Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 58


Bahagian 58

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Sion, Jackson County, Missouri, 1 Ogos 1831. Lebih awal, pada Sabat pertama setelah tibanya Nabi dan rombongannya di Jackson County, Missouri, suatu upacara keagamaan telah diadakan, dan dua anggota telah diterima melalui pembaptisan. Semasa minggu itu, beberapa orang daripada para Orang Suci Colesville dari Cabang Thompson dan yang lainnya tiba (lihat bahagian 54). Ramai yang sangat berminat untuk mempelajari kehendak Tuhan tentang mereka di tempat pengumpulan yang baru.

1–5, Mereka yang bertahan dalam kesengsaraan akan dimahkotai dengan kemuliaan; 6–12, Para Orang Suci mesti bersedia untuk perkahwinan Anak Domba dan jamuan malam Tuhan; 13–18, Para Uskup ialah hakim-hakim di Israel; 19–23, Para Orang Suci mesti mematuhi undang-undang negara; 24–29, Manusia haruslah menggunakan hak pilihan mereka untuk melakukan kebaikan; 30–33, Tuhan memerintahkan dan menarik; 34–43, Untuk bertaubat, manusia mesti mengakui dan meninggalkan dosa-dosa mereka; 44–58, Para Orang Suci mesti membeli warisan mereka dan berkumpul di Missouri; 59–65, Injil mesti dikhutbahkan kepada setiap makhluk.

1 Dengarkanlah, Wahai kamu para penatua gereja-Ku, dan pasanglah telinga terhadap firman-Ku, dan belajarlah daripada-Ku apa yang Aku kehendaki tentang kamu, dan juga tentang tanah ini yang mana Aku telah hantarkan kamu padanya.

2 Kerana sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, diberkatilah dia yang mentaati perintah-perintah-Ku, sama ada dalam kehidupan atau dalam kematian; dan dia yang setia dalam kesengsaraan, orang yang sama itu ganjarannya lebih besar di dalam kerajaan syurga.

3 Kamu tidak dapat melihat dengan mata alamimu, pada masa kini, rancangan Tuhanmu tentang hal-hal yang akan datang selepas ini, dan kemuliaan yang akan menyusul selepas banyak kesengsaraan.

4 Kerana selepas banyak kesengsaraan datanglah berkat. Kerana itu harinya akan datang kamu akan dimahkotai dengan banyak kemuliaan; jamnya belumlah tiba, tetapi sudah di depan mata.

5 Ingatlah ini, yang Aku beritahukan kepadamu sebelumnya, agar kamu boleh menyematkannya di dalam hati, dan menerima apa yang akan menyusul.

6 Lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, untuk tujuan ini Aku telah menghantarmu—agar kamu boleh patuh, dan agar hatimu boleh disediakan untuk memberikan kesaksian tentang hal-hal yang akan datang.

7 Dan juga agar kamu boleh dihormati dalam meletakkan landasan, dan dalam memberikan kesaksian tentang tanah yang di atasnya Sion Tuhan akan berdiri;

8 Dan juga agar sebuah jamuan makan yang terbaik boleh disediakan bagi yang miskin; ya, sebuah jamuan makan terbaik, wain berkeladak yang disaring dengan baik, agar bumi boleh mengetahui bahawa mulut para nabi tidak akan gagal;

9 Ya, sebuah jamuan malam rumah Tuhan, disediakan dengan baik, di mana semua bangsa akan diundang.

10 Pertama, yang kaya dan yang terpelajar, yang bijak dan yang mulia;

11 Dan selepas itu datanglah hari kekuasaan-Ku; kemudian yang miskin, yang lumpuh, dan yang buta, dan yang tuli, akan datang ke perkahwinan Anak Domba, dan ikut serta dalam jamuan malam Tuhan, yang disediakan untuk hari yang besar yang akan datang.

12 Lihatlah, Aku, Tuhan, telah memfirmankannya.

13 Dan agar kesaksian itu boleh menyebar luas dari Sion, ya, dari mulut kota pusaka Tuhan—

14 Ya, untuk tujuan ini Aku telah menghantarmu ke mari, dan telah memilih hamba-Ku Edward Partridge, dan telah menetapkan kepadanya misinya di tanah ini.

15 Tetapi jika dia tidak bertaubat dari dosa-dosanya, iaitu ketidakpercayaan dan kebutaan hati, biarlah dia mengendahkannya agar jangan dia terjatuh.

16 Lihatlah misinya telah diberikan kepadanya, dan ia tidak akan diberikan lagi.

17 Dan barang siapa berdiri di dalam misi ini ditetapkan untuk menjadi seorang hakim di Israel, seperti pada zaman dahulu, untuk membahagi-bahagikan tanah pusaka Tuhan kepada anak-anak-Nya;

18 Dan untuk menghakimi umat-Nya dengan kesaksian orang yang adil, dan dengan bantuan para penasihatnya, menurut hukum-hukum kerajaan yang diberikan oleh para nabi Tuhan.

19 Dan sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, hukum-Ku harus ditaati di tanah ini.

20 Janganlah biarkan seorang pun berfikir dia ialah pemerintah; tetapi biarlah Tuhan memerintah dia yang menghakimi, menurut nasihat dari kehendak-Nya sendiri, atau, dengan perkataan lain, dia yang menasihati atau duduk di atas kerusi penghakiman.

21 Janganlah biarkan seorang pun melanggar undang-undang negara, kerana dia yang mentaati hukum Tuhan tidak perlu melanggar undang-undang negara.

22 Kerana itu, tunduklah pada kekuasaan yang ada, sehingga Dia memerintah yang merupakan hak-Nya untuk memerintah, dan menundukkan semua musuh di bawah kaki-Nya.

23 Lihatlah, hukum-hukum yang telah kamu terima daripada tangan-Ku adalah hukum-hukum gereja, dan dalam cahaya ini kamu akan memegangnya. Lihatlah, inilah kebijaksanaan.

24 Dan sekarang, seperti yang Aku firmankan tentang hamba-Ku Edward Partridge, tanah ini adalah tanah tempat tinggalnya, dan mereka yang telah dia tetapkan sebagai penasihatnya; dan juga tanah tempat tinggal dia yang telah Aku tetapkan untuk mengawasi gudang penyimpanan-Ku;

25 Kerana itu, biarlah mereka membawa keluarga mereka ke tanah ini, sebagaimana mereka akan rundingkan di antara mereka dan Aku.

26 Kerana lihatlah, adalah tidak wajar bahawa Aku harus memerintah dalam semua hal; kerana dia yang dipaksa dalam semuaa hal, orang yang sama ialah hamba yang malas dan tidak bijak; kerana itu, dia tidak menerima ganjaran.

27 Sesungguhnya Aku berfirman, manusia seharusnya bersemangat terlibat dalam perkara yang baik, dan melakukan banyak hal dari keinginan bebas mereka sendiri, dan mendatangkan banyak kebenaran;

28 Kerana kuasa ada pada mereka, dimana mereka ialah wakil bagi diri mereka. Dan sejauh manusia melakukan kebaikan mereka walau bagaimanapun tidak akan kehilangan ganjaran mereka.

29 Tetapi dia yang tidak melakukan apa pun sehinggalah dia diperintahkan, dan menerima perintah itu dengan hati yang penuh keraguan, dan mentaatinya dengan kemalasan, orang yang sama itu dilaknat.

30 Siapakah Aku yang menciptakan manusia, firman Tuhan, yang akan menganggap dia tidak bersalah yang tidak mematuhi perintah-perintah-Ku?

31 Siapakah Aku, firman Tuhan, yang telah berjanji dan belum menggenapi?

32 Aku memerintahkan dan manusia tidak mematuhi; Aku menarik dan mereka tidak menerima berkatnya.

33 Kemudian mereka berkata dalam hati mereka: Ini bukanlah pekerjaan Tuhan, kerana janji-janji-Nya tidak digenapi. Tetapi celakalah yang seperti itu, kerana ganjaran mereka menanti di bawah, dan bukan dari atas.

34 Dan sekarang Aku memberi kepadamu arahan yang lebih lanjut tentang tanah ini.

35 Adalah kebijaksanaan di dalam Aku bahawa hamba-Ku Martin Harris harus menjadi teladan bagi gereja, dalam meletakkan wangnya di hadapan uskup gereja.

36 Dan juga, inilah sebuah hukum kepada setiap orang yang datang ke tanah ini untuk menerima warisan; dan dia harus menguruskan wangnya menurut yang diarahkan oleh hukum.

37 Dan adalah kebijaksanaan juga bahawa tanah harus dibeli di Independence, untuk tempat gudang penyimpanan, dan juga untuk rumah percetakan.

38 Dan arahan lain berkenaan hamba-Ku Martin Harris akan diberikan kepadanya oleh Roh, agar dia boleh menerima warisannya seperti yang kelihatannya baik baginya;

39 Dan biarlah dia bertaubat dari dosa-dosanya, kerana dia mencari pujian dunia.

40 Dan juga biarlah hamba-Ku William W. Phelps berdiri pada jabatan yang telah Aku tetapkan padanya, dan menerima warisannya di tanah ini;

41 Dan juga dia perlu bertaubat, kerana Aku, Tuhan, tidak terlalu berkenan dengannya, kerana dia berusaha untuk menandingi, dan dia tidak cukup lembut hati di hadapan-Ku.

42 Lihatlah, dia yang telah bertaubat dari dosa-dosanya, orang yang sama diampuni, dan Aku, Tuhan, tidak mengingatinya lagi.

43 Dengan ini kamu boleh mengetahui jika seseorang itu bertaubat dari dosa-dosanya—lihatlah, dia akan mengakuinya dan meninggalkannya.

44 Dan sekarang, sesungguhnya, Aku berfirman tentang para penatua gereja-Ku yang selebihnya, waktunya belumlah tiba, selama bertahun-tahun, bagi mereka untuk menerima warisan mereka di tanah ini, kecuali mereka menghasratkannya melalui doa dengan iman, hanya seperti yang akan ditetapkan kepada mereka oleh Tuhan.

45 Kerana, lihatlah, mereka akan mengumpul semua orang bersama dari hujung-hujung bumi.

46 Kerana itu, berhimpunlah kamu bersama; dan mereka yang tidak ditetapkan untuk tinggal di tanah ini, biarlah mereka mengkhutbahkan Injil di wilayah-wilayah sekitarnya; dan selepas itu biarlah mereka kembali ke rumah mereka.

47 Biarlah mereka berkhutbah dalam perjalanan, dan memberikan kesaksian tentang kebenaran di semua tempat, dan meminta kepada yang kaya, yang tinggi dan yang rendah, dan yang miskin untuk bertaubat.

48 Dan biarlah mereka membangunkan jemaah-jemaah gereja, sejauh penduduk bumi akan bertaubat.

49 Dan biarlah ada seorang wakil yang ditetapkan oleh suara gereja, untuk jemaah gereja di Ohio, untuk menerima wang untuk membeli tanah di Sion.

50 Dan Aku memberi kepada hamba-Ku Sidney Rigdon sebuah perintah, agar dia harus menulis sebuah huraian tentang negeri Sion, dan sebuah pernyataan kehendak Tuhan, seperti yang akan diberitahukan oleh Roh kepadanya;

51 Dan sepucuk surat dan permohonan sumbangan, untuk diedarkan kepada semua jemaah gereja bagi mendapatkan wang, untuk diletakkan ke dalam tangan uskup, dia sendiri atau wakil, seperti yang kelihatan baik baginya atau seperti yang akan dia arahkan, untuk membeli tanah sebagai warisan bagi anak-anak Tuhan.

52 Kerana, lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Tuhan menghendaki agar para pengikut dan anak-anak manusia haruslah membuka hati mereka, bahkan untuk membeli seluruh wilayah negara ini, secepat waktu akan mengizinkan.

53 Lihatlah, inilah kebijaksanaan. Biarlah mereka melakukan ini agar jangan mereka tidak menerima sebarang warisan, kecuali melalui pertumpahan darah.

54 Dan lagi, sejauh ada tanah yang didapatkan, biarlah ada para pekerja yang dihantar dari segala jenis ke tanah ini, untuk bekerja bagi para orang suci Tuhan.

55 Biarlah semuaa hal ini dilakukan dengan teratur; dan biarlah hak istimewa tanah-tanah itu diberitahukan dari masa ke semasa, oleh uskup atau wakil gereja.

56 Dan biarlah pekerjaan pengumpulan tidak dilakukan dengan tergesa-gesa, tidak juga dengan terburu-buru; tetapi biarlah ia dilakukan sebagaimana yang akan dinasihatkan oleh para penatua gereja di dalam persidangan-persidangan, menurut pengetahuan yang mereka terima dari semasa ke semasa.

57 Dan biarlah hamba-Ku Sidney Rigdon mempersucikan dan membaktikan tanah ini, dan tempat untuk bait suci, bagi Tuhan.

58 Dan biarlah sebuah pertemuan persidangan diadakan; dan selepas itu biarlah hamba-hamba-Ku Sidney Rigdon dan Joseph Smith Jr., kembali, dan juga Oliver Cowdery bersama mereka, untuk menyelesaikan pekerjaan selebihnya yang telah Aku tetapkan kepada mereka di tanah mereka sendiri, dan selebihnya itu sebagaimana yang akan diatur oleh persidangan.

59 Dan janganlah membiarkan seorang pun kembali dari tanah ini kecuali dia memberikan kesaksian dalam perjalanan, tentang apa yang dia ketahui dan percayai dengan kepastian yang kuat.

60 Biarlah apa yang telah diberikan kepada Ziba Peterson diambil daripadanya; dan biarlah dia berdiri sebagai anggota di dalam gereja, dan bekerja dengan tangannya sendiri, bersama saudara-saudara, sehingga dia dihukum dengan secukupnya untuk semua dosanya; kerana dia tidak mengakuinya, dan dia berfikir untuk menyembunyikannya.

61 Biarlah para penatua gereja ini yang selebihnya, yang sedang datang ke tanah ini, yang beberapa daripada mereka sangat diberkati bahkan lebih dari batas ukuran, juga mengadakan sebuah persidangan di atas tanah ini.

62 Dan biarlah hamba-Ku Edward Partridge mengarahkan persidangan yang akan diadakan oleh mereka.

63 Dan biarlah mereka juga kembali, mengkhutbahkan Injil dalam perjalanan, memberikan kesaksian tentang hal-hal yang didedahkan kepada mereka.

64 Kerana, sesungguhnya, suara itu mesti menyebar luas dari tempat ini ke seluruh dunia, dan ke bahagian-bahagian paling jauh di bumi—Injil mesti dikhutbahkan kepada setiap makhluk, dengan tanda-tanda mengikuti mereka yang percaya.

65 Dan lihatlah Putera Manusia datang. Amin.