Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 45


Bahagian 45

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith kepada Gereja, di Kirtland, Ohio, 7 Mac 1831. Sebagai pengantar catatan ini tentang wahyu ini, sejarah Joseph Smith menyatakan bahawa “pada usia Gereja ini … banyak laporan palsu … dan cerita-cerita bodoh, diterbitkan … dan disebarkan, … untuk mencegah orang-orang itu menyelidiki pekerjaan, atau memeluk agama ini. … Tetapi yang membuat para Orang Suci gembira, … saya telah menerima yang berikut.”

1–5, Kristus ialah pembela kita dengan Bapa; 6–10, Injil adalah utusan untuk menyediakan jalan di hadapan Tuhan; 11–15, Henokh dan saudara-saudaranya diterima oleh Tuhan bagi diri-Nya; 16–23, Kristus mendedahkan tanda-tanda kedatangan-Nya seperti yang diberikan di atas Bukit Zaitun; 24–38, Injil akan dipulihkan, zaman bangsa bukan Israel akan digenapi, dan penyakit-penyakit yang memusnahkan akan meliputi tanah itu; 39–47, Tanda-tanda, keajaiban, dan Kebangkitan akan menyertai Kedatangan Kedua; 48–53, Kristus akan berdiri di atas Bukit Zaitun, bangsa Yahudi akan melihat luka pada tangan dan kaki-Nya; 54–59, Tuhan akan memerintah semasa Zaman Seribu Tahun; 60–62, Nabi diarahkan untuk memulakan penterjemahan Perjanjian Baru, yang mana melaluinya maklumat penting akan diberitahukan; 63–75, Para Orang Suci diperintahkan untuk berkumpul dan membangunkan Yerusalem Baru, iaitu tempat orang-orang dari segala bangsa akan datang.

1 Dengarkanlah, Wahai kamu umat gereja-Ku, kepada siapa kerajaan telah diberikan; dengarlah kamu dan pasanglah telinga terhadap Dia yang meletakkan landasan bumi ini, yang menciptakan langit dan seluruh isinya, dan melalui-Nya segala sesuatu diciptakan yang hidup, dan bergerak, dan yang ada.

2 Dan lagi Aku berfirman, dengarlah suara-Ku, agar jangan kematian akan mendatangimu; pada jam ketika kamu tidak memikirkannya musim panas akan berlalu, dan penuaian telahberakhir, dan jiwamu tidak diselamatkan.

3 Dengarkanlah Dia yang merupakan pembela dengan Bapa, yang membela perkaramu di hadapan-Nya—

4 Memfirmankan: Bapa, lihatlah penderitaan dan kematian Dia yang tidak berdosa, kepada siapa Engkau sangat berkenan; lihatlah darah Putera-Mu yang telah ditumpahkan, darah Dia yang Engkau berikan agar Engkau sendiri dapat dimuliakan;

5 Kerana itu, Bapa, biarkanlah hidup saudara-saudara-Ku ini yang percaya pada nama-Ku, agar mereka boleh datang kepada-Ku dan memperoleh kehidupan abadi.

6 Dengarkanlah, Wahai kamu umat gereja-Ku, dan kamu para penatua dengarkanlah bersama, dan dengarlah suara-Ku sementara ia disebut hari ini, dan janganlah mengeraskan hatimu;

7 Kerana sesungguhnya Aku berfirman kepadamu bahawa Aku ialah Alfa dan Omega, yang awal dan yang akhir, cahaya dan kehidupan dunia—suatu cahaya yang bersinar dalam kegelapan dan kegelapan itu tidak memahaminya.

8 Aku datang kepada umat milik-Ku, dan umat milik-Ku tidak menerima-Ku; tetapi kepada seberapa banyak yang menerima-Ku Aku berikan kuasa untuk melakukan banyak mukjizat, dan untuk menjadi anak-anak Tuhan; dan bahkan kepada mereka yang percaya pada nama-Ku Aku berikan kuasa untuk memperoleh kehidupan abadi.

9 Dan demikian juga telah Aku hantarkan perjanjian-Ku yang abadi ke dunia, untuk menjadi cahaya bagi dunia, dan untuk menjadi panji bagi umat-Ku, dan bagi bangsa bukan Israel untuk mencarinya, dan untuk menjadi utusan di hadapan muka-Ku untuk menyediakan jalan di hadapan Aku.

10 Kerana itu, datanglah kamu padanya, dan dengan dia yang datang Aku akan berbincang dengan manusia seperti pada zaman dahulu, dan Aku akan memperlihatkan kepadamu pemikiran-Ku yang kuat.

11 Kerana itu, dengarkanlah kamu bersama dan biarlah Aku memperlihatkan kepadamu bahkan kebijaksanaan-Ku—kebijaksanaan Dia yang kamu katakan adalah Tuhan Henokh, dan saudara-saudaranya.

12 Yang telah dipisahkan dari bumi, dan diterima bagi diri-Ku—sebuah kota yang disimpan sehinggalah suatu hari kesolehan akan datang—suatu hari yang dicari-cari oleh semua orang kudus, dan mereka tidak menemuinya disebabkan kejahatan dan kekejian;

13 Dan mengakui mereka adalah orang asing dan pengembara di atas bumi;

14 Tetapi mendapatkan sebuah janji bahawa mereka akan menemuinya dan melihatnya dalam keadaan daging mereka.

15 Kerana itu, dengarkanlah dan Aku akan berbincang denganmu, dan Aku akan berfirman kepadamu dan bernubuat, seperti kepada manusia pada zaman dahulu.

16 Dan Aku akan memperlihatkannya dengan jelas seperti Aku memperlihatkannya kepada para pengikut-Ku ketika Aku berdiri di hadapan mereka dalam keadaan daging, dan berfirman kepada mereka, memfirmankan: Kerana kamu telah bertanya kepada-Ku tentang tanda-tanda kedatangan-Ku, pada hari apabila Aku akan datang dalam kemuliaan-Ku di dalam awan-awan di langit, untuk menggenapi janji-janji yang telah Aku buat kepada nenek moyangmu,

17 Kerana kamu telah melihat ketiadaan rohmu daripada tubuhmu yang lama menjadi suatu penawanan, Aku akan memperlihatkan kepadamu bagaimana hari penebusan akan datang, dan juga pemulihan Israel yang tercerai-berai.

18 Dan sekarang kamu melihat bait suci ini yang ada di Yerusalem, yang kamu sebut rumah Tuhan, dan musuh-musuhmu mengatakan bahawa rumah ini tidak akan pernah roboh.

19 Tetapi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa kemusnahan akan datang ke atas generasi ini bagaikan pencuri pada malam hari, dan umat ini akan dihancurkan dan dicerai-beraikan ke kalangan segala bangsa.

20 Dan bait suci ini yang kamu lihat sekarang akan diruntuhkan sehingga tidak akan ada yang tertinggal seketul batu pun di atas yang lain.

21 Dan akan terjadi, bahawa generasi bangsa Yahudi ini tidak akan mati sehinggalah setiap kemusnahan yang telah Aku beritahukan kepadamu tentang mereka akan terjadi.

22 Kamu mengatakan bahawa kamu tahu bahawa pengakhiran dunia akan datang; kamu mengatakan juga bahawa kamu tahu bahawa langit dan bumi akan berakhir;

23 Dan dalam ini kamu mengatakan dengan benar, kerana begitulah demikiannya; tetapi hal-hal ini yang telah Aku beritahukan kepadamu tidak akan berakhir sehingga semuanya akan digenapi.

24 Dan ini telah Aku beritahukan kepadamu tentang Yerusalem; dan apabila hari itu akan datang, keturunan yang selebihnya akan dicerai-beraikan di kalangan segala bangsa;

25 Tetapi mereka akan dikumpulkan lagi; tetapi mereka akan tetap tinggal sehingga zaman bangsa bukan Israel digenapi.

26 Dan pada hari itu akan terdengar tentang peperangan dan desas-desus berkenaan peperangan, dan seluruh bumi akan berada dalam huru-hara, dan hati manusia akan kecut, dan mereka akan mengatakan bahawa Kristus menunda kedatangan-Nya sehingga pengakhiran bumi.

27 Dan kasih akan menjadi dingin, dan kederhakaan akan berlimpah ruah.

28 Dan apabila zaman bangsa bukan Israel telah datang, suatu cahaya akan menembusi di kalangan mereka yang duduk dalam kegelapan, dan ia adalah kegenapan Injil-Ku;

29 Tetapi mereka tidak menerimanya; kerana mereka tidak mengenali cahaya itu, dan mereka memalingkan hati mereka daripada-Ku disebabkan ajaran-ajaran manusia.

30 Dan dalam generasi itu zaman bangsa bukan Israel akan digenapi.

31 Dan akan ada manusia yang berdiri dalam generasi itu, yang tidak akan mati sehinggalah mereka akan melihat pencambukan yang meluap; kerana penyakit yang memusnahkan akan menutupi tanah itu.

32 Tetapi para pengikut-Ku akan berdiri di tempat-tempat kudus, dan tidak akan digerakkan; tetapi di kalangan yang jahat, manusia akan mengangkat suara mereka dan mengutuk Tuhan dan mati.

33 Dan akan ada gempa bumi juga di merata-rata tempat, dan banyak kemusnahan; namun manusia akan mengeraskan hati mereka terhadap-Ku, dan mereka akan mengambil pedang, melawan satu sama lain, dan mereka akan saling membunuh.

34 Dan sekarang, apabila Aku Tuhan telah memfirmankan firman ini kepada para murid-Ku, mereka berasa susah hati.

35 Dan Aku berfirman kepada mereka: Janganlah susah hati, kerana, apabila segala hal ini akan terjadi, kamu boleh mengetahui bahawa janji-janji yang telah dibuat kepadamu akan digenapi.

36 Dan apabila cahaya akan mula menembusi, ia akan terjadi kepada mereka seperti sebuah perumpamaan yang akan Aku tunjukkan kepadamu—

37 Kamu memandang, dan melihat pokok-pokok ara, dan kamu menyaksikannya dengan matamu, dan kamu mengatakan apabila ia mula bertunas, dan daun-daunnya masih muda, musim panas sekarang sudah di depan mata;

38 Demikianlah pula akan terjadi pada hari itu apabila mereka akan menyaksikan hal-hal ini, kemudian mereka akan tahu bahawa jamya sudah dekat.

39 Dan akan terjadlahi bahawa dia yang takut kepada-Ku akan menanti-nantikan hari Tuhan yang besar itu datang, bahkan tanda-tanda kedatangan Putera Manusia.

40 Dan mereka akan melihat tanda-tanda dan keajaiban, kerana ia akan diperlihatkan di langit di atas, dan di bumi di bawah.

41 Dan mereka akan melihat darah, dan api, dan kabut asap.

42 Dan sebelum hari Tuhan itu akan datang, matahari akan digelapkan, dan bulan akan diubah menjadi darah, dan bintang-bintang akan jatuh dari langit.

43 Dan keturunan yang selebihnya itu akan dikumpulkan ke tempat ini;

44 Dan kemudian mereka akan mencari-Ku, dan, lihatlah, Aku akan datang; dan mereka akan melihat-Ku dalam awan di langit, berbalutkan kuasa dan kemuliaan yang besar; dengan semua malaikat kudus; dan dia yang tidak menanti-nantikan-Ku akan disingkirkan.

45 Tetapi sebelum lengan Tuhan akan jatuh, seorang malaikat akan membunyikan sangkakalanya, dan para orang suci yang telah tidur akan datang menemui-Ku di dalam awan.

46 Kerana itu, jika kamu telah tidur dalam kedamaian diberkatilah kamu; kerana sebagaimana kamu sekarang melihat-Ku dan mengetahui bahawa Aku ada, demikian pula kamu akan datang kepada-Ku dan jiwamu akan hidup, dan penebusanmu akan disempurnakan; dan para orang suci akan datang dari keempat-empat penjuru bumi.

47 Kemudian lengan Tuhan akan jatuh ke atas bangsa-bangsa itu.

48 Dan kemudian Tuhan akan meletakkan kaki-Nya di atas gunung ini, dan ia akan terbelah menjadi dua, bumi akan bergegar, dan terhuyung-huyung ke sana ke mari, dan langit juga akan bergoncang.

49 Dan Tuhan akan menyuarakan suara-Nya, dan segenap hujung bumi akan mendengarnya; dan bangsa-bangsa di bumi akan berduka, dan mereka yang telah mentertawakan akan melihat kebodohan mereka.

50 Dan malapetaka akan menutupi pengejek, dan pencemuh akan dilalap api; dan mereka yang telah berjaga-jaga bagi kederhakaan akan ditebang dan dilemparkan ke dalam api.

51 Dan kemudian bangsa Yahudi akan memandang kepada-Ku dan berkata: Apakah luka-luka yang ada pada tangan-Mu dan pada kaki-Mu ini?

52 Kemudian mereka akan tahu bahawa Aku ialah Tuhan; kerana Aku akan berfirman kepada mereka: Luka ini adalah luka yang mana dengannya Aku dilukai di rumah teman-teman-Ku. Aku ialah Dia yang telah diangkat. Aku ialah Yesus yang telah disalibkan. Aku ialah Putera Tuhan.

53 Dan kemudian mereka akan menangis kerana kederhakaan mereka; kemudian mereka akan meratap kerana mereka menganiaya raja mereka.

54 Dan kemudian bangsa-bangsa kafir akan ditebus, dan mereka yang tidak mengetahui apa-apa hukum akan memperoleh bahagian di dalam kebangkitan yang pertama; dan ia akan lebih senang ditanggung oleh mereka.

55 Dan Setan akan diikat, sehingga dia tidak akan memiliki tempat dalam hati anak-anak manusia.

56 Dan pada hari itu, apabila Aku akan datang dalam kemuliaan-Ku, perumpamaan itu akan digenapi yang mana Aku telah firmankan tentang sepuluh orang gadis.

57 Kerana mereka yang bijak dan telah menerima kebenaran, dan telah mengambil Roh Kudus untuk pembimbing mereka, dan tidak terpedaya—sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, mereka tidak akan ditebang dan dilemparkan ke dalam api, tetapi akan bertahan pada hari itu.

58 Dan bumi akan diberikan kepada mereka untuk diwarisi; dan mereka akan beranak cucu dan menjadi kuat, dan anak-anak mereka akan membesar tanpa dosa pada keselamatan.

59 Kerana Tuhan akan berada di tengah-tengah mereka, dan kemuliaan-Nya akan berada di atas diri mereka, dan Dia akan menjadi raja mereka dan pemberi hukum mereka.

60 Dan sekarang, lihatlah, Aku berfirman kepadamu, tidak akan diberikan kepadamu untuk mengetahui lebih lanjut tentang Bab ini, sehinggalah Perjanjian Baru diterjemahkan, dan di dalamnya segala hal ini akan diberitahukan;

61 Kerana itu Aku memberikan kepadamu bahawa sekarang kamu boleh menterjemahkannya, agar kamu boleh dipersiapkan untuk hal-hal yang akan datang.

62 Kerana sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa hal-hal yang besar menunggumu;

63 Kamu mendengar tentang peperangan di negeri-negeri asing; tetapi, lihatlah, Aku berfirman kepadamu, ia sudah dekat, bahkan di pintumu, dan tidak sampai bertahun-tahun lamanya selepas ini kamu akan mendengar tentang peperangan di negeri-negerimu sendiri.

64 Kerana itu Aku, Tuhan, telah berfirman, berkumpullah kamu keluar dari negeri-negeri sebelah timur, berhimpunlah kamu bersama para penatua gereja-Ku; pergilah kamu ke negara-negara sebelah barat, serulah kepada para penduduknya untuk bertaubat, dan sejauh mana mereka bertaubat, bangunkanlah jemaah-jemaah gereja bagi-Ku.

65 Dan dengan satu hati dan dengan satu fikiran, kumpulkanlah kekayaanmu agar kamu boleh membeli suatu warisan yang selepas ini akan ditetapkan bagimu.

66 Dan ia akan dipanggil Yerusalem Baru, negeri kedamaian, kota untuk perlindungan, tempat untuk keselamatan bagi para orang suci Tuhan Yang Maha Tinggi;

67 Dan kemuliaan Tuhan akan berada di sana, dan ketakutan kepada Tuhan juga akan berada di sana, sedemikian rupa sehingga yang jahat tidak akan datang kepadanya, dan ia akan disebut Sion.

68 Dan akan terjadilah di kalangan yang jahat, bahawa setiap orang yang tidak akan mengambil pedangnya untuk melawan sesamanya mestilah perlu melarikan diri ke Sion untuk keselamatan.

69 Dan akan dikumpulkan padanya dari setiap bangsa di kolong langit; dan ia akan menjadi satu-satunya umat yang tidak akan saling berperang.

70 Dan akan dikatakan di kalangan yang jahat: Janganlah kita pergi untuk bertempur melawan Sion, kerana penduduk Sion menakutkan; kerana itu kita tidak dapat bertahan.

71 Dan akan terjadilah bahawa yang soleh akan dikumpulkan keluar dari kalangan segala bangsa, dan akan datang ke Sion, bernyanyi dengan nyanyian kebahagiaan yang abadi.

72 Dan sekarang Aku berfirman kepadamu, jagalah hal-hal ini dari tersebar luas kepada dunia sehinggalah ianya perlu bagi-Ku, agar kamu boleh menyelesaikan pekerjaan ini di mata umat ini, dan di mata musuh-musuhmu, agar mereka tidak dapat mengetahui pekerjaanmu sehingga kamu telah menyelesaikan apa yang telah Aku perintahkan kepadamu;

73 Agar apabila mereka akan mengetahuinya, mereka boleh mempertimbangkan hal-hal ini.

74 Kerana apabila Tuhan akan muncul Dia akan menakutkan bagi mereka, agar ketakutan itu boleh mencengkam mereka, dan mereka akan berdiri jauh dan gementar.

75 Dan segala bangsa akan takut kerana ketakutan kepada Tuhan, dan kuasa daya-Nya. Demikianlah. Amin.