia; dan dia melihat hari bagi yang soleh, masa penebusan mereka, dan menerima kegenapan kebahagiaan;

68 Dan seluruh hari-hari Sion, dalam kehidupan Henokh, adalah tiga ratus enam puluh lima tahun.

69 Dan Henokh dan seluruh umatnya berjalan bersama Tuhan, dan dia berada di tengah-tengah Sion; dan terjadilah bahawa Sion tidak ada, kerana Tuhan telah menerimanya ke dalam dada-Nya sendiri; dan sejak dari itu tersebarlah khabar angin, Sion Lenyap.