Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 35


Bahagian 35

Wahyu yang diberikan kepada Nabi Joseph Smith dan Sidney Rigdon, di atau berdekatan Fayette, New York, 7 Disember 1830. Pada waktu ini, Nabi terlibat hampir setiap hari dalam membuat penterjemahan Alkitab. Terjemahan itu dimulakan bahkan sejak Jun 1830, dan kedua-dua Oliver Cowdery dan John Whitmer telah melayani sebagai jurutulis. Disebabkan mereka sekarang telah dipanggil pada kewajipan lain, Sidney Rigdon dipanggil melalui pelantikkan ilahi untuk melayani sebagai jurutulis Nabi dalam pekerjaan ini (lihat ayat 20). Sebagai kata pengantar tentang catatannya akan wahyu ini, sejarah Joseph Smith menyatakan: “Pada bulan Disember Sidney Rigdon datang [dari Ohio] untuk bertanya kepada Tuhan, dan bersamanya datanglah Edward Partridge. … Tidak lama selepas ketibaan dua saudara ini, demikianlah firman Tuhan.”

1–2, Bagaimana manusia boleh menjadi anak-anak Tuhan; 3–7, Sidney Rigdon dipanggil untuk membaptis dan untuk menganugerahkan Roh Kudus; 8–12, Tanda-tanda dan mukjizat dikerjakan melalui iman; 13–16, Para hamba Tuhan akan membanting bangsa-bangsa melalui kuasa Roh; 17–19, Joseph Smith memegang kunci-kunci misteri; 20–21, Umat pilihan akan bertahan pada hari kedatangan Tuhan; 22–27, Israel akan diselamatkan.

1 Dengarkanlah suara Tuhan Rajamu, bahkan Alfa dan Omega, permulaan dan pengakhiran, yang jalan-Nya adalah satu kitaran abadi, yang sama hari ini seperti kelmarin, dan selamanya.

2 Aku ialah Yesus Kristus, Putera Tuhan, yang telah disalibkan bagi dosa-dosa dunia, bahkan seberapa banyak yang akan percaya pada nama-Ku, agar mereka boleh menjadi anak-anak Tuhan, bahkan satu di dalam Aku seperti Aku adalah satu di dalam Bapa, seperti Bapa adalah satu di dalam Aku, agar kita boleh menjadi satu.

3 Lihatlah, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepada hamba-Ku Sidney, Aku telah melihat engkau dan pekerjaanmu. Aku telah mendengar doa-doamu, dan menyediakan engkau untuk sebuah pekerjaan yang lebih besar.

4 Engkau diberkati, kerana engkau akan melakukan hal-hal yang besar. Lihatlah engkau diutus, bahkan seperti Yohanes, untuk menyediakan jalan di hadapan-Ku, dan sebelum Elia yang akan datang, dan engkau tak mengetahuinya.

5 Engkau telah membaptis dengan air untuk pertaubatan, tetapi mereka tidak menerima Roh Kudus;

6 Tetapi sekarang Aku memberi kepadamu sebuah perintah, agar engkau haruslah membaptis dengan air, dan mereka akan menerima Roh Kudus melalui perletakan tangan, bahkan seperti para rasul zaman dahulu.

7 Dan akan terjadi bahawa akan ada sebuah pekerjaan yang besar di tanah ini, bahkan di kalangan bangsa bukan Israel, kerana kebodohan mereka dan kekejian mereka akan dinyatakan di mata semua orang.

8 Kerana Aku ialah Tuhan, dan lengan-Ku tidak dipendekkan; dan Aku akan memperlihatkan mukjizat, tanda-tanda, dan keajaiban, kepada mereka semua yang percaya pada nama-Ku.

9 Dan barang siapa akan memintanya dalam nama-Ku dalam iman, mereka akan mengusir iblis; mereka akan menyembuhkan yang sakit; mereka akan menyebabkan yang buta mendapat penglihatan mereka, dan yang tuli mendengar, dan yang bisu berbicara, dan yang lumpuh berjalan.

10 Dan waktunya akan segera tiba bahawa hal-hal yang besar akan ditunjukkan kepada anak-anak manusia;

11 Tetapi tanpa iman tiada apa pun akan ditunjukkan kecuali kemusnahan ke atas Babilon, yang sama yang telah membuatkan segala bangsa meminum wain kemurkaan dari kekejian dosanya.

12 Dan tak seorang pun melakukan kebaikan kecuali mereka yang sedia menerima kegenapan Injil-Ku, yang telah Aku hantarkan kepada generasi ini.

13 Kerana itu, Aku memanggil mereka yang lemah dari dunia ini, mereka yang tidak terpelajar dan yang dikeji, untuk membanting bangsa-bangsa dengan kuasa Roh-Ku;

14 Dan lengan mereka akan menjadi lengan-Ku, dan Aku akan menjadi perisai mereka dan perisai kecil mereka; dan Aku akan menyediakan diri mereka, dan mereka akan berperang dengan beraninya bagi-Ku; dan musuh mereka akan berada di bawah kaki mereka; dan Aku akan membiarkan pedang itu jatuh demi kepentingan mereka, dan dengan api kemarahan-Ku akan Aku akan melindungi mereka.

15 Dan yang miskin dan yang lembut hati akan mendapatkan Injil dikhutbahkan kepada mereka, dan mereka akan menanti-nantikan waktu kedatangan-Ku, kerana ia sudah di depan mata

16 Dan mereka akan mempelajari perumpamaan tentang pokok ara, kerana bahkan sekarang musim panas telah dekat.

17 Dan Aku telah menghantarkan kegenapan Injil-Ku melalui tangan hamba-Ku Joseph; dan dalam kelemahannya telah Aku berkati dia;

18 Dan Aku telah memberi kepadanya kunci-kunci misteri tentang hal-hal yang telah dimeteraikan itu, bahkan hal yang ada sejak pengasasan dunia, dan hal yang akan datang sejak dari waktu ini sehingga waktu kedatangan-Ku, jika dia tinggal di dalam Aku, dan jika tidak, seorang yang lain akan Aku tempatkan sebagai penggantinya.

19 Kerana itu, jagalah dia agar imannya tidak gagal, dan ia akan diberikan oleh Penghibur, Roh Kudus, yang mengetahui segala sesuatu.

20 Dan sebuah perintah Aku berikan kepadamu—agar engkau haruslah menulis untuknya; dan tulisan suci akan diberikan, bahkan seperti yang ada di dada-Ku sendiri, untuk keselamatan umat pilihan milik-Ku.

21 Kerana mereka akan mendengar suara-Ku, dan akan melihat-Ku, dan tidak akan tertidur, dan akan bertahan pada hari kedatangan-Ku; kerana mereka akan disucikan, bahkan seperti Aku adalah suci.

22 Dan sekarang Aku berfirman kepadamu, tinggallah bersamanya, dan dia akan melakukan perjalanan bersamamu; janganlah meninggalkannya, dan hal-hal ini pasti akan digenapi.

23 Dan sejauh mana kamu tidak menulis, lihatlah, akan diberikan kepadanya untuk bernubuat; dan engkau akan mengkhutbahkan Injil-Ku dan merujuk kepada para nabi kudus untuk membuktikan perkataannya, seperti yang akan diberikan kepadanya.

24 Taatilah semua perintah dan perjanjian yang mana kamu telah terikat padanya; dan Aku akan menyebabkan langit bergoncang demi kebaikanmu, dan Setan akan gementar dan Sion akan bersukacita di atas bukit-bukit dan tumbuh subur;

25 Dan Israel akan diselamatkan pada waktu-Ku sendiri yang tepat; dan melalui kunci-kunci yang telah Aku berikan mereka akan dipimpin, dan tidak lagi dikelirukan sama sekali.

26 Angkat hatimu dan bergembiralah, penebusanmu semakin dekat.

27 Janganlah takut, kawanan kecil, kerajaan adalah milikmu sehingga Aku datang. Lihatlah, Aku datang dengan cepat. Demikianlah. Amin.