Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 130


Bahagian 130

Butir-butir panduan yang diberikan oleh Nabi Joseph Smith, di Ramus, Illinois, 2 April 1843.

1–3, Bapa dan Putera boleh muncul secara peribadi kepada manusia; 4–7, Para malaikat tinggal di dalam suatu lingkungan selestial; 8–9, Bumi selestial akan menjadi sebuah Urim dan Tumim yang besar; 10–11, Seketul batu putih diberikan kepada semua yang memasuki dunia selestial; 12–17, Waktu Kedatangan Kedua disembunyikan daripada Nabi; 18–19, Kecerdasan yang diperoleh dalam kehidupan ini bangkit bersama kita dalam Kebangkitan; 20–21, Semua berkat datang melalui kepatuhan pada hukum; 22–23, Bapa dan Putera memiliki tubuh daging dan tulang.

1 Apabila Juruselamat akan muncul kita akan melihat-Nya seperti Dia seadanya. Kita akan melihat bahawa Dia ialah seorang manusia seperti diri kita sendiri.

2 Dan pergaulan yang sama itu yang wujud di antara kita di sini akan wujud di antara kita di sana, cuma ia akan digandingkan dengan kemuliaan abadi, yang mana kemuliaan itu tidak kita nikmati sekarang.

3 Yohanes 14:23—Kemunculan Bapa dan Putera, dalam ayat itu, adalah suatu kemunculan peribadi; dan pendapat bahawa Bapa dan Putera berdiam di dalam hati manusia adalah suatu tanggapan mazhab-mazhab agama yang lama, dan adalah salah.

4 Sebagai jawapan terhadap soalan—Bukankah pengiraan waktu Tuhan, waktu malaikat, waktu nabi, dan waktu manusia, menurut planet di mana mereka tinggal?

5 Aku menjawab, Ya. Tetapi tidak ada malaikat yang melayani bumi ini melainkan mereka yang tergolong atau telah tergolong padanya.

6 Para malaikat tidak tinggal di atas sebuah planet seperti bumi ini;

7 Tetapi mereka tinggal dalam hadirat Tuhan, di atas sebuah bola dunia bagaikan laut kaca dan api, di mana segala sesuatu bagi kemuliaan mereka dinyatakan, masa lalu, masa sekarang, dan masa depan, dan berterusan di hadapan Tuhan.

8 Tempat di mana Tuhan tinggal adalah sebuah Urim dan Tumim yang besar.

9 Bumi ini, dalam keadaannya yang dikuduskan dan baqa, akan dijadikan seperti kristal dan akan menjadi sebuah Urim dan Tumim bagi para penduduk yang tinggal di atasnya, yang dengannya segala sesuatu yang berkaitan dengan kerajaan yang rendah, atau semua kerajaan berkedudukan lebih rendah, akan dinyatakan kepada mereka yang tinggal di atasnya; dan bumi ini akan menjadi milik Kristus.

10 Pada waktu itu batu putih yang disebutkan dalam Wahyu 2:17, akan menjadi sebuah Urim dan Tumim bagi setiap individu yang menerimanya, yang dengannya hal-hal yang berkaitan dengan kerajaan-kerajaan yang berkedudukan lebih tinggi akan diberitahukan;

11 Dan sebuah batu putih diberikan kepada setiap mereka yang datang ke dalam kerajaan selestial, yang mana di atasnya suatu nama baru tertulis, yang tidak seorang pun tahu kecuali dia yang menerimanya. Nama baru itu adalah kata kunci.

12 Aku bernubuat, dalam nama Tuhan Raja, bahawa permulaan masalah yang akan menyebabkan banyak pertumpahan darah sebelum kedatangan Putera Manusia akan terjadi di South Carolina.

13 Ianya berkemungkinan timbul disebabkan isu perhambaan. Suatu suara telah memaklumkan kepadaku, semasa aku sedang berdoa dengan sungguh-sungguh tentang hal ini, 25 Disember 1832.

14 Pada suatu masa itu Aku sedang berdoa dengan sangat bersungguh-sungguh untuk mengetahui waktu kedatangan Putera Manusia, apabila aku terdengar sebuah suara mengulangi yang berikut:

15 Joseph, anak-Ku, jika engkau hidup sehingga engkau berumur lapan puluh lima tahun, engkau akan melihat muka Putera Manusia; oleh kerana itu biarlah ini mencukupi, dan janganlah menyusahkan-Ku lagi tentang hal ini.

16 Aku ditinggalkan sedemikian rupa, tanpa mampu untuk memutuskan sama ada kedatangan ini merujuk pada permulaan kerajaan seribu tahun atau kemunculannya sebelum itu, atau adakah aku harus mati dan dengan demikian melihat muka-Nya.

17 Aku percaya kedatangan Putera Manusia tidak akan lebih cepat daripada waktu itu.

18 Apa pun asas kecerdasan yang kita capai dalam kehidupan ini, akan bangkit bersama kita dalam kebangkitan.

19 Dan jika seseorang memperoleh lebih banyak pengetahuan dan kecerdasan dalam kehidupan ini melalui ketekunan dan kepatuhannya berbanding yang lain, dia akan memperoleh begitu banyak kelebihan di dunia yang akan datang.

20 Terdapat sebuah hukum, yang tidak dapat dibatalkan telah ditetapkan di syurga sebelum pengasasan dunia ini, yang mana di atasnya semua berkat dilandaskan—

21 Dan apabila kita menerima apa pun berkat daripada Tuhan, itu adalah kerana kepatuhan pada hukum itu yang mana di atasnya ia dilandaskan.

22 Bapa memiliki tubuh daging dan tulang senyata manusia; Putera juga; tetapi Roh Kudus tidak memiliki tubuh daging dan tulang, tetapi merupakan lembaga Roh. Jika tidak sedemikian, Roh Kudus tidak dapat berdiam di dalam diri kita.

23 Seorang manusia boleh menerima Roh Kudus, dan ia boleh turun ke atas dirinya dan tidak tinggal bersamanya.