Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 24


Bahagian 24

Wahyu yang diberikan kepada Nabi Joseph Smith dan Oliver Cowdery, di Harmony, Pennsylvania, Julai 1830. Walaupun kurang dari empat bulan telah berlalu sejak Gereja diorganisasikan, penganiayaan telah menjadi hebat, dan para pemimpin harus mencari keselamatan dalam pengasingan diri. Tiga wahyu berikut diberikan pada waktu ini untuk menguatkan, mendorong, dan mengarahkan mereka.

1–9, Joseph Smith dipanggil untuk menterjemah, berkhutbah, dan menghuraikan tulisan suci; 10–12, Oliver Cowdery dipanggil untuk mengkhutbahkan Injil; 13–19, Hukum diwahyukan berkaitan dengan mukjizat, kutukan, pengibasan debu dari kaki seseorang, dan pergi tanpa dompet atau tas.

1 Lihatlah, engkau telah dipanggil dan dipilih untuk menulis Kitab Mormon, dan pada pelayanan-Ku; dan Aku telah mengangkat engkau keluar dari kesengsaraanmu, dan telah menasihati engkau, sehingga engkau telah dibebaskan daripada semua musuhmu, dan engkau telah dibebaskan dari kuasa Setan dan dari kegelapan!

2 Walaupun demikian, engkau tidak dikecualikan dalam pelanggaranmu; walaupun demikian, pergilah pada jalanmu dan janganlah berdosa lagi.

3 Kembangkanlah jabatanmu; dan setelah engkau menabur ladang-ladangmu dan melindunginya, pergilah segera kepada jemaah gereja yang berada di Colesville, Fayette, dan Manchester, dan mereka akan menanggung engkau; dan Aku akan memberkati mereka baik secara rohani mahupun secara duniawi;

4 Tetapi jika mereka tidak menerima engkau, Aku akan menghantar ke atas diri mereka kutukan daripada berkat.

5 Dan engkau haruslah terus memanggil kepada Tuhan dalam nama-Ku, dan menulis hal-hal yang akan diberikan kepadamu oleh Penolong, dan menghuraikan semua tulisan suci kepada gereja.

6 Dan akan diberikan kepadamu pada masa yang tepat apa yang akan engkau bicarakan dan tuliskan, dan mereka akan mendengarnya, atau Aku akan menghantarkan kepada mereka kutukan daripada berkat.

7 Kerana engkau haruslah membaktikan segala pelayananmu di Sion; dan di dalamnya engkau akan memperoleh kekuatan.

8 Bersabarlah dalam kesengsaraan, kerana banyak yang akan engkau alami; tetapi bertahanlah di dalamnya, kerana, lihatlah, Aku bersamamu, bahkan sehingga akhir riwayat hidupmu.

9 Dan di dalam pekerjaan duniawi engkau tidak akan memperoleh kekuatan, kerana ini bukan panggilanmu. Laksanakanlah panggilanmu dan engkau akan memperoleh apa yang diperlukan untuk mengembangkan jabatanmu, dan untuk menghuraikan semua tulisan suci, dan meneruskan dalam perletakan tangan dan menetapkan para jemaah gereja.

10 Dan saudaramu Oliver akan terus menyandang nama-Ku di hadapan dunia, dan juga kepada gereja. Dan dia haruslah tidak menyangka bahawa dia dapat berkata cukup dalam tujuan-Ku; dan lihatlah, Aku bersamanya sehingga akhir.

11 Melalui Aku dia akan memperoleh kemuliaan, dan bukan melalui dirinya, sama ada dalam kelemahan atau dalam kekuatan, sama ada dalam belenggu atau bebas;

12 Dan pada segala waktu, dan di semua tempat, dia akan membuka mulutnya dan memaklumkan Injil-Ku bagaikan dengan bunyi sangkakala, baik siang mahupun malam. Dan Aku akan memberikan kepadanya kekuatan seperti yang belum diketahui di kalangan manusia.

13 Janganlah menuntut mukjizat, kecuali Aku akan memerintahkanmu, kecuali mengusir iblis, menyembuhkan yang sakit, dan melawan ular beracun, dan melawan racun yang membunuh;

14 Dan hal-hal ini janganlah kamu lakukan, kecuali ia dituntut daripadamu oleh mereka yang menghasratkannya, agar tulisan suci boleh digenapi; kerana kamu haruslah melakukan menurut apa yang dituliskan.

15 Dan di tempat mana pun kamu akan masuk, dan mereka tidak menerimamu dalam nama-Ku, kamu haruslah meninggalkan kutukan daripada berkat, dengan mengibaskan debu dari kakimu terhadap mereka sebagai sebuah kesaksian, dan membersihkan kakimu di tepi jalan.

16 Dan akan terjadilah bahawa barang siapa akan meletakkan tangan mereka kepadamu dengan kekerasan, kamu akan perintahkan untuk dihentam dalam nama-Ku; dan, lihatlah, Aku akan menghentam mereka menurut perkataanmu, pada waktu-Ku sendiri yang tepat.

17 Dan barang siapa akan membawamu kepada undang-undang akan dikutuk oleh undang-undang itu.

18 Dan engkau haruslah tidak membawa dompet atau tas, tidak juga tongkat, tidak juga dua kot, kerana gereja akan memberi kepadamu tepat pada masanya apa yang engkau perlukan untuk makanan dan untuk pakaian, dan untuk kasut dan untuk wang, dan untuk tas.

19 Kerana engkau telah dipanggil untuk memangkas ladang anggur-Ku dengan pemangkasan yang dahsyat, ya, bahkan untuk kali yang terakhir; ya, dan juga mereka semua yang telah engkau tahbiskan, dan mereka akan melakukan bahkan menurut cara ini. Amin.